Manage PermissionsManage Permissions

PUISI

16/10/2015

JANGAN TERBURU-BURU

Jangan ikut kata hati sahaja
Kerana hati tidak punya akal
Untuk berfikir
Jangan ikut akal sahaja
Kerana akal tidak punya deria rasa
Gunakan kewarasan untuk keselamatan
Pandulah hati dan brakelah akal
Dengan cermat dan berdisiplin
seandainya tidak mampu mengawal
Kita sendiri akan terbabas
Dalam haluan untuk menuju ke arah kepastian
Dan bila kita gagal kita sendiri akan menyesal
Biarlah kita ambil waktu beribu tahun sekalipun
Untuk berfikir demi satu keputusan
Agar nanti kita tidak kecewa dan merana seumur hidup
Kerna sesal kemudian tidak pernah berguna lagi.

TIDAK MUNGKIN

Bukan ingin menyalahkan takdir
Di atas pertemuan yang telah cepat berakhir
Aku cuma ingin menyatakan buat kali yang terakhir
Inilah seksanya sebuah penyesalan
Kerana hati ini sudah terlalu jauh mencintai dirimu
Terlalu banyak menganyam angan untuk hidup berdua
Bersama dirimu...
Sedangkan kau yang ada jauh di sana
Ku lihat sedang berpeluk mesra dengan seorang kekasih
Bergelak tawa bertepuk tampar
Dan aku ... hiba dan sedih
tercampak jauh di hujung persimpangan
seandainya boleh aku lakukan
Ingin ku usung ke belakang
satu musim
...Yang telah berlalu ini
Biar semuanya kembali seperti dahulu
Tanpa diri dan bayangan wajahmu
Kerana tika itu aku tidak tahu siapa namamu
aku tidak kenal hati budimu
...dan aku tidak terikat dengan cinta
Palsumu ... cinta si buaya tembaga!
Namun kini semuanya sudah terlambat
Inilah sebuah penyesalan yang tidak bermakna lagi
Langsung tidak meninggalkan secebis erti
Hanya yang ada sekeping hati yang terguris ngilu
bila cinta yang ku agungkan buatmu
Telah hancur kau dustai...
Bukan salahmu tidak dapat ku maafi
Tapi cintamu di lautan hati ini
Terlalu luas tidak bertepi
Sayang...
Seandainya kau tahu
Kesakitan jiwa yang masih bernamakan cintamu
Adakah kau akan akan kembali ke sisiku
Bercinta lagi seperti dahulu ... mengukir kasih
bercorak rindu berwarna putih nan suci!
Mungkin jawapannya tidak!!
Kerana meninggalkan aku sendiri
Tanpa nota yang berbahasa pesanan
Tidak pernah membisikkan sebuah penyesalan
Ke telinga hatimu ...
dan aku yang akan terus mandi dengan sejernih air mata
bersama segugus sesal di hati yang berpanjangan
kerana cinta kasihku padamu terlalu sukar
...untuk aku lupakan


Oleh : Utsukushii Tsuki


BUDI BAHASA I

Naik sampan bertimba ruang,
Gadis desa di pinggir kali;
Biar badan niskin terbuang,
Budi bahasa tak jual beli.
Benar sekali,
budi bahasa tak jual beli
kerana ia bukan barangan
atau benda untuk diperniagakan
Ada padi adalah beras,
Bertanak nasi periuk tembaga;
Ada budi adalah balas,
Orang berbudi kita berbahasa.
Bertanak nasi periuk tembaga,
Terbang kenari di balik mega;
Orang berbudi kita berbahasa,
Orang memberi kita merasa.
Demikian adanya;
emas merah ada berharga
budi bahasa bernilai selamanya.


BUDI BAHASA II

Adalah benar,
budi bahasa tak dapat dijual beli
kerana ia bukanlah barangan
atau benda untuk diperniagakan.
Kita biar miskin dengan wang ringgit
asalkan kita jangan miskin budi bahasa
kerana budi bahasa itu
tidak memerlukan modal.
Anak itik pandai menari,
Anak angsa terlompat-lompat;
Rupa cantik dapat dicari,
Budi bahasa mana nak dapat.
Tingkap papan kayu bersegi,
Sampan sakat di Pulau Angsa;
Indah tampan kerana budi,
Tinggi bangsa kerana bahasa.
Budi bahasa,
budi bahasa budaya kita.


WACANA TANAH AIR

Jika kau ditanya
di mana bumi kelahiranmu?
Jawablah :
di sinilah bumi dipijak
di sinilah langit dijunjung
di sinilah darah kita tertumpah
di sinilah cinta kita
pasti tercurah!
Katakan lagi :
selagi nadi berdenyut
selagi jantung berdegup
kecintaan
kasih sayang
dan kesetiaan kita
begitu bersemarak
berakar umbi di hati nurani
dalam rahmat Ilahi.
Kita tidak akan lari
atau ingkar di sini
kerana tanah air adalah
tanggungjawab yang mutlak
hamparan persada yang mesti dijejaki
dengan mata terbuka atau terpejam
maka kerananya ...
kita mengisi, menyumbang dan memperkukuhkan
dengan nikmat kemerdekaan
menurut yang diredai Tuhan.
Biar mereka akan tahu
biar mereka benar-benar mengerti
kita ini anak peribumi sejati
yang tahu kenal diri
yang bisa hidup mandiri
tidak gentar pada gugahan
selain kemurkaan Rabbul'alamin
Tuhan semesta alam
Kita rela berkorban
Kita rela berputih tulang
namun kita tidak rela
berputih mata! Dalam nista menimpa
kerana sejarah telah mengajar kita.
Demikianlah,
dengan yakin dan takwa
kita merealisasi dan melestarikan
demi kedaulatan
demi kemerdekaan
dan demi kesejahteraan
Brunei Darussalam yang tercinta
di sinilah kehidupan kita
semoga sentiasa dirahmati
dan dalam perlindungan Rabbul'izzati
amin!


