Manage PermissionsManage Permissions

Dua warga Malaysia ditahan dalam OPS Dadah di Singapura

13/02/2020





SINGAPURA, 13 Feb (Bernama) -- Seorang pemandu warga Malaysia berusia 23 tahun ditahan selepas ganja seberat 2,898g dan 'Ice' 125g dirampas daripada sebuah kereta bernombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 6 Feb lepas.

 

Menerusi laman sesawangnya hari ini, Pihak Berkuasa Imigresen dan Pemeriksaan Singapura (ICA) berkata pada kira-kira 6.50 pagi hari berkenaan, pegawainya yang menjalankan pemeriksaan terhadap kereta berkenaan, mengesan bungkusan yang disembunyikan di dalam kusyen tempat duduk belakang.

 

ICA berkata ganja dan 'Ice' yang ditemukan dalam bungkusan itu dianggar bernilai S$41,000.

 

"Pemandu warga Malaysia itu terus ditahan dan kes diserahkan kepada Biro Narkotik Pusat (CNB) untuk siasatan lanjut," katanya.

 

Sementara itu, dalam kes berasingan, CNB berkata seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 40-an ditahan selepas dadah jenis 'Ice' seberat 267g yang disembunyikan dalam dua bungkusan hitam ditemukan dalam keretanya pada 11 Feb.

 

Selain rakyat Malaysia itu, CNB berkata pegawainya turut menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 46 tahun disyaki penyeludup dadah.

 

Sebelum ditahan, suspek dikesan memasuki kenderaan yang dipandu rakyat Malaysia itu.

 

Pegawai CNB yang mengiringi suspek warga Singapura itu ke tempat persembunyiannya menemukan kira-kira 440 gram heroin, 116 gram 'Ice', 4 gram ganja, 110 pil Erimin-5, 102 pil 'Ecstasy' dan sebotol metadon di dalam unit berkenaan.

 

"Siasatan terhadap aktiviti berkaitan dadah kedua-dua suspek sedang dijalankan," katanya yang menambah dadah yang dirampas dalam operasi berkenaan dianggar bernilai S$73,000.

-- BERNAMA

 


Attachments