Belia perlu bekerja keras, berkorban

07/11/2016


Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Bismillaahir Rahmaanir Raheem Alhamdulillah Rabbil 'Alameen, Wabihiee Nasta'eenu 'Alaa Umuuriddunya Wadden, Wassalaatu' Wassalaamu 'Ala Asyarafil Mursaleen, Sayyidina Muhammaddin, Wa'alaa Aalihee Wasahbihee Ajma'een, Waba'du.


ALHAMDULILLAH, beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala kerana dapat lagi bersama-sama hadir di dalam perhimpunan Sambutan Hari Belia Kebangsaan Ke-11 tahun 2016 ini. Beta sukacita mengucapkan Selamat Menyambut Hari Belia kepada semua para belia di negara ini.

Tema sambutan : ''Belia Berwawasan Pemangkin Transformasi'' adalah membawa seribu harapan. Para belia patut menyambutnya sebagai cabaran. Kerana transformasi di sini bermaksud satu cetusan perubahan yang dinanti-nantikan. Ia tidak menunggu lama-lama melainkan terbuka untuk semua, terutama bagi para belia selaku agen kepada perubahan itu.

Satu tanda belia cepat berubah, apabila mendapati ramai di kalangan mereka, walaupun dalam usia masih muda, telah mencapai kejayaan-kejayaan sangat bermakna dalam pelbagai bidang, seperti bidang kedoktoran, guaman, kejuruteraan, keugamaan, keusahawanan dan lain-lain.

Kejayaan-kejayaan yang diperolehi ini adalah alat untuk para belia berkecimpung mencorakkan masa depan negara.

Belia seperti ini tidak syak lagi adalah belia yang berwawasan lagi cemerlang. Negara adalah sungguh-sungguh mengimpikan mereka. Tanpa mereka, negara akan kehilangan tonggak atau pasaknya.

Tidak ada alasan untuk para belia lemah dan menyerah kalah. Ini bukan sifat belia. Belia adalah berani dan gagah. Mereka berani membuka perusahaan sendiri, walaupun mula-mulanya secara kecil-kecilan, seperti meneroka khidmat cuci kereta, menternak ikan, industri kreatif dan seumpamanya, tetapi dari kecil itu ia boleh jadi besar, jika para pengusaha belia terus gigih dan tabah.

Semua apa yang dirancang dan dibuat adalah cabaran belaka. Ia memerlukan kerja keras dan pengorbanan. Pengorbanan itu bukan setakat wang ringgit dan tenaga, tetapi turut lebih penting ialah berkorban dengan masa. Kalau kita menggunakan masa di jalan kebajikan, itulah satu pengorbanan paling berkesan, dengan kita mengawal diri dari menggunakannya secara sia-sia.

Jika ini dijadikan amalan, bererti kitalah orang yang pandai atau bijak memilih, di mana landasan yang betul dan selamat. Sebab itu, kerana tingginya harga masa itu, Allah sendiri sampai bersumpah dengan masa, bahawa semua manusia di dalam kerugian, kecuali mereka yang mengisi masa dengan amal-amal kebajikan. Demikian menurut Al-Quran, Surah Al-'Asr.

Di sinilah cabaran untuk semua, dalam perkara menggunakan masa. Jika silap menggunakannya, bererti kita menjerumuskan diri ke dalam satu krisis kehidupan, dan krisis ini, mesti segera diatasi.
Para belia mempunyai banyak masa dan peluang untuk terus berkembang. Tinggal saja lagi terpulang kepada mereka, sama ada mahu merebutnya ataupun tidak.

Adapun memanfaatkan masa dengan sewajarnya adalah pilihan orang-orang yang bijaksana. Beta berharap, para belia kita hendaklah termasuk antara mereka.

Era hari ini menyediakan ruang lingkup yang cukup luas untuk dilalui, sehingga tiada lagi sempadan dapat membatasinya.

Ini kadang-kadang, boleh mengelirukan orang untuk melakukan apa saja yang disukai tanpa boleh disekat-sekat lagi.

Lalu wujudlah golongan yang sangat-sangat mendewakan kebebasan tanpa batasan dan sekali gus membawa muncul budaya baru, tidak menghiraukan lagi adat tradisi dan ugama.

Pada biasanya, golongan seperti ini adalah lebih didominasi oleh kaum belia di mana-mana saja.

Beta berharap, para belia kita tidaklah akan sampai terjebak kepada konsep bebas seperti ini, tetapi akan tetap kekal sebagai belia-belia yang mentaati ugama dan menghormati undang-undang serta tradisi bangsa.

Sekian Wabillahit Taufeq Walhidayah, Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.​
Attachments