Manage PermissionsManage Permissions

HALAMAN PUISI ... HALAMAN PUISI ... HALAMAN PUISI ...

11/07/2015


Aura Ramadan

Marhaban ya marhaban
Ahlan wa sahlan ya Ramadan
selamat datang lagi bulan yang penuh kemuliaan
kedatanganmu ditunggu-tunggu
setelah setahun berlalu.


 

Umpama riak mendampar ke tebing
tandanya ada rakit mengiring
umpama anak yang akan dilahir
semua keperluan sedia dihadir
menyambut penuh syukur bertakbir di bibir.

Auramu Ramadan terbuka luas
kepada mereka yang dahagakan pahala
duduk bersimpuhlah mereka
di bawah bumbung kubah-Mu
juga mereka yang buka niaga
ambil kesempatan di merata tempat
menambah rezki di kemuliaan yang kau bawa itu semua kerana adanya auramu
yang menjanjikan tempat di akhirat.

Ramadan oh Ramadan
aku rindu kedatanganmu
aku tunggu kehadiranmu
di rumah Allah yang kita janjikan tempat bercumbu
bersama para muslimin muslimat
duduk penuh syahdu merayu bermunajat
berzikir bertahmit di malam-malam
muliamu
dengan hasrat untuk menyambut mutiara
hikmat
Lailatul-qadar kurnia Ilahi
yang kau bawa bersama kehadiranmu
untuk penghuni duniawi
yang nilai gandanya seribu tahun amalan di duniawi
satu nilai yang tertinggi dan abadi.

Dino MN

Tiada Pilihan Lagi

Sudah tiada ruang lagi
sana sini orang berperi
menimbul gelabah di hati
semua keperluan dicemari
di kiri ada daging 'sa-bi' (sapi + babi)
lalu dibuat bebola sapi
di kanan daging kahwin 'bi-ri' (babi + biri-biri)
diadun di aneka resepi
lalu ditampak logonya halal
agar tidah ketahuan akalnya dajal.

Sudah tiada pilihan lagi
kita mesti cari pengganti
hasil kepunyaan kita sendiri
tiada gelabah tiada diragui
untuk makanan seisi negeri.

Bersama kita buka minda
ambil peluang yang ada
pelbagaikan hasil kita
dari usaha kecil dan sederhana
ke usaha taraf dunia
dengan logo halal negara
biar sedunia bergantung ke kita
pengeluar halal terbesar di alam buana.

Mari ambil peluang luas terbuka
dibuka oleh yang membenci kita
konon agar kita kelaparan dan dahaga
agar tiada pilihan lain
makan minumlah kita seumpama mereka
sedangkan mereka mengunci rezkinya sendiri
mereka alpa dan lupa
bahawa kita masih punya hak halal sendiri
kerana halal kita halal abadi
halal dimakan halal dipakai
suci kita suci terperinci
suci diminum suci menyuci
bersih kita bersih mutlak
bersih diri juga akhlak.

Tiada pilihan lagi
ayuh kita berusaha
merebut ruang yang ada
buka usaha tembusi dunia
agar mereka tahu bahawa
kita pengeluar halal
kebilangan semerbak harumnya
seluruh pelusuk rantau buana
biar mereka tak habis fikir
kita tak mati kelapasan tanpa produk mereka
kerana kita punya produk sendiri
walau makanan kita dicemari
walau pakaian kita dinodai
kerana kita buat sendiri.

Dino M.N
Birau

Syair Sempena Bulan Ramadan 2015

Ucap bismillah pemula ikhlas,
tentang Ramadan dua ribu lima belas,
setiap tahun bertindak balas,
cerita ditulis pandang sekilas.

Sepanjang Ramadan wajib berpuasa,
itulah perintah Tuhan yang Esa,
setiap muslim halnya biasa,
agama Islam bukan memaksa.

Lama bekerja dikurangkan masa,
hanya enam jam cukup selesa,
lapan pagi di bulan puasa,
hingga jam dua tidak terasa.

Setiap sekolah pulangnya awal,
kurang empat jam senang dikawal,
35 minit baki terjadual,
Sesiapa pun tak banyak siwal.

Sudah menjadi kebiasaan peniaga,
sebelum Ramadan udah sedia,
banyak terlibat dalam keluarga,
menyediakan perkakas untuk dibariga.

