Manage PermissionsManage Permissions

COVID-19 : Korban di AS kini melepasi 250,000

19/11/2020

 

NEW YORK, 19 Nov. - Korban COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) kini melepasi 250,029 orang pada Rabu dengan jumlah kes mencecah 11.4 juta, menurut Johns Hopkins University lapor Agensi Berita Xinhua.

 

New York melaporkan 34,173 kematian, kekal negeri paling banyak mencatatkan angka korban diikuti Texas 20,147 manakala California, Florida dan New Jersey masing-masing mengesahkan lebih 16,000 kematian.

 

Di Illinois, Massachusetts, Pennsylvania dan Georgia pula virus maut itu sudah meragut lebih 9,000 nyawa. AS kekal negara paling teruk diancam dengan korban dan kes paling tinggi di dunia, menyumbang lebih 18 peratus jumlah kematian global.

 

Sebuah institut kesihatan di Universiti Washington meramalkan seramai 438,941 orang rakyat Amerika mungkin maut akibat COVID-19 menjelang 1 Mac 2021.

 

Pada Rabu, Datuk Bandar New York Bill de Blasio memutuskan untuk menutup sekolah kerajaan apabila bandar raya itu mencecah tiga peratus kadar kes positif dalam tempoh tujuh hari.

 

Pakar turut memberi amaran perjumpaan keluarga semasa percutian sempena perayaan Thanksgiving boleh menyebabkan gelombang baharu jangkitan. - ©BERNAMA


Attachments