Manage PermissionsManage Permissions

PGA9 rampas vape seludup bernilai RM124,000

17/10/2020

 

KOTA BHARU, 17 Okt. - Sebanyak 1,240 kotak peralatan menghisap vape berserta perisa bernilai kira-kira RM124,000 yang disorokkan di tebing Sungai Golok, dipercayai mahu dibawa ke seberang, berakhir di tangan pasukan Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) pada Khamis lepas.

 

Difahamkan penyeludup dipercayai menyembunyikan barangan tersebut di tebing sungai itu sementara menunggu waktu yang sesuai untuk dibawa keluar ke negara jiran.

 

Pegawai Pemerintah PGA9 Supt Nor Azizan Yusof berkata rampasan itu dilakukan sepasukan anggota Strike Force daripada Kompeni A yang menjalankan rondaan Op Benteng pada 6.30 petang.

 

"Ketika membuat pemeriksaan di pangkalan haram Kak Yah dekat Kuala Jambu, Tumpat pada kira-kira 6.30 petang, pasukan itu menemukan tiga bungkusan ditinggalkan di tebing sungai dipercayai untuk diseludupkan keluar pada bila-bila masa.

 

"Pegawai dan anggota yang menemukan bungkusan itu telah membuat pemerhatian selama 15 minit namun tiada sesiapa yang datang membuat tuntutan. Kesemua barangan itu kemudiannya dirampas dan dibawa ke markas PGA di Kuala Jambu untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi, hari ini.

 

Katanya pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan terbabit menemukan kotak besar mengandungi pelbagai peralatan menghisap vape.

 

Kesemua barangan itu diserahkan ke Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut, dan kes disiasat menurut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, katanya. - ©BERNAMA


Attachments