Manage PermissionsManage Permissions

SHN 14 hari : Warga M'sia pulang di bawah Skim PCA terkesan

21/11/2020

SINGAPURA, 21 Nov - Sebahagian rakyat Malaysia yang kini pulang ke tanah air di bawah Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) terkesan dengan pengumuman terkini kerajaan Singapura, menaikkan semula tempoh Notis Duduk di Rumah (SHN) kepada 14 hari daripada tujuh hari, mulai 23 Nov nanti.

 

Ada juga terpaksa membatalkan hasrat untuk pulang, walaupun selepas mendapat kebenaran majikan untuk pulang di bawah skim tersebut, apabila menyedari kos SHN yang pastinya meningkat.

 

Luahan rasa mereka dikongsi di dalam laman Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers yang kini mencecah hampir 73,000 ahli.

 

"Sangat terkesan.. salah seorangnya adalah suami saya," luah Hazuraini Hussin, isteri kepada Nazmin Ismail, yang bekerja sebagai seorang 'cleaner' di sebuah kondo di Bukit Timah, ketika dihubungi Bernama.

 

Hazuraini berkata suaminya mengambil cuti selama tujuh hari pulang ke Johor pada 17 Nov lalu dan perlu memasuki semula ke republik ini pada 24 Nov, sehari selepas perlaksanaan langkah baru tersebut.

 

Pasangan itu yang memiliki seorang cahaya mata terpisah sejak lapan bulan yang lalu, berikutan langkah ketat penutupan sempadan kedua-dua negara bagi mengekang wabak Covid-19.

 

"Suami cuba merayu untuk majikan membuat pemotongan gaji bagi kos SHN berjumlah kira-kira S$2,000 itu nanti. Beliau masih menunggu jawapan," katanya.

 

Katanya pihak majikan juga ada memohon kepada pihak berkuasa berkaitan untuk suaminya pulang dua hari lebih awal iaitu pada esok hari, Nov 22, sehari sebelum peraturan baharu berkuat kuasa, tetapi tidak berjaya.

Pada bulan lepas, Hazuraini dilihat membantu Nazmin bertanyakan di laman Facebook Malaysia-Singapore Border Crossers, berkaitan hotel penginapan yang menawarkan harga yang berpatutan bagi suaminya menjalani SHN tujuh hari.

 

"Sebelum ini, kami dapat sebuah hotel yang menawarkan harga S$400 untuk tujuh hari. Kini kos bertambah hampir lima kali ganda dan menyamai dua bulan gaji suami," katanya.

 

 "Kami hanya mengharapkan pihak majikan, jika tidak dapat berkongsi kos SHN, sekurang-kurangnya memotong gaji suami secara bulanan," katanya yang berasal dari Besut, Terengganu.

 

Kementerian Kesihatan Singapura pada semalam mengumumkan akan memperketat langkah rentas sempadan susulan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia.

 

Menurut kementerian itu, bermula 22 Nov, 11.59 malam, pelawat mempunyai sejarah perjalanan ke Malaysia termasuk transit 14 hari sebelum tarikh tersebut, perlu menjalani SHN selama 14 hari di kemudahan SHN yang ditetapkan.

 

"Ini termasuk pelawat yang memasuki Singapura di bawah PCA dan pelawat berpangkalan di Singapura di bawah Laluan Hijau Timbal Balik (RGL)," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

 

Singapura sebelum ini telah memendekkan tempoh SHN kepada tujuh hari dan menjalani tempoh itu di kediaman sendiri, bagi pelawat dari Malaysia bermula 1 Sept kecuali mereka dengan sejarah perjalanan ke Sabah yang perlu menjalani SHN selama 14 hari di kemudahan ditetapkan mulai 15 Okt. -© BERNAMA

 


Attachments