Manage PermissionsManage Permissions

Trauma dengan banjir Bah Kuning 2014, penduduk Hulu Kuala Krai sentiasa bersiap sedia

13/01/2021


KUALA KRAI, 13 Jan. - Tidak mahu kejadian kelam-kabut menyelamatkan diri selepas air naik melebihi paras bumbung semasa kejadian Bah Kuning 2014, penduduk yang tinggal kampung di pinggiran sungai, di pedalaman Kuala Krai, sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi bencana itu.


Mengakui masih trauma dengan banjir besar enam tahun lepas itu, penduduk yang terputus hubungan dengan bandar, ketika banjir baru-baru ini, turut menyimpan stok makanan kering.


Penghulu Kampung Bahagia Ahmad Zain Ab Rajid berkata, sebanyak 135 rumah di Kampung Bahagia di sini sentiasa bersiap sedia untuk menghadapi banjir tatkala tiba musim tengkujuh.


"Sebaik sahaja air di hulu Sungai Kelantan naik, kami berjaga-jaga untuk bergerak naik ke atas bukit atau segera ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bahagia.


"Memandangkan kampung kami terputus hubungan dengan bandar, penduduk bersiap-sedia membeli beras, gandum, ikan kering dan minyak masak bagi mengelak kelaparan. Kita tidak mahu terjadi seperti banjir besar 2014 yang menyebabkan kami kelam-kabut menyelamatkan diri selepas paras air naik melebihi 30 meter," katanya.


Ahmad Zain berkata, dalam kejadian banjir gelombang ketiga minggu lepas, seramai 84 penduduk berpindah ke PPS SK Bahagia berikutan ada dalam kalangan mangsa yang air naik hingga ke paras bumbung rumah.


Sementara itu, seorang penduduk Awang Hassan, 72, dari Kampung Mambong berkata mereka masih berasa bimbang, setiap kali tiba musim tengkujuh.


"Pengalaman banjir 2014  diharap tidak berulang kerana peristiwa itu menyebabkan kami sekeluarga terpaksa mengalas perut dengan nasi kosong serta ikan kering selepas tiga hari berlindung di atas bukit.


"Peristiwa Bah Kuning yang berlaku menjadi penanda aras kerana air naik terlalu tinggi secara mendadak dan di luar jangkaan sehingga keluarga kami berpindah di atas Bukit Mambong yang terletak satu kilometer setelah air naik melebih paras bumbung rumah," katanya.


Beliau berkata setiap kali musim tengkujuh, mereka sekeluarga berjaga-jaga kerana bimbang peristiwa berulang, bagaimanapun beliau bersyukur kerana dalam kejadian banjir gelombang ketiga baru-baru ini rumahnya, terselamat daripada ditenggelami air. -- ©BERNAMA



Attachments