Manage PermissionsManage Permissions

Jabatan Kesihatan AS enggan kerjasama dengan Biden

19/11/2020

MOSCOW, 19 Nov. - Jabatan Kesihatan dan Kemanusiaan Amerika Syarikat (AS) enggan bekerjasama dengan bakal Presiden Joe Biden sehingga Pentadbiran Perkhidmatan Awam (GSA) mengesahkan kemenangan calon Demokrat itu dalam pilihan raya presiden 2020, lapor agensi berita Sputnik.

 

"Sebaik GSA membuat keputusan, kami akan pastikan kerjasama yang profesional akan dibuat," kata setiausaha jabatan kesihatan itu Alex Azar pada taklimat media, Rabu. Katanya, jabatan itu hanya mengikut panduan sedia ada.

 

"Buat masa ini kami sedang berusaha untuk mendapatkan vaksin yang sedang dibangunkan dan mendapatkan data percubaan klinikal serta menyelamatkan nyawa. Itu yang menjadi tumpuan utama kami sekarang," tambah beliau.

 

Ketua GSA Emily Murphy dilaporkan belum menandatangani dokumen yang diperlukan untuk membolehkan permulaan tempoh peralihan dibuat secara rasmi. Justeru, pasukan Biden tidak boleh akses kewangan kerajaan dan bekerjasama dengan badan persekutuan.

 

Presiden Donald Trump belum mengaku kalah, walaupun kebanyakan media utama di Amerika termasuk Fox News, melaporkan Biden sebagai pemenang. Trump mendakwa banyak berlaku penipuan pada pilihan raya itu. - ©BERNAMA


Attachments