Manage PermissionsManage Permissions

Korea Utara uji peluru berpandu, tidak gugat perairan Jepun

13/09/2021

TOKYO, 13 Sept. - Peluru berpandu jarak jauh yang dilancarkan Korea Utara pada hujung minggu lalu dilaporkan tidak memasuki ruang udara atau wilayah perairan Jepun dan zon ekonomi eksklusifnya, menurut Sputnik, memetik stesen penyiaran NHK.

Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) pada Isnin melaporkan negara itu berjaya menguji peluru berpandu baharu jarak jauh jenis cruise yang mampu mengenai sasaran sejauh 1,500 kilometer. Sumber agensi ketenteraan berkata, jenis peluru berpandu seperti itu dikatakan mampu sampai ke  Tokyo.

Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Katsunobu Kato memberitahu wartawan pada Isnin bahawa kerajaan bimbang terhadap ujian peluru berpandu itu yang disifatkan mampu menimbulkan ancaman terhadap keamanan serantau dan kestabilan global jika jarak sasaran terbukti benar.

Kato berkata Jepun kini bekerjasama rapat dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan dalam isu melibatkan operasi ketenteraan Korea Utara.

Terdahulu, Pentagon berkata pihaknya menerima laporan mengenai Korea Utara melancarkan ujian peluru berpandu jarak jauh dan menegaskan aktiviti tersebut mampu mengancam keselamatan negara jiran  dan masyarakat antarabangsa.

Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS) berkata kajian terperinci terhadap aktiviti itu sedang dijalankan dengan kerjasama perisikan AS, lapor Yonhap. Ujian peluru berpandu jarak jauh pada Sabtu dan Ahad itu turut disaksikan pegawai kanan Korea Utara. - ©BERNAMA


Attachments