Manage PermissionsManage Permissions

COVID : Empat lagi kematian di Sarawak

20/02/2021


KUCHING, 20 Feb. - Terdapat empat lagi kematian akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 73 kes.


Kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan kematian ke-70 membabitkan lelaki tempatan berumur 48 tahun yang disahkan positif pada 1 Feb dan dimasukkan ke Hospital Miri namun kesihatannya merosot dan meninggal dunia semalam.


Kematian ke-71 pula melibatkan lelaki tempatan berumur 45 tahun yang telah dirujuk dari sebuah hospital swasta ke Hospital Bintulu kerana mengalami sesak nafas. "Saringan dibuat di hospital adalah positif pada 6 Feb. Keadaan kesihatan kes merosot dan meninggal dunia pada 19 Feb (semalam)," menurut kenyataan itu.


Menurut JPBN, kematian ke-72 melibatkan lelaki tempatan berumur 58 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Sibu setelah mengalami gejala demam dan batuk.


"Saringan yang dibuat di hospital adalah positif pada 9 Feb. Keadaan kesihatan kes merosot dan meninggal dunia pada 19 Feb 2021," menurut kenyataan itu. Kenyataan itu menyebut kematian ke-73 pula melibatkan wanita tempatan berumur 77 tahun yang mendapatkan rawatan di Hospital Sibu kerana mengalami sesak nafas.


"Ujian saringan yang dibuat adalah positif COVID-19 pada 16 Jan. Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan meninggal dunia pada 20 Feb (hari ini)," menurut JPBN. Hari ini, sebanyak 134 jangkitan baharu COVID-19 dikesan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negeri itu meningkat kepada 7,758. - ©BERNAMA 



Attachments