Manage PermissionsManage Permissions

Isu Xinjiang tiada kaitan dengan hak asasi

06/04/2021


BEIJING, 6 April. - Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) pada Jumaat lepas menyiarkan dokumentari berjudul "Cabaran dalam Perjuangan Banteras Keganasan di Xinjiang" bagi membongkar konspirasi yang meracuni fikiran penduduk etnik minoriti di Xinjiang.

 

Dokumentari itu juga turut mengupas mengenai kejayaan China memerangi keganasan, dasar berkaitan Xinjiang yang menjamin hak dan kepentingan penduduk tempatan pelbagai etnik termasuk hak menjalani kehidupan dan untuk mencapai kemajuan diri.

 

Namun, sesetengah pihak yang anti-China sering menggembar-gemburkan isu Xinjiang sejak beberapa tahun lalu.

 

Pelbagai tohmahan dibuat seperti "buruh paksa" dan "penahanan besar-besaran", berniat mengelirukan khalayak, menyembunyikan fakta, menghasut antagonisme antara etnik dan mengekang pembangunan China.

 

Ternyata bahawa isu Xinjiang bukanlah soal hak asasi manusia, kaum dan agama, sebaliknya berkaitan perjuangan menghapuskan keganasan dan fahaman pemisah.

 

Duta Iran ke China, Mohammad Keshavarzzadeh yang mengadakan lawatan ke Xinjiang baru-baru ini menerusi hantaran dalam media sosialnya berkata wilayah itu dalam keadaan aman dan makmur.

 

Statistik menunjukkan, pada 1990 hingga akhir 2016, ribuan insiden kekerasan dan keganasan telah berlaku di Xinjiang, yang mengakibatkan kematian ramai penduduk tidak bersalah dan kerugian harta benda.

 

Dilaporkan, kumpulan pelampau adalah dalang di sebalik tragedi tersebut.

 

Penubuhan pusat latihan vokasional antara langkah penting untuk membantu mereka yang dipengaruhi fikiran ekstremis bagi memulakan kehidupan baharu.

 

Langkah serupa juga diguna pakai secara meluas di negara Barat, selaras dengan amalan antarabangsa.

 

Hasilnya, tiada satu pun kes keganasan berlaku di Xinjiang dalam tempoh empat tahun lalu.

 

Selain itu, Xinjiang berjaya keluar dari kepompong kemiskinan mutlak, sementara sosioekonominya terus berkembang maju. - ©BERNAMA



Attachments