Manage PermissionsManage Permissions

Tahanan ‘Cuci Duit’ lari curi tumpuan

17/10/2020

KUALA LUMPUR, 17 Okt. - Kejadian seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kes 'cuci duit' atau pengubahan wang haram yang didakwa turut membabitkan selebriti dan pegawai kanan polis, 'meloloskan' diri dengan memanjat pagar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengundang pelbagai persoalan dan persepsi masyarakat.

 

Rata-rata netizen menyifatkan kejadian itu tidak sepatutnya berlaku memandangkan lelaki yang didakwa suspek utama sindiket pengubahan wang haram itu melarikan diri ketika masih berada dalam kawasan SPRM yang berpagar.

 

Lelaki berusia 32 tahun itu adalah antara sembilan yang ditahan untuk siasatan dan dia dibebaskan pada Ahad dengan jaminan SPRM sebelum lapan daripada mereka diserah ke Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman untuk siasatan di bawah Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 berikutan kes diklasifikasikan sebagai jenayah bersindiket.

 

Kejadian pada Ahad itu menimbulkan kemarahan orang ramai yang mempersoalkan kejadian itu, apatah lagi kes Macau Scam yang didalangi warga tempatan dan mengaut keuntungan mudah itu telah menyebabkan ramai mangsa tanpa mengira jenis pekerjaan dan usia kerugian mencecah ribuan serta jutaan ringgit.

 

Lima hari selepas kejadian, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman mendedahkan gambar suspek yang melarikan diri itu dan memberitahu lelaki berkenaan dikehendaki bersabit siasatan tiga kes mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed dalam kenyataan semalam, menyebut lelaki itu diburu kerana disyaki terlibat dalam penganjuran judi dalam talian di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

 

Walaupun kejadian tahanan melarikan diri daripada pihak berkuasa pernah dilaporkan sebelum ini, kali ini ia melibatkan kes berprofil tinggi yang turut menyebabkan 730 akaun bank dipercayai akaun sindiket itu bernilai RM80 juta dibekukan.

 

Selain itu, SPRM turut menyita wang tunai RM5 juta dan 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya (Ford) Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porshe serta beberapa motosikal berkuasa besar dimiliki ahli sindiket, yang dipercayai hasil kegiatan haram.

 

Persoalan yang timbul ialah mengapa tidak SPRM terus menyerahkan suspek kepada polis dan kejadian itu dapat dielak sekiranya kedua-dua agensi berkenaan memberi 'perhatian' kepada kes-kes yang melibatkan tahanan dibebaskan oleh satu pihak dan bakal ditahan oleh pihak berkuasa yang lain.

 

Apa yang pasti kedua-dua agensi penguat kuasa itu pasti terkesan apabila suspek yang sepatutnya ditahan semula terlepas setelah proses dokumentasi jaminan oleh SPRM selesai.

 

Rentetan kejadian itu, netizen mula menyuarakan pelbagai pendapat dan teori malah ramai menjadikan kejadian itu sebagai bahan 'lawak' dan ada yang terang-terang mendakwa kejadian itu dirancang rapi.

 

Pelbagai ragam dapat dilihat di laman sosial dengan pelbagai ilustrasi proses suspek melarikan diri dengan memanjat pagar SPRM itu dan tidak kurang juga media tempatan memberi gambaran mengenai perkara tersebut.

 

Tentunya, insiden ini sedikit sebanyak mencalarkan imej SPRM dan Polis Diraja Malaysia dalam menangani situasi itu terutamanya dalam penyerahan suspek daripada satu agensi ke agensi yang lain bagi siasatan lanjut.

 

Adakah mungkin perlu diperbaiki prosedur operasi standard dalam proses itu atau apakah bentuk persefahaman yang wajar dikemas kini dalam memastikan insiden sama tidak berulang lagi.

 

Yang pasti di sebalik kehangatan situasi politik dan kes COVID-19 yang meningkat di negara ini, kejadian tahanan meloloskan diri itu tidak sepatutnya dipinggirkan dan dilupakan, sebaliknya ia perlu diberi perhatian dan dilihat secara mendalam untuk penambahbaikan bagi mengelakkan daripada berulang. - ©BERNAMA

 


Attachments