Manage PermissionsManage Permissions

TLDM terima kapal LMS ketiga hari ini

14/09/2021


KUALA LUMPUR, 14 Sept. - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima kapal misi pesisir (LMS) ketiga dalam satu upacara ringkas di Hotel Antarabangsa Baiyue, Qidong, China hari ini selepas kira-kira dua tahun pembinaannya 


TLDM dalam kenyataan hari ini memaklumkan kapal berkenaan berjaya menjalani ujian semasa fasa pelabuhan dan di laut.


“Upacara berkenaan telah disempurnakan oleh Penasihat Pertahanan di Pejabat Kedutaan Besar Malaysia di Republik Rakyat China Laksamana Pertama Zahid Abd Aziz mewakili Kerajaan Malaysia bagi menandatangani Sijil Penyerahan Fizikal.


“LMS ketiga itu dibina pada 18 Sept 2019 dan telah dilancarkan ke permukaan air di Wuhan pada 28 Okt 2020 oleh Pasukan Projek LMS TLDM,” menurut kenyataan itu.


Jawatankuasa Penerimaan Akhir LMS ketiga dianggotai tiga wakil kerajaan telah melaksanakan pemeriksaan dokumentasi, pemeriksaan fizikal dan mengikuti pelayaran demonstrasi keupayaan kapal.


LMS adalah satu daripada lima kelas kapal dalam Program Transformasi Armada ‘15to5’ TLDM dan kontrak perolehan empat buah LMS dimeterai antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd pada 23 Mac 2017 dengan kerjasama China Shipbuilding & Offshore International Co Ltd.


Ia adalah projek perolehan aset pertahanan kapital yang pertama dari China dan LMS keempat dijadual diserahkan pada Disember ini. - ©BERNAMA




Attachments