Disediakan kerajaan di kawasan stadium,
bau asap saja banyak tercium,
bikin menghilang baunya harum,
menusuk tajam bagainya jarum.

Di Pasar Gadong apa kurangnya,
gerai demikian luan banyaknya,
peniaga berteriak usah ditanya,
jelas tahu berapa harganya.

Di bandar pula di hadapan Kebesaran Di-Raja,
pengunjungnya pun ramai para pekerja,
payah melihat sigup dijaja,
kerana berpuasa perokok teruja.

Di siring BIBD Kiulap bergerai Ramadan,
berasap tiada tujuan memadan,
biar makanan berwangi pandan,
makanannya pun banyak bertindih-tindan.

Senang rasanya berkunjung di situ,
paking senang susun tertentu,
tempat berjalan lantai berbatu,
kuihnya pun nyaman pasti bermutu.

Berjalan kita di serata kampung,
banyak makanan campurannya tepung,
gerai Ramadan bagai tertampung,
macam cendawan tumbuh terapung.

Pada gerai kendalian kerajaan,
disediakan ruang berbayar tajaan,
tiadalah mahal sebagai galakan,
asal uras tidak bersipahan.

Ramai peniaga berjual makanan,
boleh dinampak kiri dan kanan,
tidak lagi menyebab kapunan,
nafsu puasa tampaklah di tangan.

Penjaja tediri besar dan kecil,
masbuklah juga penduduk terpencil,
ingin membeli soto sepisil,
sudu berperanan bukannya pensil.

Para remaja berganding bahu,
mengambil sempatan mahunya tahu,
membuka gerai berjual buahulu,
bagai mana rasanya berpanas suhu.

Cukup sekian syair dimadah,
tulis menyusun mudahan berfaedah,
bukannya untuk menyuruh gundah,
sekadar ilham mahu bapadah.

Ampun maaf dimohon ikhlas,
cukup dibaca usah dibalas,
legalah terasa meminum segalas,
air kausar warnya kalas.

Haji Mariat bin Haji Abdullah

Uduk-Uduk

Bungamu uduk-uduk
ungu warna kuntummu
dedaunmu berbulu baldu
buahmu kumakan selalu
ketika kanak-kanak dahulu
bibirku pun berwarna biru
aku kini rindu.

Bunga uduk-uduk
kucari simpang dahanmu
kulangkang dan kudiang
siap melengkung bulat
diikat dengan getah lastik
lalu berkawan-kawan melastik punai
lalu berlawan melastik pidada
lalu berdulu-duluan melastik banyak kelawar
dan itulah cerita lama semasa kanak-kanak
dengan getahnya daripada baladar basikal rosak
dengan bilulang daripada kulit kasut rosak
dengan pelurunya daripada bebatu kelikir
sesekali sekala memakai biring basikal
kalua kena sasaran pasti palau atau mati
dan begitulah penangan uduk-uduk.

Uduk-uduk
bebungamu menjadi ubat
dicalitkan pada bekas luka atau kuris
pasti terubatkan jika dibuat berkali-kali

Uduk-uduk
hidupmu masih ditakuk lama
bebungamu tak dipandang lagi
dahanmu tak dikreatifkan lagi
maka hiduplah kau
sebagaimana dahulu-dahulunya
dengan namamu uduk-uduk.

Haji Mariat bin Haji Abdullah

Tua

Begitulah yang ditakdirkan
kita telah dituakan
atas kehendak-Nya jua
menyambung takah hidup berjiwa
di dunia pinjam-pinjaman ini.

Syukur alhamdulillah
sampai ke pagi ini
mata masih terlihat pada segala-galanya
telinga masih terdengar pada segala-galanya
hidung masih terhidu pada segala-galanya
mulut masih kumat-kamit tentang segala-galanya
bibir masih merasakan manis, tawar, dan pedasnya
tangan berjejari masih dapat menjangkau segala-galanya
kaki berjejari masih dapat meninjak segala-galanya
badan masih boleh bergolek ke kiri dan kekanannya
malah kentut pun kekadang masih menghembus jua
alhamdulillah syukurlah kita masih bernyawa lagi.

