Manage PermissionsManage Permissions

COVID-THAILAND/I Banduan British tiada gejala COVID-19 - Pegawai Kesihatan Thai

13/02/2020





BANGKOK, 12 Feb (Bernama) -- Banduan British yang pengsan di penjara United Kingdom (UK) yang disyaki dijangkiti COVID-19 telah menjalani pemeriksaan perubatan dan menunjukkan tidak mempunyai gejala virus itu sebelum diekstradisi.

 

Pengarah Jabatan Kawalan Penyakit Thailand Dr Sophon Iamsirithawon berkata lelaki berumur 31 tahun itu diekstradisi pada 27 Jan lepas.

 

"Lelaki itu sihat dan tidak demam. Dia berupaya untuk perjalanan jauh. Dia dibawa balik ke UK dua minggu lepas dan mungkin dijangkiti virus di tempat lain. Bagaimanapun, kami sedang menunggu maklumat daripada UK," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

 

Banduan British itu ditahan di Pattaya pada 1 Nov tahun lepas atas kesalahan berkaitan dadah, dilaporkan pengsan di HM Prison Bullingdon di Oxfordshire pada Isnin.

 

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Koreksional Thailand Naras Savestanan berkata jabatan itu telah mengambil semua langkah pencegahan terhadap COVID-19, nama rasmi bagi novel koronavirus 2019 seperti yang diumumkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di semua penjara di negara itu.

 

"Terdapat 374,406 banduan di Thailand. Kami tidak menerima sebarang laporan mengenai banduan yang dijangkiti virus itu," katanya.

 

Pada masa ini, terdapat 33 kes disahkan di Thailand dengan 11 daripadanya telah sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang manakala 22 lagi masih berada di hospital.

-- BERNAMA

 


Attachments