A+ A A-

Diari Batrisya

Rate this item
(3 votes)

cerpen 050714

27 Ogos 2010 - SELAMAT ulang tahun, Nurul Batrisya binti Haji Bazri! Ungkapan itu yang ku tunggu keluar dari mulut seseorang yang bergelar kawan kepadaku namun tidak ada seorang pun kawanku yang pernah mengungkapkan perkataan seperti itu kepadaku termasuk yang mengatakan bahawa aku ini adalah kawan baik mereka. Ucapan itu hanya dari ibu, ayah dan abangku. Bukan aku tidak pernah beritahu kawan-kawanku tentang tarikh hari lahirku tetapi mungkin hari lahirku ini bukan sesuatu yang penting buat mereka. Sewaktu kecil mungkin aku tidak perlukan kawan, tetapi sekarang aku sudah berumur l8 tahun dan semestinya aku harus punyai kawan baik.Walaupun ia cuma seorang. Tetapi.. biarlah. Mungkin belum masanya aku milikki seorang kawan baik. Mungkin suatu hari nanti. Mungkin...

14 September 20l0 - Pagi itu aku masuk ke dalam kelasku. Seperti selalu kedatanganku tidak dihiraukan oleh classmatesku. Aku terus saja mengambil tempat duduk ku iaitu di tempat duduk berhampiran dengan jendela. Aku hanya diam di situ sehingga guruku datang. Kemudian aku mulakan pembelajaranku pada hari ini.

Haryana mendekati aku dan menanyakan aku bagaimana untuk menyelesaikan soalan ini. Tanpa banyak bicara, aku menerangkan kepadanya. Aku hanya tersenyum apabila Haryana terus berlalu sebaik aku menerangkan kepadanya tanpa mengucapkan terima kasih. Aku sudah terbiasa dengan perkara itu. Sejak aku berada di sekolah menengah lagi. Ah... biarlah!

20 Oktober 20l0 - Hari ini aku akan menduduki peperiksaan akhir tahun bagi Menengah Enam Bawah. Aku berharap aku akan dapat menjawab setiap soalan yang diberikan. Dan semoga juga kawan-kawanku begitu.

3.00 Petang. Alhamdulillah, aku sudah berusaha seberapa mungkin. Sekarang aku hanya perlu bertawakkal kepada Allah Subhanahu Wata'ala. Aku pulang ke rumah sebaik saja peperiksaan selesai. Aku perlu mengulangkaji untuk kertas peperiksaan yang selebihnya.

14 November 20l0 - Peperiksaan ku sudah selesai seminggu lalu. Aku berdebar menunggu keputusanku. Di samping itu juga, aku tiba-tiba merasa sakit di bahagian kepala malah kebelakangan ini aku sering saja lupa akan sesuatu walaupun aku baru meninggalkannya tidak sampai lima minit. Ah, mungkin ini kerana akibat aku terlalu mengulangkaji dan tiada masa untuk menenangkan fikiran.

Soal kawan pula, aku merasa gembira. Kerana apa? Kerana kini aku sudah menemukan seorang kawan yang boleh ku jadikan teman semasa gembira dan juga sedih. Nama dia Khafidah. Dia dari kelas AII. Aku mengenalinya semasa hari kedua aku menduduki peperiksaaan. Waktu itu aku berdiri di luar dewan. Aku ternampak ada seorang wanita yang sedang mencari-cari sesuatu di dalam beg sekolahnya. Aku menghampirinya.

"Kenapa?" soalku. Aku melihat wanita itu agak terkejut dengan teguranku.

Aku tersenyum lantas meminta maaf. Salah aku juga terus menegurnya tanpa memberi salam terlebih dahulu.

Dia membalas senyumanku. Dia mengatakan dia terlupa untuk membawa geometry set.

Aku lantas memberikan satu geometry set kepadanya dengan senyuman yang lebar. Kami sama-sama melangkah masuk ke dalam dewan untuk menghadapi peperiksaan Matematik.

Sejak saat itu, aku mula bersahabat dengannya. Dan sejak itu juga, aku terasa kegembiraanku datang. Aku berkongsi berbagai cerita dengannya sama ada perkara itu penting atau tidak. Bersama dengan Khafidah membuatkan aku dapat merasakan 'beginilah rupanya punya sahabat'.

