Manage PermissionsManage Permissions

LAPORAN-POLIS SUA MB buat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook

13/02/2020





SEREMBAN, 13 Feb (Bernama) -- Setiausaha Akhbar Menteri Besar Negeri Sembilan Faiz Abdullah hari ini membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook, berhubung tuduhan fitnah dan kata-kata kesat terhadap Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

 

Laporan polis itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban pukul 9.42 pagi tadi, terhadap pemilik akaun berkenaan iaitu Tentera Semut, Sayap Kanan, Saadon Abd Salam dan Norshafinaz Nor Azman.

 

Faiz berkata laporan itu bagi menggesa polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKKM), melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik akaun terbabit yang mengeluarkan kenyataan melampau, terhadap pemimpin utama negeri ini berkenaan isu solat Subuh.

 

"Saya mewakili Menteri Besar membuat laporan polis terhadap empat pemilik akaun Facebook berkenaan, yang didapati memuat naik status berunsur fitnah yang saya sifatkan sebagai tuduhan melampau.

 

"Saya pernah membuat laporan polis atas fitnah sama yang dilemparkan terhadap Menteri Besar pada 8 Feb tahun lalu. Tapi nampaknya selepas setahun, ia ditimbulkan semula oleh pihak lain sedangkan pada kali pertama, Menteri Besar sudah pun memaafkan perbuatan mereka," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban di sini, hari ini.

 

-- LAGI

 

POLIS-LAPORAN 2 (AKHIR) SEREMBAN

 

Menurutnya, pihaknya kesal apabila fitnah terhadap pemimpin utama negeri itu, semakin menjadi-jadi sekali gus menimbulkan persepsi negatif.

 

Beliau berkata pihaknya tidak pasti apa motif pihak terbabit yang nyata tidak takut dengan undang-undang, kerana sewenang-wenangnya menabur fitnah.

 

"Bagi saya tuduhan yang dilemparkan terlalu berat. Misalnya Facebook Tentera Semut yang kata Menteri Besar gadai maruah agama dengan nilai yang sikit, kerana ceritakan solat subuh jam 7.30 pagi dan beritahu 50 peratus umat Islam negeri ini tak solat lima waktu.

 

"Pemilik akaun Saadon Abd Salam yang memberi komen atas kenyataan Tentera Semut itu pula kata mungkin Menteri Besar penganut agama majusi kerana jam 7.30 pagi, penganut agama itu menyembah matahari," katanya.

 

Tambahnya melalui posting yang dimuat naik seolah-olah pemilik akaun telah memetik kata-kata dari MB, sedangkan pada sidang media, beliau (Aminuddin) tidak pernah bercakap begitu.

 

Dalam pada itu, Faiz turut menasihatkan orang ramai supaya membuat semakan terlebih dahulu terhadap berita atau maklumat yang diterima, sebelum menyebarkannya atau memberi komen.

-- BERNAMA


Attachments