Manage PermissionsManage Permissions

Burger Salmon atlet bina badan negara cetus fenomena baru di Kuching

21/11/2020

KUCHING, 21 Nov - Mempunyai rutin pemakanan yang berdisiplin dan mementingkan jumlah kalori yang diambil, memberi cetusan idea buat atlet bina badan negara Awang Mohd Azizul Ghani, 35, untuk membuka gerai burger berasaskan makanan sihat, termasuk burger salmon yang kini menjadi 'buah mulut' masyarakat di Kuching.

 

Awang Mohd Azizul berkata beliau mengambil keputusan membuka gerai burger yang digelar 'Burger Muscleman' itu setelah menyedari kesukaran orang ramai, untuk mendapatkan makanan sihat.

 

"Untuk memberi pilihan sihat kepada pelanggan, saya mengadaptasikan gaya pemakanan saya sebagai ahli bina badan, yang mementingkan khasiat protein," katanya kepada Bernama.

 

Katanya, antara yang paling menarik tumpuan ialah burger salmon, yang merupakan menu paling laris dan digemari pelanggan.

 

Bercerita mengenai burger salmon, Awang Azizul berkata beliau menggunakan 100 peratus salmon jenis Norwegian.

 

"Dari pemerhatian saya, ramai orang suka makan salmon, tetapi nak makan di hotel mahal, jadi saya ambil inisiatif untuk jual sendiri dan hasilnya memang tak menang tangan, apatah lagi memang strategi saya untuk menjual burger salmon hanya pada hari Jumaat dan Sabtu," katanya.

 

Tinjauan Bernama di gerainya yang dibuka mulai 4 petang sehingga 10 malam (semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat) di Satok mendapati, warga bandar raya ini tidak melepaskan peluang untuk mencuba menu sihat itu, selain burger daging 'Tricep', hot dog 'Hamstring' dan benjo 'whey protin'.

 

Berkongsi berkenaan kariernya sebagai atlet bina badan negara, Awang Mohd Azizul menyifatkan tahun 2020 merupakan tahun suram buat seluruh warga sukan itu, apabila semua kejohanan antarabangsa yang dijadualkan terpaksa dibatalkan, susulan penularan wabak COVID-19 yang melanda dunia.

 

"Walaupun kejohanan semua dibatalkan, tetapi sebagai atlet kebangsaan, tahap kecergasan perlu dijaga sentiasa. Saya juga menjalani latihan seperti biasa, dengan kos tanggungan sendiri dan tidak sabar untuk kembali beraksi mewakili negara," katanya yang juga merupakan seorang jurulatih kesihatan peribadi.

 

Awang Azizul yang beraksi bagi kategori welterweight, mula mewakili Malaysia pada 2015 selepas dinobatkan sebagai juara antara juara kejohanan Persatuan Bina Badan Malaysia 2015 di Labuan, selain pernah muncul naib johan pada kejohanan Mr Universe Dunia 2016 di Pattaya, Thailand dan tempat ketiga Mr Asia 2017 di Seoul, Korea Selatan. - ©BERNAMA


21112020_BURGER.JPG

 KUCHING, 21 Nov -- Atlet bina badan negara, Awang Mohd Azizul Ghani, 35, menunjukkan burger salmon di gerainya di Jalan Satok di sini yang kini menjadi 'buah mulut' masyarakat di Kuching. - ©BERNAMA


Attachments