Manage PermissionsManage Permissions

Terbuka Thailand : BWF jadual semula perlawanan Kisona selepas Saina bebas COVID-19

13/01/2021


KUALA LUMPUR, 13 Jan. - Persekutuan Badminton Dunia (BWF) telah membatalkan keputusan perlawanan pusingan pembukaan Terbuka Yonex Thailand antara pemain perseorangan wanita negara S. Kisona dan pemain India Saina Nehwal, yang diuji positif COVID-19 semalam.


Badan dunia itu, yang mengisytiharkan kemenangan tanpa bertanding bagi Kisona semalam, kini mengesahkan Saina boleh bermain untuk perlawanan itu selepas ujian lanjut mendapati pemenang pingat Olimpik serta Kejuaraan Dunia itu dan suaminya, Parupalli Kashyap bebas daripada jangkitan tersebut.


Kedua-dua perlawanan perseorangan wanita dan lelaki membabitkan pasangan itu yang sepatutnya berlangsung semalam, kini dijadual semula ke petang ini di Impact Arena, Bangkok.


BWF dalam kenyataan lewat malam tadi berkata tiga daripada empat pemain diuji positif semalam - Saina, HS Prannoy (India) dan Jones Ralfy Jansem (Jerman) - dibenar bermain untuk kejohanan itu. Bagaimanapun, pemain Mesir Adham Hatem Elgamal terpaksa menarik diri.


"Nehwal, Prannoy dan Jansen diuji positif ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) tetapi antibodi Immunoglobulin G (IgG) mereka adalah positif. Ujian antibodi positif bermakna seseorang telah dijangkiti virus COVID-19 pada suatu ketika dahulu.


"Ia tidak bermakna mereka kini dijangkiti. Trio itu semuanya dijangkiti COVID-19 hujung tahun 2020. Jawatankuasa berpuas hati bahawa mereka tidak dijangkiti dan tidak menimbulkan bahaya kepada kejohanan ini.


"Elgamal diuji positif ujian PCR tetapi antibodi IgG adalah negatif, yang menunjukkan dia tidak mempunyai antibodi untuk virus itu. Elgamal tidak dijangkiti COVID-19 sebelum ini. Jawatankuasa itu telah menasihatkan agar pemain itu menarik diri," menurut kenyataan tersebut.


Menurut BWF keputusan itu berdasarkan Jawatankuasa Diagnosis dan Siasatan Kementerian Kesihatan Awam Thailand - kumpulan kerja enam doktor yang telah dibentuk hanya untuk kejohanan itu.


Kesemua pemain diisytiharkan bebas daripada virus itu dalam dua ujian pertama yang diadakan sejak ketibaan mereka di Bangkok untuk Kejohanan Pusingan Asia terdiri daripada Terbuka Yonex Thailand dari 12-17 Jan, diikuti Terbuka Toyota Thailand dari 19-24 Jan dan Siri Akhir Jelajah Dunia BWF dari 27-31 Jan.


Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi hantaran di Facebook, menyatakan rasa tidak puas hati dengan cara BWF mengendalikan situasi semasa pertandingan badminton antarabangsa yang dinanti-nantikan tersebut.


"BAM ingin menyatakan rasa tidak senang dengan cara BWF mengendalikan perkara tertentu di Bangkok. Kami perhatikan bahawa  ketidakpastian penarikan semula keputusan kemenangan tanpa bertanding itu, ditambah dengan masa yang tidak sesuai menerima keputusan tersebut, sudah pasti tidak akan memberi hasil yang baik bagi kembalinya sukan badminton yang dinanti-nantikan ini. "Walaupun kami gembira bahawa beberapa pemain telah diuji negatif, bagaimanapun, adalah tidak adil bagi mana-mana pemain diminta bermain semula untuk pusingan pertama, terutama selepas keputusan kemenangan tanpa bertanding itu disiarkan di laman web rasmi," katanya. -- ©BERNAMA



Attachments