3 Januari 2011 - Tarikh ini! Masuk hari ini kepalaku semakin sakit. Ayahku terus membawaku ke hospital untuk mengetahui tentang sakit kepalaku yang semakin kerap datang menyerang. Aku terus masuk ke dalam bilik doktor apabila namaku dipanggil oleh jururawat. Aku melangkah masuk ke dalam bilik sendirian kerana ayahku baru sahaja menerima panggilan dari tempat kerjanya untuk datang ke pejabat. Maklum, tempat ayah ku bekerja tidak mengira masa dan tempat.

Aku hairan apabila doctor menyuruh jururawat untuk membawa aku ke suatu tempat yang tidak aku ketahui tetapi yang pasti tempat itu adalah untuk memeriksa apa yang ada di dalam kepalaku. Doktor memberitahuku bahawa aku perlu datang ke hospital dua minggu dari sekarang untuk mengetahui keputusan mengenai pemeriksaan tadi. Aku hanya membiarkan hal itu kerana aku perlu menghadiri reunion day dengan sahabat ku tingkatan lima dulu.

Gembira ku sukar untuk diluahkan apabila seminggu sebelum tarikh ini, aku di telefon oleh ketua kelas tingkatan 5B tentang perjumpaan kembali diantara kami tingkatan 5B. Nampaknya mereka tidak pernah melupakan aku walaupun dulu mereka tidak rapat denganku. Mungkin perjumpaan kali ini akan mengundang kegembiraan buatku dan mungkin juga inilah pertemuan terakhir aku dengan mereka.

Soal Khafidah pula, dia baru saja memberitahuku melalui telefon bahawa dia menyukai seorang lelaki bernama Abdul Waie. Ingin rasanya aku memberitahunya bahawa lelaki yang disukainya itu adalah abangku sewaktu dia menunjukkan wajah lelaki itu ketika berada di sekolah tetapi aku hanya membatalkannya saja. Mungkin suatu hari, bila waktunya tiba. Dan apabila aku memberitahunya, dia pasti akan menjadi kakak ipar aku. Seronoknya bila itu jadi kenyataan.

5.00 petang - Aku mengetuk pintu rumah Nadhirah, ketua kelas aku dulu sebaik aku sampai. Aku diberitahu bahawa pertemuaan ini diadakan dirumahnya manakala tahun lepas pertemuaan 5B diadakan di rumah penolong ketua kelas 5B, Raziah. Aku tahu tentang hal itu bukan kerana aku ada sewaktu pertemuaan itu tetapi kerana aku tidak dijemput. Perkara itu ku ketahui apabila aku secara tidak sengaja mendengar perbicaraan antara Sufri dan Waqi ketika berada di kelas Mathematics.

Nadhirah mempersilakan aku masuk namun tidak ada senyuman pun terukir di wajahnya. Aku memanggilnya. Dia menoleh dan bertanya. Aku mengatakan adakah aku tidak dialu-alukan datang ke situ. Dengan senyuman yang aku tahu tidak sepenuh hati itu, Nadhirah mengatakan bahawa dia Cuma pening sahaja dan mempelawa aku masuk.

"Maafkan aku..." itulah ayat Nadhirah sebelum aku melangkah masuk ke dalam rumahnya. Aku tahu dia seorang yang baik. Buktinya ketika aku disisihkan sewaktu sekolah menengah dulu, dia sahaja yang mahu melayanku. Menemani ku pergi ke kantin tatkala aku tiada kawan untuk diajak, menyokong aku ketika aku dibuli Sufri. Tetapi kebaikannya kepadaku sering ditegur oleh kawan-kawan dekatnya yang juga merupakan kawan sekelas ku dalam tingkatan 5B. Sejak saat itu, Nadhirah jarang berbicara kepadaku. Sebaliknya dia menjadi seperti kawanku yang lain. Yang hanya berbicara denganku ketika mereka ingin bertanya suatu soalan dan tanpa ucapan terima kasih, dia akan meninggalkanku. Seperti kawan-kawan ku yang lain.

Airmataku terus merembes keluar tanpaku suruh sebaik aku melangkah masuk ke dalam rumah Nadhirah. Aku disiram dengan baldi yang berisi air. Aku pandang disekeliling. Mereka tanpa rasa kasihan ketawa melihat keadaanku.

