A+ A A-

Noktah terakhir

Rate this item
(5 votes)

cerpen01 100514

 

 

MEMANG agak sukar untuk menjelmakan impian itu menjadi kenyataan. Kalau alang-alang usaha, jika calang-calang menempuh cabaran ianya cuma akan tinggal impian untuk selama-lamanya yang pada saat akhirnya akan menjadi tugu peringatan bagi sebuah lagenda.

Tidak ada lain yang dirindui oleh seorang yang bergelar isteri selain dari suami. Siapa pun dan bagaimana bentuknya tidak boleh lari dari perasaan itu. Hanim juga tidak terkecuali dari senario yang serupa. Walau pun dia tidak lebih umpama punggok yang merindukan bulan.

"Kami saling cinta menyintai tidak mungkin akan lenyap begitu saja." Hanim masih menghargai kedaulatan dan kesucian perkahwinan mereka. Walaupun telah nyata kedaulatannya sudah tercemar.

"Kau terlalu berlembut Nim pasal itulah kau kalah."

"Bagaimana hendak ku paksakan diriku Zela jika sudah begini jadinya."

"Ada ketikanya kita perlu berlaku keras demi untuk menyelamatkan keadaan."

"Itu kejam namanya nanti orang akan kata kita ganas...!"

"Kerana itulah kau senang dikotak-katikkan oleh seorang lakilaki yang bernama suami, macam suami kau tu." Zela mula naik radang. Macam dia yang kena getahnya.

"Aku tidak mampu untuk berbuat sesuatu yang aku sendiri tidak sanggup melakukannya."

"Aku tau kau seorang isteri yang baik, tapi kebaikan mu itu digunakan oleh orang lain untuk mempurak-perandakan rumah tangga mu."

"Aku sudah cuba untuk meyakinkan diriku, tapi aku gagal...," Hanim mengakui kelemahannya.

"Nim...kita melayari rumah tangga ini umpama berniaga, kadang-kadang untung dan tidak pula sedikit yang rugi oleh itu kita harus keras."

"Aku belum berputus asa Zela, aku pasti abang Fauzi akan kembali juga."

"Aku cuma dapat berdoa dan berharap pagar impian mu itu menjadi kenyataan."

Bagaimana pun harmoninya sebuah rumah tangga, jika muncul orang ketiga akan pasti mengundang kehancuran. Semua itu bagaikan sudah tercatat dalam buku jadual sebuah perjalanan hidup dalam rumah tangga. Malah perkara begitu bagaikan tidak boleh terpisahkan dari harus kehidupan dalam sebuah perkahwinan.

"Apa ertinya perkahwinan kita ini bang. Orang lain bahagia tapi kita...!"

"Jangan samakan diri kita dengan orang lain."

"Jadi...Han ini siapa pada diri abang...?" Hanim sudah mulai berani.

"Jangan salahkan orang lain...!" Fauzi masih dengan egonya.

Dialog itulah yang sering berserabut dalam fikiran Hanim. Dia tidak merasa bersalah apa-apa. Tapi suaminya sangsi terhadap dirinya. Mereka sudah diijabkabulkan sebagai suami isteri yang sah. Apa lagi yang disangsikan...?

"Orang lelaki memang susah untuk mengerti, ego mereka melampau...!" Zela menikam tanpa berselindung untuk ego seorang lelaki.

"Aku tidak tau lagi apa yang harus aku lakukan sekarang." Hanim masih mencari di mana punca keretakan rumah tangganya yang belum setahun jagung itu.

"Jangan-jangan Fauzi ada perempuan lain...?" Zela cuba menyerangkap jarang.

"Fauzi tidak mungkin berbuat begitu." Hanim masih memahkotakan kesetiaan suaminya terhadap dirinya. Walaupun mahkota itu sudah mereng menunggu saatnya untuk jatuh dan bergolek ke mana-mana.

"Perkara yang kita fikirkan tidak mungkin itulah yang sering berlaku. Kau harus bijak berbuat sesuatu, jika tidak kau akan kecewa dan merana nanti."

Hanim mula termakan sedikit kata-kata kawannya Zela. Barangkali benar Fauzi ada fair dengan perempuan lain, jika tidak masakan dia selalu keluar malam dan tidak pedulikan dirinya sebagai seorang isteri.

"Mengapa abang perlakukan Hanim begini bang. Apa salah Hanim terhadap abang...?"

"Selama ini Hanim mengkhianati abang." Fauzi terlalu yakin.

"Apa maksud abang...?" "Tepuk dada Hanim sendiri...!" Fauzi macam tidak berdosa.

"Jangan burukkan lagi keadaan kita bang, yang retak cuma menanti belah."

"Sekarang sudah pun berkecai dan hancur terhempas ke batu."

"Semua ini cuma fitnah bang...!" Itulah buat pertama kalinya Hanim bersuara tinggi dan keras terhadap suaminya.

Lelaki yang bernama Fauzi itu tidak mudah hendak makan pujuk, walau dengan kata-kata yang berhias dengan bunga-bunga bahasa. Kepercayaannya kepada Hanim sudah hilang, dia lebih percaya pada orang ketiga dalam hidupnya walau pun orang itu nyata-nyata telah menghancurkan kehidupannya. Fauzi tetap dengan keras kepala dan hati batunya itu.

 

cerpen02 100514

 

"Kau kikis ingatan mu pada laki kau yang tidak berguna itu." Zela menghukum.

