Manage PermissionsManage Permissions

Polis Thailand patahkan cubaan seludup 1 tan dadah

14/02/2020





BANGKOK, 14 Feb (Bernama) -- Polis narkotik Thailand mematahkan percubaan menyeludup kira-kira satu tan dadah, disembunyikan di dalam trak pikap yang sarat muatan sayur kubis, lima lelaki turut ditahan, di wilayah Nakhon Sawan.

 

Ketua Biro Anti Narkotik (NSB), Mejar Jeneral Bandit Thisapak berkata operasi pada 8 dan 9 Feb itu menyaksikan rampasan 900 kilogram (kg) dadah jenis "ice"  dan 100 kg ketamine bernilai 365 juta baht.

 

"Pemandu trak ditangkap di sebuah pusat pemeriksaan pada 8 Feb. Kemudian, kami menangkap empat lagi anggota sindiket di wilayah Suphan Buri dan Ratchaburi.

 

"Siasatan awal mendapati dadah itu dipercayai berasal dari wilayah Tak di utara Thailand dan untuk diedarkan ke kawasan selatan sebelum (diseludup ke negara jiran). Pasukan saya telah menjejaki sindiket itu sejak September tahun lalu," katanya ketika dihubungi Bernama.

 

Bandit berkata anggota sindiket 'ditugaskan' untuk mengambil dadah tersebut di beberapa tempat untuk mengelak dikesan polis.

 

"Dalam kes itu, sekurang-kurangnya terdapat tiga hentian sebelum dadah tersebut sampai ke destinasi terakhir. Kita sedang buru dalang utama," katanya.

-- BERNAMA


Attachments