Aku lantas meninggalkan mereka tanpa suara. Ketika Nadhirah memegang tanganku, aku tersenyum memandangnya dan mengangguk. Walaupun airmataku masih mengalir, aku tahu tidak sepatutnya aku membiarkan dia merasa bersalah melihat keadaanku.

9.00 malam - "Terima kasih kawan-kawan. Kalian semuanya memang baik. Walau kamu semua tidak memberi aku kegembiraan dipertemuanku yang pertama dengan kalian setelah dua tahun aku tidak bersua dengan kalian semua, tetapi sekurang-kurangnya aku tahu, aku wujud dalam kehidupan kamu. Dan aku bangga kerana aku dapat memberikan tawa kepada kamu semua. Aku tidak akan mengatakan ini satu penganiayaan tetapi aku akan katakan ini satu hadiah, kerana kamu sedar akan diriku. Tidak seperti kita di kelas dahulu. Kalian hanya bersuara denganku bila kalian ada soalan dan pergi meninggalkanku tanpa ucapan terima kasih. Sekali lagi terima kasih kawan-kawan kerana hari ini aku baru merasa bahawa kamu sebenarnya sedar akan kewujudanku tetapi kalian tidak memperdulikannya. Tetapi aku faham, untuk apa kalian ingin memperdulikanku sedangkan kalian masing-masing punya sahabat sendiri.

Aku perlu sedar tentang satu hal. Aku tidak boleh memaksa kalian untuk menyukaiku bila tiada sebab untuk aku disukai. Maafkan aku sekiranya aku ada bersalah dengan kalian semua.Dan ucapan terakhir ku, terima kasih untuk segala-galanya kawan-kawan."

Aku ingin luahkan ucapan seperti ini sewaktu pertemuan itu tetapi aku tidak mahu reunion day itu menjadi bosan dengan kata-kata ku sebegitu lalu aku biarkan saja. Aku yakin, mereka hanya ingin menghiburkan hati masing-masing dengan menjadikan aku bahan untuk diketawakan."

4 Januari 2011 - HARI ini hari pertama aku kembali ke sekolah dan secara rasminya aku akan menjadi pelajar tingkatan enam atas. Memang senang rasa hati ini sebab tahun ini lah aku akan menduduki peperiksaan besar A Level. Aku akan berusaha untuk berjaya dan aku ingin belajar sampai ke Universiti. Aku nak sampaikan cita-cita aku nak jadi pensyarah. Pensyarah Batrisya! Cantik kan nama aku bila ada gelaran Pensyarah kat depan tu?? Hehe.. perasan lah pulak..

Tiada yang istimewa hari ni. Sama saja rutin yang biasa aku lakukan di dalam kelas seperti aku berada di tingkatan enam bawah tahun lalu. Cuma yang membezakannya adalah guru-guru ku memberikan harapan tinggi kepada kami untuk berusaha dan sentiasa mengikut apa yang di suruh mereka. Dan jangan lupa untuk sentiasa melakukan sembahyang sunat hajat selepas sembahyang Isya'. Aku akan jadikan pesanan guruku itu sebagai penyuntik semangatku. InsyaaAllah.

Khafidah. Sejak pagi lagi aku menunggu kedatangannya. Memandangkan aku sekelas dengannya subjek Matematik dan subjek itu di waktu petang, maka aku tidak bertemu dengannya waktu pagi. Sekarang ini waktu pelajaran Biologi, cikgu aku pasti akan masuk sekejap lagi. Okay lah, nanti aku cuba ceritakan cerita yang menarik yang terjadi pada aku lagi.

8.00 malam - Lepas saja lunch tengah hari tadi, aku masuk dalam kelas Matematik. Aku tidak sabar menunggu kedatangan Khafidah. Aku mahu menceritakan kepadanya tentang perbuatan kawan-kawan aku dulu terhadapku. Beberapa minit ku tunggu, kelibat Khafidah sudah kelihatan. Aku ingin menegurnya tetapi sebaik saja dia melangkah masuk, dia menjelingku. Aku hairan kenapa dia sebegitu. Aku memanggil namanya tatkala dia melangkah menuju ke meja yang jauh dari meja ku. Dia duduk di situ.

Aku bangun dari tempat duduk ku dan menuju ke arahnya. "Kenapa Fidah?" itulah soalan pertama yang ku ajukan kepadanya. Soalan yang aku rasa boleh dijawab olehnya memandangkan semalam dia yang menghantar SMS kepadanya yang mengatakan dia ada cerita ingin dikongsikan kepadaku. Tetapi sekarang dia berubah tanpa aku tahu sebabnya.

