Manage PermissionsManage Permissions

Sabah-Gajah ​Kerajaan Negeri Sabah lulus Pelan Tindakan Gajah 2020-2029

13/02/2020





KOTA KINABALU, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sabah meluluskan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah 2020-2029 dalam usaha untuk memastikan hidupan liar itu tidak pupus di bumi Sabah.

 

Pelan tindakan 10 tahun itu diluluskan pada mesyuarat Kabinet negeri di sini semalam bagi memulihara dan melindungi populasi gajah di negeri ini yang dianggarkan dalam julat 1,500-2,000 ekor.

 

Menurut Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Dr Jamili Nais dalam  kenyataan kepada Bernama hari ini, pelan tindakan itu akan menyumbang dan memastikan gajah tidak pupus di bumi Sabah.

 

Katanya pelan itu mengandung empat objektif utama yang perlu dicapai iaitu meningkatkan perlindungan gajah dan menghentikan pembunuhan gajah, meningkatkan penyambungan habitat dan kebolehtelapan, memastikan amalan baik dalam pengurusan,konservasi ex-situ gajah, penyelidikan dan pemantauan serta meramal trend populasi gajah.

 

"Kerajaan Negeri Sabah telah bersetuju secara prinsip untuk memperuntukkan RM20 juta untuk tempoh 10 tahun pelaksanaan Pelan Tindakan Gajah Negeri Sabah ini," katanya mengenai pelan itu yang dirumuskan Jabatan Hidupan Liar Sabah dan rakan-rakan pemuliharaan.

-- LAGI   

 

SABAH-GAJAH 2 KOTA KINABALU


Jamili berkata satu daripada langkah utama dalam pelan tindakan itu adalah penubuhan sebuah Unit Penguatkuasaan di bawah Jabatan Hidupan Liar yang memberi tumpuan kepada perlindungan hidupan liar di rizab hutan.

 

Katanya turut akan ditubuhkan sebuah Unit Pemuliharaan Spesies Terancam yang akan memantau pelaksanaan semua pelan tindakan spesies daratan yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar Sabah 1997.

 

Selain gajah, katanya, antara spesies tumpuan lain ialah Tembadau, Monyet Belanda dan Harimau Dahan

Beliau menjelaskan isu pemeliharaan dan pemuliharaan gajah di Sabah berkisar kepada tiga aspek iaitu pertama ancaman kepupusan.

 

"Kepupusan gajah bukanlah masalah atau isu utama di negeri ini kerana populasi gajah yang sihat dan terdapat kawasan dilindungi bersaiz besar di kawasan habitat gajah di negeri ini.

-- LAGI

 

SABAH-GAJAH 3 KOTA KINABALU

 

"Kawanan gajah membiak dengan baik, dan satu petandanya adalah pada hampir setiap kawanan, dapat  diperhatikan individu-individu juvenil," katanya sambil menambah pelan tindakan 10 tahun ini akan terus mengutip data yang tepat mengenai populasi gajah di Sabah.

 

Katanya aspek kedua adalah konflik manusia dan hidupan liar yang menjadi masalah utama pemuliharaan gajah di negeri ini disebabkan pertindihan habitat semula jadi gajah dengan manusia, terutama dengan pembukaan ladang dan kebun kelapa sawit.

 

Konflik sebegini akan kekal berlaku sehinggalah terhasil keharmonian wujud bersama, katanya.

Jamili berkata aspek ketiga adalah persepsi masyarakat umum iaitu setiap kematian gajah akibat konflik manusia dengan hidupan liar memberi persepsi negatif di mata masyarakat umum termasuk pelancong dan menjejaskan imej baik Sabah di mata dunia.

 

Oleh sebab itu, satu daripada penekanan utama pelan tindakan itu adalah untuk memperbaiki persepsi negatif tersebut, katanya.

-- LAGI

 

SABAH-GAJAH 4 (AKHIR) KOTA KINABALU

 

Jamili berkata masalah kematian gajah akibat pertindihan habitat gajah dengan petempatan manusia turut berlaku hampir di semua rantau taburan gajah, misalnya di India, Sri Lanka dan Kenya.

 

Beliau berkata Sabah masih di tahap yang baik kerana tidak seperti tempat-tempat tersebut, tidak ada atau jarang-jarang sekali berlaku korban jiwa manusia akibat serangan gajah.

 

Dalam pada itu, Jamili menjelaskan berdasarkan angka populasi semasa gajah di negeri ini, habitat dan makanan yang ada, ditambah dengan pelbagai usaha perlindungan dan pemuliharaan termasuk Pelan Tindakan 10 tahun itu, maka gajah tidak akan pupus di bumi Sabah.

 

Menurutnya rumusan itu juga disokong oleh pakar ternama mengenai gajah termasuk Dr Raman Sukumar, seorang pakar gajah terkenal di India.

 

Katanya Dr Raman ketika berada di Kota Kinabalu pada Disember tahun lepas untuk menghadiri Mesyuarat Kumpulan Pakar Gajah Asia telah menyatakan bahawa beliau yakin gajah di Sabah tidak akan pupus, dan angka kematian semasa gajah dapat ditampung oleh angka populasi semasa gajah di Sabah.

-- BERNAMA

 


Attachments