Manage PermissionsManage Permissions

Dua individu rugi RM29,040 ditipu sindiket pinjaman tidak wujud

21/11/2020

KEPALA BATAS, 21 Nov. - Seorang lelaki dan seorang wanita yang berhasrat membuat pinjaman wang daripada sebuah syarikat, mengalami kerugian RM29,040 selepas ditipu sindiket pinjaman wang yang tidak wujud di sini baru-baru ini.

 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara ACP Noorzainy Mohd Noor berkata wanita berusia 29 tahun tahun dan lelaki 57 tahun itu mula terjerat dalam penipuan berkenaan selepas tertarik dengan iklan di laman sosial Facebook kerana mahu menambah modal perniagaan.

 

Beliau berkata ia bermula apabila wanita yang berasal dari Telok Ayer Tawar serta lelaki dari Butterworth itu meninggalkan maklumat peribadi kepada pengendali satu akaun Facebook selepas mempercayai kononnya iklan yang ditampilkan adalah daripada sebuah bank.

 

Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata kedua-dua mereka diminta membayar sejumlah wang oleh lelaki yang mengaku ejen syarikat, kononnya sebagai upah proses dan mengaktifkan akaun kerana mahu membuat pinjaman, dan wanita itu membuat pembayaran sebanyak RM15,400 ke tiga akaun, manakala lelaki berkenaan membayar RM13,640.

 

Katanya mereka hanya menyedari ditipu selepas lelaki mengaku ejen syarikat itu berterusan meminta tambahan wang, namun pinjaman masih belum dapat diluluskan lagi, dan akhirnya kedua-dua mereka membuat laporan polis berhubung kejadian itu semalam. - ©BERNAMA

 


Attachments