Airmata aku hampir mengalir tadi apabila Khafidah bersuara. "Aku tak nak kawan dengan orang yang makan kawan dan tikam kawan dari belakang". Itulah ayat yang menyedihkan aku. Aku tidak tahu kenapa Khafidah mengeluarkan perkataan sebegitu. Sepanjang aku mengenalinya, aku cukup menjaga hatinya. Sedaya upaya aku cuba membuatkannya gembira bila aku menjadi kawannya tetapi kenapa dia mengatakan aku cuba menikamnya dari belakang? Apa salahku??

7Mac 201I - HARI ini sudah masuk tiga bulan satu hari Khafidah mengelakkan diri dari ku. Aku tidak tahu kenapa. Bila aku cuba menghampirinya untuk bertanya, dia melarikan diri. aku tertanya-tanya apa salahku. Jika aku ada salah, aku ingin meminta maaf dengannya. Aku sanggup walaupun seribu kali asalkan dia kembali semula menjadi sahabatku kerana hanya dia yang mahu melayan karenahku. Tetapi aku rasa mungkin itu tidak akan kembali kerana lagi kerana dia sudah membenciku!

Aku tidak tahu kenapa tetapi sejak bulan lalu, sakit kepalaku semakin menjadi-jadi. Pandanganku juga kadang kala menjadi kabur. Sampai sekarang, aku tidak tahu apa sebenarnya sakit yang ku alami. Mungkin ini salahku juga, doctor pernah memberitahuku untuk berjumpanya setelah dua minggu dari tarikh aku diperiksa, kira-kira tiga bulan lalu. Tetapi aku tidak datang kerana tarikh itu juga adalah merupakan tarikh dimana kawan ku sewaktu sekolah menengah membuat reunion yang pertama dan terakhir bersamaku. Kenangan yang sukar untuk ku lupakan!

Hari ini merupakan tarikh lahir Khafidah. Aku membuat kejutan kepada Khafidah di luarrumahnya. Tetapi kejutan itu berubah menjadi kesedihan.

Khafidah menampar mukaku. Aku masih ingat lagi kata-katanya pada waktu itu. "Aku tak suka kau bagi aku kejutan macam ni. Jangan ingat aku pernah rapat dengan kau, selamanya kita akan macam tu. Aku tak suka nak berkawan dengan kawan makan kawan macam kau ni. Dah lah tu, suka tikam dari belakang. Mulai hari ni, kau dengan aku bukan kawan, sahabat atau pun teman. Aku tak nak kau tegur aku lagi walaupun dekat sekolah. Kau faham tak??"

Walaupun ayatnya sebegitu aku tahu dia tidak bermaksud apa-apa. Oleh kerana itu, aku masih cuba menegurnya sehingga hari ini tetapi yang aku dapat hanya jelingan darinya. Mungkin aku harus berhenti menganggunya. Yang perlu aku lakukan sekarang ni adalah fokus untuk peperiksaan yang akan datang bulan Jun ini.

28 Mac 20l1 - SESUATU yang harus aku terima dengan redha pada hari ini. Aku disahkan menghidap penyakit barah otak oleh doktor yang memeriksaku dahulu selepas aku bertemu semula dengannya pada hari ini kerana keadaan sakit kepalaku yang semakin kuat menyerangku dua tiga hari lalu. Aku cuba bertanya doktor apa yang perlu aku lakukan untuk menyembuhkan penyakitku ini tetapi sayang, doktor mengatakan penyakitku ini sudah berada di tahap yang terakhir.

Aku tidak menyembunyikan tangisanku saat itu. Aku menangis semahu-mahunya dihadapan doktor. Sempat aku berpesan pada doktor agar tidak memberitahu penyakitku ini kepada keluargaku. Aku tidak mahu mereka mengetahui tentang hal ini. Aku yakin, jika mereka tahu, pasti
mereka akan bersimpati denganku. Aku tidak mahukan simpati mereka.
Sisa hidupku ini, aku akan habiskan waktu ku untuk mendekati-Nya dan membuat kebaikan dengan semua orang. Dan aku juga perlu meminta maaf dari semua orang. Ya! Aku rasa perlu. Kerana itu, aku akan cuba bermula dengan Khafidah.