YAKIN DIRI

Dalam kegembiraan
dalam kemurungan
malah dalam apa jua sekalipun
kita perlu ada keyakinan
yakin diri
sebagai benteng kekuatan
dan pegangan hidup yang hakiki
untuk duniawi dan ukhrawi.
Ingatlah,
hidup tanpa pegangan
terasa diri keterpinggiran
menyepi dan membeku
membuatkan kita alpa dan tidak tahu
ke mana bahtera hayat dilayari
di mana kiblat yang dihadapi
segalanya jadi tidak bererti
di sini!
Yakin -
pasti
suatu hakikat kehidupan
kita penuhi segala tuntutan hidup ini
kita isi dan lestarikan bersama
tanpa ragu atau bimbang
iman dan ihsan pembalut badan
Yakin diri
(seperti juga meditasi menilai diri)
adalah sebaik-baik hal atau perkara
bagi setiap insan-insani
yang ingin melabuhkan cintanya
ke jalan yang bermanfaat dan diredai
''Biar hidup penuh bererti''
begitu saranan Islam yang suci
Yakin diri
adalah hati, nikmat yang paling agung
amanah dari Allah
yang perlu dipelihara dan diisikan
dengan zikrullah
dengan nasihat
dengan muhasabah diri
agar dia terus hidup terus-terusan
tanpa ada cacat cinangganya
Dengan mengingati Allah
Hati kita menjadi sakinah
tanpa resah-gelisah!


Oleh : Rahim M.S


MARI KITA BERDIKARI

Tiga kali laungan Allahuakbar
sudah cukup memberi makna
kepada rakyat negara kita.
Laungan itu
adalah laungan kemerdekaan
laungan bebas berusaha sendirian
untuk menghijau di bumi Brunei.
Kita merdeka
bukan untuk menanti rezeki bergolek
tanpa usaha dan
membanting tulang sendiri
tanpa kita berusaha
adalah menunjukkan kemalasan diri.
Kalau ada hamparan tanah sekengkang kera
taburkanlah jasa kepada bumi
bumi dahagakan tumbuhan hijau
hijau melimpah hasil usaha sendiri
itu dinamakan merdeka
merdeka untuk diri sendiri
agar dapat lihat taburan budi
kepada bumi.
Jangan berpeluk tubuh
memandang kawan bergerak membanting tulang
elok kita berdengki
berdengki dengan usaha
usaha berdikari.
Hari esok mari kita bungkas
dari berpeluk tubuh malu kepada diri sendiri
barulah rezeki datang menghampiri
tuan, mari kita berdikari.


DISEBUT DIKENANG-KENANG

Mana dia penyanyi lama?
penyanyi suara seni Melayu
irama seni Melayu Nusantara
patah lagu lembut
sesedap pendengaran.
Demikian juga dengan pelakon derama
dan pelawak tanah air kita
mereka ini masih di mulut-mulut
disebut-sebut oleh peminat
sekalipun penyanyi, pelakon derama
dan jua pelawak veteran
mereka ini dikenang-kenang
dan disebut-sebut.
Persembahan artis veteran
di satu ketika dahulu menggegarkan
pentas persembahan dengan senyum
dan ketawa dan tiada lenyap
di tempat menonton
tetapi masih bermain di kepala penonton.
Di mana persembahan dibuat
ratusan peminat dan penonton
berduyun, berpusu-pusu
kerana gelagat dan gaya penyanyi
serta pelawak dan pelakon veteran
tanah air.
Artis veteran
masih disebut-sebut dan
dikenang-kenang peminat.


JANGAN IKUT KEGAGAHAN

Bak kata pepatah Melayu
"ikut rasa kita binasa"
"kalau diikut rasa hati kita mati"
Ya!
kebanyakannya kita manusia
di zaman ini mengikuti rasa nafsu
mengikut rasa hati kita sendiri
kalau boleh bumi ini kita telan.
Banyak contoh terang dan nyata
yang boleh kita lihat sendiri
dan kadang kala kita sendiri
melakukannya.
Ya! Kata guru atau kata ketua
kita bantah kita sanggup
mengetengahkan kesalahan anak kita
kononnya kita mahu menang
perjuangan kita itu betul.
Kita sebagai indung jangan silap langkah
silap perjuangan kita kecewa dan hampa
dan boleh kita kecundang
oleh itu
jangan ikut rasa
jangan ikut hati
jangan ikut rasa kegagahan.
Perasaan ini semua mahu
semua mahu menang
mahu gagah.


Oleh : Yatim Budiman

Attachments