Manage PermissionsManage Permissions

Oman pertingkat promosi sektor bukan minyak

21/11/2020






KUALA LUMPUR, 20 Nov. - Oman akan terus mempromosi dan meningkatkan sektor bukan minyak yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,  antaranya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), pelancongan, pertanian dan perikanan, kata dutanya ke Malaysia Sheikh Al-Abbas Ibrahim Hamed Al Harthi.

 

Dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Kebangsaan Kesultanan Oman ke-50, beliau berkata negara ini telah mengalami perubahan besar dalam sosial dan ekonominya dengan mempercepat sumbangan sektor bukan minyak.

 

"Bagi pihak negara, saya amat berbesar hati menulis sedikit ucapan ketika Oman meraikan hari bersejarah ini, sebagai mengenang Almarhum Sultan Qaboos bin Said bin Taimour, pemimpin berwawasan dan menjadi pendorong kepada rakyatnya untuk membina Oman.

 

"Pengganti beliau, Sultan Haitham bin Tarik Sultan Oman, meneruskan pendekatan positif dan sistematik ini, yang menjadi pemangkin dalam mencapai matlamat pembangunan untuk kemakmuran Oman dan generasi sekarang dan akan datang," katanya.

Sementara itu, Al Harthi berkata dasar luar Oman membantu negara itu membina jambatan persahabatan yang membuka prospek kerjasama baharu dan hubungan baik dengan pelbagai negara berasaskan dasar saling menghormati dan persahabatan.

 

Menurut beliau, dasar luar Oman bertunjangkan kedamaian dengan semua, semangat kejiranan, tidak mencampuri hal ehwal dalaman negara lain, serta saling memahami demi kedaulatan nasional dan integriti antarabangsa.

 

Menyentuh mengenai Oman dan Malaysia, Al Harthi berkata hubungan mesra dan rapat kedua-dua negara kekal erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada Januari 1982.

 

Pelbagai pertukaran lawatan secara intensif telah dilakukan kedua-dua negara bertujuan mempromosi dan mempertingkat kerjasama, menyediakan dan mengukuhkan jalinan budaya dan hubungan rakyat dengan rakyat, katanya.

 

Katanya, terdapat beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian perniagaan lain yang sedang dalam proses untuk ditandatangani.

 

"MoU ini pastinya akan membuka jalan untuk memajukan dan mengukuhkan kerjasama dua hala antara Oman dan Malaysia dalam pelbagai bidang, seperti pendidikan, sains dan teknologi, perdagangan dan kesihatan, menjana kerjasama yang adil dan menjamin ikatan bermanfaat buat kedua-dua negara," katanya.

 

Al Harthi berkata, Oman juga mengalu-alukan pelaburan daripada peniaga Malaysia terutama di Zon Ekonomi Khas di Duqm (SEZD), Zon Bebas Salalah dan Zon Bebas SOHAR, antara satu daripada zon industri Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang terbesar dan paling Berjaya.

 

Duta itu turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia atas bantuan dan sokongan berterusan dalam pelbagai bidang di bawah pembangunan kerjasama Oman-Malaysia. Beliau berkata Oman yakin lembaran baharu dalam promosi hubungan dua hala dan ekonomi  pasti tersedia dengan kestabilan politik negara, perdagangan bebas, dasar pasaran terbuka, serta infrastruktur logistik moden di samping kecanggihan multimedia dan telekomunikasi. - ©BERNAMA




Attachments