Manage PermissionsManage Permissions

Kumpulan pertama vaksin COVID untuk Sarawak tiba 24 Feb

21/02/2021






KUCHING, 21 Feb. - Sarawak dijangka akan menerima kumpulan pertama vaksin COVID-19 yang ditunggu-tunggu pada 24 Feb, selepas ketibaan vaksin Pfizer-Bio NTech di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, fasa pertama program pemvaksinan di negeri itu akan bermula pada 27 Feb.

"Tidak sabar untuk ketibaan penerbangan penghantaran ke Sarawak pada 24 Feb, tepat pada masanya untuk pelancaran di Sarawak pada 27 Feb (di Stadium Perpaduan di Kuching dan Sibu)," katanya dalam hantaran di Facebooknya hari ini. Vaksin COVID-19 untuk melindungi penduduk Malaysia daripada virus itu, tiba di KLIA hari ini menggunakan pesawat khas.

Pesawat MH604 dengan hiasan livery Jalur Gemilang sebagai simbolik bahawa vaksin tersebut adalah untuk rakyat Malaysia, membawa 312,390 dos vaksin COVID-19  Pfizer-BioNTech itu mendarat pada pukul 10.07 pagi.

Dr Sim berkata, banyak kerja-kerja persediaan telah dilakukan oleh kerajaan negeri dalam menerima ketibaan vaksin itu. Beliau berkata, ini termasuklah fasiliti, sokongan dan pemantauan ketat untuk pengangkutan.

"Kita mempunyai tujuh pusat simpanan vaksin (PSV) di seluruh Sarawak - Kuching, Sibu, Bintulu, Miri, Sri Aman, Sarikei, Limbang. (Manakala) Pusat Pemberian Vaksin (PPV), (kita ada) 55 lokasi diseluruh negeri Sarawak untuk fasa pertama (barisan hadapan)," katanya. - ©BERNAMA




Attachments