Manage PermissionsManage Permissions

Banjir : 522 mangsa, 5 PPS beroperasi di Sarawak

20/02/2021


KUCHING, 20 Feb. - Situasi banjir yang kembali melanda Sarawak sejak semalam semakin pulih apabila setakat petang tadi, hanya seramai 522 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) berbanding 858 orang pada sebelah pagi.

 

Kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan setakat 6 petang, lima PPS sahaja yang masih beroperasi berbanding 12 pada sebelah pagi.

 

Daripada jumlah itu, tiga PPS dibuka di Kuching manakala dua lagi di Samarahan dan semua PPS yang sebelum ini dibuka di daerah Lundu telah ditutup sepenuhnya petang ini. Kira-Kira sebulan selepas gelombang pertama banjir di Sarawak, beberapa tempat di bandar raya itu sekali lagi dilanda bencana tersebut semalam berikutan hujan berterusan.

 

Semalam, lalu lintas terhenti menyebabkan berpuluh-puluh kenderaan terkandas selepas beberapa jalan utama tenggelam susulan kenaikan paras air seawal subuh, yang memutuskan jalan darat utama ke daerah jiran seperti Kota Samarahan dan Serian. - ©BERNAMA 



Attachments