Manage PermissionsManage Permissions

Skuad bola sepak negara mampu pamer semangat juang tinggi di Palestin

12/09/2021

IPOH, 12 Sept. -  Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin skuad bola sepak negara mampu mempamerkan semangat juang yang tinggi pada kelayakan Piala Asia Wanita 2022 di Palestin bulan ini.

Beliau berkata keyakinan itu disandarkan kepada persiapan jitu skuad tersebut yang 'berkurung' di Wisma FAM Kelana Jaya untuk persediaan, sebelum aksi kelayakan bermula 19 Sept ini.

"Mereka sekarang dalam gelembung, tidak dapat berjumpa dengan keluarga dan terkurung untuk menjalani latihan. Saya doakan mereka berjaya. Saya yakin dengan semangat yang ditunjukkan dalam pasukan dibarisi pemain senior dan pelapis muda.

"Saya tidak tahu kebolehan Thailand dan Palestin, tapi saya yakin pasukan kita boleh beri yang terbaik untuk tonjolkan semangat kesukanan yang tinggi dan mengharumkan nama negara," katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi perjumpaan bersama sukarelawan 'Malaysia Vaccine Support Volunteers' (myVAC) dan petugas-petugas di pusat pemberian vaksin (PPV) Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Jelas Ahmad Faizal, skuad wanita negara itu juga pastinya akan memberikan yang terbaik selaku duta kecil Malaysia di Palestin, di mana rakyat negara tersebut sangat mengagumi Malaysia dari hubungan yang terjalin selama ini.

Skuad negara dijadual menentang Thailand serta Palestin dalam saingan Kumpulan H di Stadium Antarabangsa Faisal Al-Husseini, pada 19 dan 22 Sept ini.

Dalam pada itu, ditanya mengenai pembatalan Liga Futsal Perdana Malaysia (MPFL), Ahmad Faizal berkata aspek kesihatan dan keselamatan pemain-pemain terlibat pastinya diambil kira terlebih dahulu, sebelum pertandingan tersebut boleh dilaksanakan.

"Ramai pemain muda belum divaksin. Kita ingin pastikan keselamatan dan kesihatan pemain-pemain dahulu khasnya melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Jadi saya amat setuju dan sokong keputusan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Perkara itu lagi penting daripada pertandingan itu sendiri.

"Jika perkara itu (vaksin) selesai, insya-Allah akhir tahun ini kita dapat mencapai tahap imunisasi mencukupi bagi seluruh rakyat Malaysia dan dapat mulakan liga-liga yang ada. Sama ada pertandingan diadakan dengan atau tanpa penyokong, itu cerita kemudian," jelasnya.

Dilaporkan, selepas saingan Piala Presiden dan Piala Belia, kini giliran MPFL pula terpaksa dibatalkan penganjurannya musim ini susulan pandemik COVID-19 dan menurut Setiausaha Agung FAM Mohd Saifuddin Abu Bakar, keputusan itu diambil selepas mengambil kira aspek keselamatan semua pihak termasuk pemain, pegawai dan petugas perlawanan.

Menyentuh mengenai program hari ini, Ahmad Faizal berkata sehingga kira-kira 320,000 sukarelawan telah berdaftar di bawah myVAC dan sehingga 2 Sept, seramai 8,187 sukaralewan telah ditempatkan di 417 PPV seluruh negara. - ©BERNAMA


Attachments