BEIJING, 6 April. - Pejabat Penerangan Dewan
Negara China pada Selasa mengeluarkan kertas putih berhubung usaha China
membasmi kemiskinan.
Kertas putih itu merumuskan perjuangan rakyat
China dalam mengatasi masalah kemiskinan, di samping sumbangannya kepada dunia.
Menurut kertas putih itu, kejayaan membasmi
kemiskinan mutlak yang dicapai pada akhir 2020 melakar sejarah khususnya kepada
kawasan desa China, selain memacu pembangunan tempatan secara menyeluruh. Ia sekali
gus meletakkan asas kukuh kepada pembangunan China ke arah negara sosialis yang
moden.
Kertas putih itu juga menyebut, China berjaya
merealisasikan matlamat membasmi kemiskinan sepuluh tahun lebih awal berbanding
sasaran Agenda Pembangunan Mampan 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Perkara ini bukan sahaja signifikan bagi
pembangunan China, malah merupakan satu sumbangan penting kepada pembangunan
manusia, khususnya dalam perjuangan mengatasi kemiskinan.
Menurut laporan Bank Dunia, Inisiatif Jalur
dan Laluan (BRI) yang dikemukakan China akan membantu 7.6 juta rakyat di
negara-negara terlibat keluar dari belenggu kemiskinan tegar.
Selain itu, China juga proaktif melaksanakan
program kerjasama antarabangsa bagi mengurangkan kemiskinan, termasuk program
bantuan teknologi di kawasan luar bandar Laos, Kemboja dan Myanmar, yang
menjadi contoh usaha membasmi kemiskinan di rantau Asia Timur. - ©BERNAMA