Manage PermissionsManage Permissions

KPDNHEP minta pengeluar penutup hidung dan mulut tingkat pengeluaran

14/02/2020





KULIM, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meminta pengeluar penutup hidung dan mulut tempatan meningkatkan pengeluaran produk itu terutama jenis tiga lapisan dalam usaha memenuhi permintaan orang ramai pada masa ini .

 

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya telah menemui lima pemain industri terbesar yang mengeluarkan produk itu berikutan terdapat aduan kekurangan bekalan di pasaran berbanding permintaan yang tinggi susulan jangkitan COVID-19.

 

"Setelah mendengar pandangan (pemain) industri, kementerian telah meminta pengeluar meningkatkan pengeluaran ...kementerian telah mendapatkan angka berkenaan keupayaan pengeluaran mereka,," katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan cawangan pertama kedai serbaneka 99 Speed Mart di Serdang, dekat sini, hari ini.

 

Bagi tujuan itu, katanya pihaknya telah meminta Kementerian Sumber Manusia meluluskan permohonan tambahan syif operasi bekerja 24 jam supaya kilang berkenaan dapat meningkatkan pengeluaran penutup hidung dan mulut bagi kegunaan orang ramai.

 

"...sebab mereka pun ada masalah tersendiri misalnya untuk tambah pengeluaran mereka kena tambah syif. Mereka minta saya tolong cakap dengan Kementerian Sumber Manusia supaya mempercepatkan kebenaran kilang tambah syif sebab nak beroperasi 24 jam," katanya.

 

Saifuddin Nasution berkata pihaknya juga akan meminta sejumlah peruntukan daripada Kementerian Kewangan bagi membeli penutup hidung dan muka untuk diagihkan kepada orang ramai namun mekanisme pengagihannya akan ditentukan kemudian.

 

Beliau turut menasihatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga penutup hidung dan mulut kerana ia tersenarai sebagai barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

-- BERNAMA


Attachments