16 April 2011, 12 tengah hari - Aku masih setia menunggu di tempat letak kereta sebaik aku datang ke sekolah pukul 7 pagi tadi. Aku yakin, Khafidah pasti akan parking di situ dan tekaanku tepat. Walaupun baru tiga hari aku mengenalinya waktu itu,aku sudah faham dengan perangai Khafidah. Jika dia hendak parking, akan memakan masa lima minit. Disebabkan itulah aku sering mentertawakannya. Tapi kini tidak lagi. Aku memandangnya dengan rasa sedih yang tiba-tiba hadir. Di hati ku berdetik dengan tiba-tiba, "adakah ini pertemuan terakhirku dengannya?" Ketika dia keluar dari kereta, aku menghampirinya. Saat dia melihat wajahku, Khafidah cuba mempercepatkan langkahnya. Dengan kudratku, aku dapat menghalangnya. Aku cuba mencari kekuatan selama sebulan sebelum aku dapat meluahkan apa yang ingin ku sampaikan dan hari ini aku baru mendapatkannya.

"Kau siapa nak halang jalan aku ni?" tengkingan Khafidah tadi pagi itu masih difikiranku. Bahkan, aku masih ingat setiap apa yang dia katakana padaku. Waktu itu yang hanya mampu aku lakukan adalah menahan airmata yang hampir menitis. Aku perlu menyatakan apa yang harusaku katakan sebelum terlambat. Khafidah kaku di situ lantas aku suarakan luahanku.

"Fidah, aku ingin minta maaf jika sepanjang persahabatan kita aku ada buat salah dengan kau dan..."

"Kau dengar sini. Aku anggap kau kawan baik aku selama ini tapi aku tak sangka kau sanggup khianati aku. Aku pernah beritahu kau yang aku suka denganWaie dan nak luahkan perasaan pada dia. Aku janji yang aku akan ceritakan semuanya pada kau sebaik aku meluahkan perasaan aku pada Waie. Tapi apa yang aku dapat? Bila aku beritahu,Waie cakap yang dia suka kau dan kau suka dia. Korang berdua dah lama suka sama suka dan korang berdua dah couple selama ni. Trisya.. kenapa kau buat macam ni? Kenapa kau sanggup khianati aku? Kenapa???"

Yang dapat ku lakukan saat itu hanya diam. Pagi tadi aku baru tahu kenapa Fidah tidak menegurku sejak tiga bulan lalu. Semuanya berpunca dari Waie, abang kandungku sendiri. Abang Waie yang tua setahun dengan aku memang sering menganggap aku ini adalah kekasihnya dihadapan orang yang ingin menguratnya. Walau berkali-kali aku marah dengan Abang Waie, dia tetap menggunakan helah itu. Dan Abang Waie menggunakannya kepada Fidah. Fidah, kawan ku yang tidak tahu tentang hal aku mempunyai seorang abang kerana Abang Waie menyuruh aku menyembunyikannya supaya senang dia untuk mempergunakan namaku.Dan kerana rasa kasih kepada seorang abang, aku sebagai adiknya bersetuju.

Aku ingin menerangkan semuanya pada Khafidah namun belum sempat aku berterus terang, Khafidah terus berlalu meninggalkan aku sendirian di tempat letak kereta itu.

9.00 malam - Usai saja aku makan malam sebentar tadi, aku menemui keluargaku. Ibu, ayah dan juga abang. Aku memberitahu mereka bahawa aku minta maaf tentang setiap salah dan silapku pada mereka. Awalnya mereka ketawa. Begitu juga aku. Namun bila aku meminta maaf dari mereka buat kali ketiga, mereka dengan wajah yang hairan bertanya kenapa perangaiku agak pelik. Aku hanya tersenyum menjawab pertanyaan mereka. Kemudian aku bersalam dengan mereka dan memeluk mereka selama mungkin. Mereka hanya menurut walaupun aku tahu dihati mereka pasti timbul satu tandatanya. Aku mengatakan aku menyayangi mereka sebelum aku masuk ke dalam bilik dan menulis di dalam buku diari ini.

