Manage PermissionsManage Permissions

Burgernita platform wanita jana pendapatan

07/04/2021

KUALA LUMPUR, 7 April. - Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pernah menjadi tempoh getir buat ibu tunggal, Aminah Mat Yusof, 41, gara-gara hilang pekerjaan dan punca pendapatan sebagai peniaga katering.

 

Ibu kepada tiga anak itu bagaimanapun tidak mahu terus mengalah lantas bangkit menyertai perniagaan Burgernita yang diperkenalkan Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), sebuah badan bukan kerajaan yang bertujuan membangun dan memperkasakan wanita seluruh Malaysia.

 

Meskipun perniagaan burger di tepi jalan sering dipelopori kaum Adam, namun bagi Aminah perniagaan itu juga mudah untuk dikuasai berikutan makanan tersebut digemari pelbagai lapisan masyarakat.

 

"Saya menyertai perniagaan ini selepas hilang punca pendapatan akibat pelaksanaan PKP. Alhamdulillah, saya mampu menjual hingga 40 biji burger sehari sejak membuka gerai bulan lepas," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Burgernita, di sini semalam.

 

Aminah adalah antara 15 peserta Burgernita yang mula menjalankan perniagaan tersebut di Ampang, Selangor sejak bulan lepas.

 

Sementara itu, Pengerusi dan Presiden (KWIM) Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata Burgernita adalah satu model perniagaan bersepadu yang diwujudkan bagi memberi peluang perniagaan secara sama rata kepada golongan wanita khususnya kumpulan terpinggir, ibu tunggal dan B40.

 

Menurutnya, usaha tersebut untuk membantu dan memperkasa golongan wanita yang terkesan dengan pelbagai cabaran ekonomi dan sosial yang semakin sengit. 

 

"Idea ini tercetus pada Mac 2020 ketika pelaksanaan PKP selepas melihat ramai golongan berkenaan terhimpit dan hilang punca pendapatan akibat penularan pandemik COVID-19.

 

"Perniagaan burger dipilih setelah mengkaji dan meneliti keadaan ekonomi dan pasaran semasa yang dilihat mampu menjana pendapatan mereka secara berterusan," katanya.

 

Menurutnya setiap wanita yang menyertai Burgernita akan menerima satu set gerai burger serba lengkap selain diberi latihan serta bimbingan secara teori dan praktikal.

 

"Kita menyasarkan untuk membuka 700 gerai Burgernita di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun. Buat masa ini, kita baru sahaja membuka 15 gerai Burgernita di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Terengganu dan Kedah," katanya.

 

Hala tuju KWIM adalah berpandukan lima teras, iaitu; Ekonomi, Pendidikan, Budaya, Kesihatan dan Keselamatan bagi mewujudkan golongan wanita yang berpengetahuan dan berdaya saing untuk menikmati kualiti kehidupan yang lebih sempurna. - ©BERNAMA


Attachments