"Tapi dia suami ku Zela." Hanim masih taat pada suaminya.

"Kumbang bukan seekor Nim...!"

"Abang Fauzi jangan kau samakan dengan kumbang Zela."

"Aku kira kumbang lebih punya hati dan perasaan dari laki kau itu."

"Dia suami ku Zela...aku sangat menyintainya."

"Tapi dia telah melukakan hati mu dan sebentar lagi kau akan diperlakukannya sebagai barang mainan yang tak punya erti apa-apa."

Itulah kata-kata akhir Zela pada Hanim satu ketika dulu. Hanim terfikir juga ada benarnya kata-kata Zela itu. Hingga sekarang dia cuma sebagai seorang penunggu yang diibaratkan seperti pepatah 'umpama menunggu buah yang tak jatuh dan menunggu sungai yang tidak berhulu'.

Itulah yang bernama kehidupan. Kehadiran orang ketiga dalam hidupnya sekarang benar-benar menemui kehancuran. Ada orang berkata hidup ini sebuah drama dan dalam drama itu pula ada pertentangan, setiap pertentangan mau tidak mau akan memakan korban. Apa kah begitu yang sebenarnya realiti kehidupan kita sebagai manusia...!

Tidak ada apa lagi yang harus ditunggu dan dinanti oleh isteri yang malang ini melainkan keranapan dan kehancuran. Kekecawaan kian jelas dalam dirinya, tirai-tirai mesra dan tabir-tabir kasih serta lampu harapan semakin malap dan bila-bila saja akan padam untuk selamanya.

"Jangan seksa Han terus-terusan begini bang...!" Sebak dada Hanim.

"Siapa yang lebih seksa kau atau aku...?" Fauzi tetap angkuh.

"Abang berterus terang pada Han...siapa Han ini sebenarnya dalam hidup abang...!"

"Aku memberikan bunga-bunga cinta sesuci dan seunggul cinta Adam terhadap Hawa. Tapi apa yang aku dapat...?"

"Han juga telah memberikan segalanya umpama apa yang diberikan Hawa kepada Adam."

"Jangan kau perlekehkan cinta sesuci cintu mereka itu. Kau tidak layak...!"

"Adam dan Hawa juga manusia seperti kita, punya cinta hingga beratus-ratus tahun mempertahankannya."

"Tapi kau curang...!" Bentak lelaki ego itu dengan kuat. Hanim terkejut lagi.

Apa kah Hanim betul-betul curang terhadap Fauzi suaminya yang tercinta dan sanggup sehidup semati seketika belum diijab-kabulkan dulu. Apakah yang telah dilakukannya menyebabkan Fauzi begitu ghairah dan bernafsu menuduhnya curang. Hanim merasakan tuduhan itu terlalu berat. Barangkali Fauzi tidak faham ertikata curang itu yang sebenarnya.

"Begini-begini pun aku masih anak dara tau, kau jangan menganggap aku yang bukan-bukan."

"Aku bukan bermaksud begitu Nim."

"Tak mengapa Zela aku akan rela menerimanya jika ini sudah ditakdirkan untuk ku." Hanim benar-benar berserah diri kepada Allah.

Hari-hari yang dijalani Hanim merentasi hutan belukar kehidupan semakin penuh dengan duri dan onak serta ranjau dalam perjalanannya yang semakin tipis untuk menemukan sebarang titik penyelesaian. Semakin dicari rantis dan hujung jalan semakin tebal hutan dan belukar yang diredah.

"Kau jangan mimpi aku akan kembali. Dalam hidup ku sekarang setitik raut wajah mu pun sudah tidak terlukis dalam hatiku."

"Han tidak mengerti hidup yang macam apa abang kehendaki dari Han. Han sudah menjadi isteri abang."

"Aku tidak menghendaki hidup yang berpura-pura".

"Han tidak pernah berpura-pura dalam hidup kita. Sejak dulu hingga sekarang Han masih tidak berubah cuma minda abang yang selalu main kotor...!"

"Diam...!" Fauzi menjerit.

"Han sudah lama diam bang, tapi semua itu abang gunakan untuk menuduh Han yang bukan-bukan. Han tidak pernah berbuat curang tapi sebaliknya abang yang curang terhadap diri Han...!"

"Sekali lagi kau kata aku curang kau akan tau apa akibatnya nanti."

"Apa yang abang rasakan Han juga merasakannya. Jika abang tidak mau dikatakan curang, Han juga tidak mau dituduh begitu."

"Kau jangan cuba nak menegakkan benang basah semua itu akan sia-sia."

"Memang jika hati seseorang itu sudah dirasuk iblis, dia tidak akan nampak apa-apa melainkan keburukan."

"Aku sudah tidak ada apa-apa perhitungan dengan kau. Mulai saat ini aku ceraikan kau dengan talak tiga...!" Bergegar tiang arasy apabila perkataan itu dilafazkan. Satu lafaz yang benar-benar dibenci oleh Allah.

Berakhirlah penantian seorang isteri yang mengharapkan keruh menjadi jernih. Kelam bertukar terang dan kembali ke pangkal jalan setelah tersesat di hujungnya. Kaca yang sedia retak seribu kini pecah berjuta bertaburan dan berselerak umpama ketulan mutiara.

Kilauannya semakin bersinar apabila titik demi titik deraian air mata jatuh membasahi kepingan pecahan kaca yang sekali gus menghiris tali jantungnya hingga berdarah suai-suai yang tidak boleh dipantan lagi.

Last modified on

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel