Manage PermissionsManage Permissions

PUISI ADI RUMI

26/06/2015

MADAH : 2 BELAJAR KEPADA SEJARAH
(Mengilhami ialah beberapa ayat dalam Surah Hud)

ALLAH menciptakan alam ini
adalah untuk menguji
siapa di antara penghuninya
yang lebih baik amalannya,
siapa?

Telah jelas,
ramai yang memilih jalan sesat,
apabila Nabi berwasiat :
"Awas! Kamu setelah mati
akan dibangkitkan lagi."

Orang-orang yang sesat itu,
berkata :
"Ini tidak lain
dari sihir semata-mata
sihir yang nyata."

Allah meminta Nabi, supaya
jangan sempit dada, manakala
orang-orang ingkar itu berkata :
" Mengapa tidak diturunkan saja harta kepada Muhammad
atau didatangkan Malaikat menolongnya?"

Malah mereka menuduh Nabi
mereka-reka Al-Qur'an
suatu tuduhan,
yang cukup pahit
untuk ditelan.

Namun wahyu tetap mengungkap :
" Wahai Muhammad, katakan!
Kalau sudah demikian itu tuduhan kamu,
cubalah datangkan,
sepuluh surah rekaan yang sebanding Al-Qur'an."

Ternyata, mereka itu gagal
untuk memenuhi cabaran ini.
Nah, tidakkah ini juga bukti,
bahawa Al-Qur'an,
sekali-kali ia bukan rekaan!

Mereka benar-benar gagal
untuk melemahkan kuasa Allah,
dan juga gagal
untuk memesongkan Nabi dan pengikut-
pengikut Baginda
daripada jalan yang lurus (Ugama Allah).

Tidakkah ini juga
satu lagi . . .
bahan sejarah utama,
yang mustahak
untuk kita berguru kepadanya?

Berguru itu di sini
ialah melalui ujian, bagaimana
untuk menghadapi mereka?
Tentu saja dengan iman
bukan dengan senjata biasa.

Iman jika kuat,
itulah senjata
yang paling hebat.
Sebaliknya jika iman lemah
inilah punca musnah.

Tidakkah ini
satu petunjuk sejarah :
betapa dengan iman,
Nabi walau seorang diri,
perjuangan Baginda tetap diberkati.

ADI RUMI
Dorchester,
London,
13.6. 2015.

Attachments