Begitu kita di alam maya setua ini
udah dikategorikan menjadi warga emas
menerima elaun usia tua setiap bulan
lantas..
masa muda telah berlalu kita alami
ditinggalkan nostalgia-nostalgia buruk yang menekan diri
pasrahlah kita kepada Allah Yang Maha Kuasa
kalau dulu tak sembahyang kini sembahyanglah
kalau dulu selalu mengusik orang lalu menyesalah
kalau dulu selalu banyak bersembang lalu berjemaahlah
kalau dulu selalu mabuk lalu bertaubatlah
kalau dulu kuat berjudi kini tidak lagilah
dan banyak kini udah perubahan mentaqwa diri
harap-harap kita akan dapat bersilaturahim lagilah
pun berserah kepada Allah Yang Maha Penyayang
kerana bila telah masuh ke alam tua
penyesalan jadi imbangan
kerana kini baru tahu siapa diri di sisi Tuhan – aqidah ditebalkan
kerana Allah itu Tuhanku dan Muhammad itu nabiku
hasaduan laillahhaillallah wahasaduanna
Muhammad darasulullah.

Begitulah yang ditakdirkan
kita telah dituakan
kubur kata mari rumah kata pergi demikian kata orang
sedangkan sesiapapun boleh mati kalau
ditakdirkan bila ketikanya
bukan hanya dipunyai orang seperti kita yang dah tua ini.

Haji Mariat bin Haji Abdullah

Daya Cipta Seni

Ada orang bertanya,
apa itu seni?

Seni itu penciptaan
suatu citarasa
yang indah dan mengasyikan
(sememangnya seni itu indah)
Ia juga fikiran sempurna
Menjelma di dunia pancaindera

Sesungguhnya penciptaan ini
merupakan kerja seni yang hakiki
kerana yang dicipta itu
ialah seni sebenarnya
tiada penciptaan tiadalah seni

karya seni atau daya cipta seni
(di samping perkembangan sains & teknologi)
karya seni juga tidak kurang pentingnya
kerana ia adalah makanan rohani
bagi pembangunan sesebuah negara
cintai dan sayangilah negara kita
Nabi ada bersabda:
"Cintakan negara itu dari iman"

Daya cipta seni
merupakan wadah bagi penulis
untuk menyatakan perasaan dan pemikiran
yang kemudiannya dijadikan sumbangan
dalam membentuk masyarakat madani
atau bangsa yang bermaruah,
berdaya saing dan berdedikasi tinggi

Daya cipta seni
sememangnya ia suatu citarasa
suatu kemanfaatan hidup
dan hanya manusia yang praktik
akan tahu dan mempastikan di mana-mana atau bila-bila sahaja
ada rasa seni baginya.

Rahim M.S
Brunei Darussalam

Dalam Hayat

Sungguh dirasakan
di kiri kanan perjalanan
banyak simpangnya
berbelit-belit dan berliku-liku
adalah hakikat yang hakiki
hamparan yang mesti dijejaki
jika tersilap langkah
pasti akan menerima padah
dalam resah gelisah!

Wahai insan jagat raya
kenalilah diri kita ini
yakin dan pastikan
hidup harus mandiri
tidak gentar pada gugahan
selain dari kemurkaan Rabbul Alamin
Tuhan semesta alam.

Ya Tuan,
di sini aku meniti hidayat-Mu
taasub sepanjang hayat
tanpa ragu dan ingkar
pada mentaati
amar makruf nahi mungkar.

Allahuakhbar
Allahuakhbar
Allahuakhbar
kepada-Nya kita pasrah dan menyerah
sujud dan tawaduk istiqamah
agar menjadi kekasih-Nya
yang sejati
abadi.

Rahim M.S.
Brunei Darussalam

Surat Takdir

Tidak siapa menduga atau menyangka
sesuatu perkara itu akan berlaku
tiba-tiba terjadi malapetaka
dan kita tak dapat berbuat apa-apa
sudah suratan takdir
kuasa Allah Azzawajalla

Tuhan telah menentukan segala-galanya
dan tidak ada jalan pilihan bagi kita

Suratan takdir
tidak siapa yang dapat menolaknya
kita manusia tidak berdaya
Allah jua yang Maha Berkuasa

Wahai insan mukmin
kejadian malapetaka yang menimpa ini
jadikanlah iktibar dan pengajaran
relakan dan hadapilah
dengan penuh ketabahan dan kesabaran
justeru di sebalik sifat sabar itu
terkumpul sejuta rahmat dan nikmat
anugerah Allah Subhanahu Wata'ala

Sesungguhnya,
Allah berserta orang yang sabar.

Rahim M.S.
Brunei Darussalam

Attachments