Manage PermissionsManage Permissions

CAEXPO fokus kerjasama pragmatik

13/09/2021

 

BEIJING, 13 Sept. - Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) ke-18 dan Sidang Kemuncak  Pelaburan Perniagaan China-ASEAN melabuhkan tirainya di Nanning ibu kota Wilayah Autonomi Zhuang Guangxi, hari ini.

 

Memfokuskan peluang kerjasama China-ASEAN, hasil CAEXPO edisi kali ini memperlihatkan beberapa siri projek yang akan dilaksanakan di samping pewujudan platform kerjasama pragmatik.

 

Pusat Perkhidmatan Persekutuan Pengangkutan Bersama Pelbagai Model China-ASEAN yang dirasmikan pada edisi kali ini berjaya mendapat liputan meluas.

 

Pelancaran pusat itu adalah kesinambungan daripada perkongsian laluan baharu darat dan maritim di rantau itu yang akan mewujudkan perkhidmatan logistik bersama pelbagai model China-ASEAN berpaksikan pengangkutan kereta api dan maritim, serta memperkasakan kesalinghubungan prasarana antara kedua-dua pihak.

 

Wakil Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Guangxi, Fan Yijiang menyatakan, selain meningkatkan fungsi pengangkutan logistik, sebuah laluan perdagangan dan koridor industri ekonomi yang menyambungkan China dengan ASEAN bakal dibina.

 

Daripada segi perkhidmatan kewangan, Pangkalan Kombinasi Komoditi Pukal Niaga Lani dan Hadapan China-ASEAN serta Pusat Perkhidmatan Kewangan Rentas Sempadan China-ASEAN telah dilancarkan secara berasingan bagi meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua pihak.

 

Naib Pengarah Jawatankuasa Pentadbiran Taman Industri Qinzhou China-Malaysia, Mo Fuwen berkata, bandar Sanya, ibu kota provinsi Hainan mempunyai kelebihan daripada segi dasar, pengalaman dan pentadbiran.

 

Menurut beliau, dengan adanya kerjasama dengan bandar itu, ia akan turut mendorong pembangunan industri antara China dan Malaysia.

 

Kawasan Perdagangan Pusat Sanya telah memeterai memorandum persefahaman dengan Taman Industri Qinzhou China-Malaysia dan disusuli dengan penandatangan pelbagai perjanjian kerjasama antara syarikat kedua-dua negara. - ©BERNAMA


Attachments