Manage PermissionsManage Permissions

Korea Selatan : Perbicaraan kes dera anak angkat bermula

13/01/2021


SEOUL, 13 Jan - Pendakwa raya Korea Selatan pada Rabu menuntut ibu angkat yang dituduh mengakibatkan kematian bayi perempuan berusia 16 bulan didakwa atas tuduhan membunuh, lapor Agensi berita Yonhap.

 

Hari pertama perbicaraan kes berprofil tinggi itu berlangusng di Mahkamah Daerah Selatan Seoul. Wanita dikenali Jang itu sebelum ini didakwa atas tuduhan termasuk penderaan kanak-kanak sehingga mengakibatkan kematian. Bapa angkatnya pula didakwa melakukan penderaan dan pengabaian.

 

Namun, selepas pendakwa meniliti semula punca kematian bersama pakar forensik selepas timbul keraguan mendapati Jang mungkin mempunyai niat membunuh, atau sekurang-kurangnya menyedari bayi itu boleh mati akibat dipukul dan tingkah laku deraan lain.

 

Jika sabit kesalahan, Jang boleh dikenakan hukuman maksimum penjara seumur hidup atau lebih berat.

 

Pada perbicaraan itu, peguam Jang menafikan tuduhan bahawa pelanggannya sengaja membahayakan bayi itu sambil mengakui dia ada kalanya bertindak kasar terhadapnya, seperti "menjatuhkan," "menolak" dan "menggoncang" bayi itu, mengakibatkan patah tulang.

 

"Mungkin wujud penyebab antara kesalahan dan kematian, tetapi dakwaan tertuduh sengaja menggunakan kekerasan untuk menyebabkan kematian mangsa adalah tidak benar," kata peguam itu.

 

Bayi itu Jung-in, dijadikan anak angkat pada Februari dan meninggal dunia pada Oktober kerana kecederaan parah di perut dan mengalami pendarahan dalaman disebabkan "hentakan luaran yang kuat". Ibu angkatnya menegaskan bayi itu cedera kerana dia secara tidak sengaja menjatuhkannya.

 

Laporan penyiasatan yang disiarkan awal bulan ini telah menarik tumpuan terhadap kes itu dan bagaimana tiada pihak pun secara pro aktif campur tangan untuk mencegah tragedi itu meskipun terdapat tanda-tanda penderaan yang jelas..

 

Ketua polis negara minggu lalu memohon maaf atas tindak balas awal agensi itu dan siasatan yang tidak mencukupi, walaupun telah menerima tiga laporan mengenai bayi itu disyaki didera dalam tempoh lima bulan.

 

Kes penderaan itu menyedihkan dan mencetuskan kemarahan di seluruh negara. Ratusan orang menghantar petisyen ke mahkamah untuk menuntut keadilan terhadap bayi perempuan itu. Perbicaraan disiarkan secara langsung di dua bilik tambahan di mahkamah, kerana ramai hadir untuk mengikuti perbicaraan.

 

Di luar mahkamah, penunjuk perasaan dilihat memegang papan tanda menuntut hukuman mati untuk Jang, karangan bunga berwarna putih dan kuning juga kelihatan sebagai mengenang kematian tragis kanak-kanak itu. Satu pesanan berkata, "Maaf kerana terlambat, sayang kamu." - ©BERNAMA



Attachments