TEHRAN, 7 April.
- Iran bersedia untuk memperluas hubungan dua hala yang lebih komprehensif dan
meningkatkan kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang, kata Timbalan
Menteri Luar untuk ekonomi, Rasoul Mohajer.
Agensi Berita
Iran (IRNA) pada Selasa melaporkan Mohajer berkata demikian selepas mengadakan
pertemuan dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Kamarudin Jaafar yang mengadakan
lawatan kerja sehari ke republik itu.
Berdasarkan kepada
hubungan dua hala kedua-dua negara selama ini, Mohajer mengumumkan kesediaan
Iran untuk memperluas lagi hubungan komprehensif dan kerjasama dengan Malaysia.
Beliau turut
meminta kerajaan Malaysia membantu mempermudah interaksi komersial dan perniagaan
antara sektor swasta dan awam kedua-dua negara.
Timbalan menteri
luar Iran itu turut mengulas mengenai ahli perniagaan, individu berpendidikan
dan juga golongan elit Iran yang berjaya di Malaysia.
Namun, katanya
beberapa isu yang dihadapi di Malaysia termasuk urusan perbankan, kewangan,
konsular, kehakiman dan pertukaran pesalah perlu ditangani.
Sementara itu,
Kamarudin menyatakan tujuan utama lawatannya adalah untuk meningkatkan lagi
hubungan dua hala terutama dalam bidang komersial dan ekonomi.
Sebelum ke Iran,
Kamarudin turut melawat Turki dan Qatar. - ©BERNAMA