Manage PermissionsManage Permissions

Biden siap sedia sertai pentas akhir debat dengan Trump

16/10/2020

WASHINGTON, 16 Okt - Calon Demokrat Joe Biden berkata beliau sudah siap sedia untuk berdebat dengan Presiden Donald Trump pada gelanggang akhir perdebatan membabitkan kedua-dua pemimpin itu, pada minggu hadapan, lapor Agensi Anadolu.

 

Kedua-duanya akan berdebat dalam sesi dialog awam pada Khamis petang selepas Trump membantah rancangan jawatankuasa debat untuk mengadakan acara itu secara maya ekoran Presiden Amerika Syarikat (AS)  itu disahkan positif COVID-19.

 

Ditanya adakah akan mendesak Trump membuat ujian COVID-19 pada hari perbahasan itu, Biden berkata, "Ya, malah sebelum datang ke sini, saya juga menjalani lagi saringan."

 

"Saya melakukannya setiap hari," kata Biden di Philadelphia, Pennsylvania.

 

"Saya akan mematuhi peraturan ditetapkan suruhanjaya. Saya bersedia berdebat secara maya, itu yang sepatutnya berlaku, dan beliau mengatakan tidak mahu. Beliau yang tidak mahu. Bukan saya tentukan peraturan itu, suruhanjaya yang tetapkan."

 

Sementara itu, ketika berucap di dialog awam di Miami, Florida, Trump berkata tidak ingat sama ada pernah membuat saringan COVID-19 pada 29 September semasa debat pertama.

 

"Mungkin saya lakukan, mungkin tidak," katanya.

 

Trump dan isterinya Melania Trump disahkan positif COVID-19 pada 1 Oktober selepas pembantunya, Hope Hicks, dijangkiti virus itu.

 

Ditanya sama ada beliau menjalani saringan setiap hari, dengan ringkas Trump mengatakan "banyak kali."

"Saya dalam keadaan yang baik untuk debat itu, tetapi tidak berapa lama selepas debat saya diuji positif," tambahnya.

 

Debat akhir dijadual pada 22 Oktober, kira-kira seminggu lebih sebelum pilihan raya presiden AS berlangsung. - ©BERNAMA


Attachments