Manage PermissionsManage Permissions

Korea Selatan pertimbang larangan perjalanan ke Myanmar

05/04/2021


SEOUL, 5 April. - Kerajaan Korea Selatan mungkin mempertimbangkan larangan perjalanan ke Myanmar dan mengatur penerbangan tambahan untuk membantu rakyatnya meninggalkan negara itu jika rusuhan bertambah buruk, lapor Agensi Berita Yonhap, memetik seorang pegawai Kementerian Luar pada Isnin.

 

Sejak rampasan kuasa tentera 1 Februari yang mencetuskan rusuhan di negara itu, Kerajaan Korea Selatan membantu mengatur satu atau dua penerbangan tambahan dalam tempoh seminggu.

 

Setakat ini, sejumlah 411 daripada kira-kira 3,500 rakyat Korea Selatan di Myanmar telah pulang ke negara asal menerusi penerbangan tersebut.

 

Seramai 274 orang lagi akan tiba minggu ini, kata pegawai itu.

 

Keganasan tentera junta terhadap penunjuk perasaan telah membunuh sekurang-kurangnya 557 orang. Setakat ini tiada rakyat Korea Selatan dilaporkan cedera atau sebaliknya.

 

Namun, kejadian warga tempatan yang merupakan petugas Bank Korea Shinhan cawangan Yangon ditembak telah meningkatkan kebimbangan.

 

Demi memastikan keselamatan warga Korea, kerajaan bersiap sedia "sepenuhnya" untuk mengambil langkah yang perlu termasuk kemungkinan larangan perjalanan dan berunding dengan syarikat penerbangan negara dan Myanmar untuk menambah penerbangan, kata pegawai itu.

 

"Bermula minggu ini, kami menambah tiga penerbangan setiap minggu. Mungkin juga akan ditambah kepada empat penerbangan seminggu, jika keadaan memerlukan," katanya.

 

Terdapat lebih 260 syarikat Korea Selatan yang beroperasi di Myanmar, kebanyakannya kilang jahitan menyukarkan mereka untuk meninggalkan negara itu.

 

Pada Sabtu, Kementerian Luar meningkatkan amaran perjalanan ke Myanmar kepada "merah", kedua tertinggi dalam sistem empat peringkat, yang mengesyorkan supaya meninggalkan negara itu.

 

Dalam sidang media minggu lalu, Menteri Luar Chung Eui-yong berkata kemungkinan menghantar pesawat tentera atau pesawat khas untuk membawa pulang rakyat Korea Selatan warganya "dalam masa 24 jam" sebaik keputusan mengenai perkara itu dimuktamadkan. - ©BERNAMA



Attachments