Hati ku belum puas kerana aku belum meluahkan apa yang sebenarnya kepada Khafidah, satu-satunya kawan baik yang ku ada. Tapi bagaimana caranya? Dia seakan tidak mahu bersemuka denganku malah tidak ingin mendengar bicaraku. Dan yang lebih aku takutkan, aku tidak lagi dapat berjumpa dengannya. Tidak apa, aku akan luahkan apayang ingin aku sampaikan kepad anya melalui buku ini. Sekurang-kurangnya, ibu,
ayah atau abang aku akan menyampaikannya kepada kawan-kawanku.

Assalamu'alaikum Waramatullahi Wabarakatuh,

Buat keluarga, tujuan Trisya menulis semua ini adalah kerana Trisya ingin meminta maaf kepada ibu, ayah dan AbangWaie sekiranya Trisya mempunyai salah dan silap sepanjang Trisya menjadi anak dan adik dalam keluarga ini. Trisyabahagia berada dalam keluarga ini. Ibu, ayah dan Abang Waie menjadikan Trisya merasa dihargai.

Tujuan Trisya menulis surat ini adalah kerana ingin memohon maaf pada semua yang mengenali Trisya. Trisya harap, ibu, ayah atau Abang Waie dapat menyampaikan ucapan maaf Trisya pada kawan baik Trisya, Khafidah. Beritahu padanya yang Trisya tak pernah ada niat nak mengkhianatinya. Trisya terlalu menyayangi persahabatan kami berdua kerana sepanjang kehidupan Trisya, Khafidah adalah orang pertama yang memahami tentang Trisya. Trisya ada menyimpan hadiah yang Trisya ingin berikan pada Khafidah sewaktu hari jadinya dulu. Itulah saja kenangan yang dapat Trisya berikan pada Khafidah.

Dan buat kawan-kawan Trisya sewaktu sekolah dulu, terima kasih untuk segalanya.Walaupun sewaktu itu adalah pertemuan terakhir kita, tapi ia tetap kenangan terindah yang Trisya takkan lupakan. Trisya ingin memohon maaf atas setiap kesalahan yang Trisya lakukan sepanjang perkenalan kita.

Untuk ibu,ayah dan Abang Waie.. maafkan Trisya kerana menyembunyikan penyakit barah otak yang Trisya hadapi. Trisya saying semuanya.

Salam sayang,

BATRISYA

KHAFIDAH menutup buku diari itu dan menyimpan ke dalam almari kecilnya. Airmatanya yang menitis segera dikesatnya. Itulah rutin yang dilakukan Khafidah setiap malam sejak kepergian Batrisya lima tahun lalu. Rasa rindu mula menguasai dalam diri Khafidah.

"Batrisya, maafkan aku. Jika aku tahu sewaktu di parking hari tu adalah pertemuan terakhir, aku takkan ikut nafsu amarahku. Aku akan minta maaf dengan kau. Aku akan peluk kau puas-puas" bisik hati Khafidah. Airmatanya jatuh lagi. Semakin cuba ditahan, semakin lebat keluarnya.

Khafidah membaringkan dirinya di atas katil empuk. Matanya seakan tidak mahu melabuhkan tirainya. Jika dia ingin menutup mata, bayangan wajah Batrisya seakan muncul. Namun, apabila wajah Batrisya hilang kemudiannya di ganti dengan kenangan pertemuannya denganWaie, lelaki yang disukainya dan juga merupakan abang kepada Batrisya dua tahun lalu kembali diingatannya.

"Assalamu'alaikum," sapaan seseorang hanya dibalasnya di dalam hati.

"Boleh saya duduk sini?" soal lelaki itu. Khafidah hanya mengangguk. Waie mengambil tempat duduk di sebelah Khafidah.

Waie memandang Khafidah yang menunduk. "Awak kena relakan kepergian Trisya. Kepergiannya bukan salah awak. ALLAH dah tetapkan ajal dan jodoh pada setiap hambahambaNya," Waie memulakan bicaranya.

Khafidah diam. Tisu yang berada di tangannya segera mengesat airmatanya yang tidak berhenti-henti sedari tadi. Walaupun seminggu baru seminggu kepergian Batrisya, namun dirasakannya baru semalam.Dia masih ingat bagaimana rasa tidak percayanya bila Waie menelefonnya memberitahu bahawa Batrisya sudah meninggal dunia. Waie membawa Khafidah ke kubur Batrisya keesokan harinya dan dengan tidak semena-mena, airmata Khafidah terus bercucuran. Rasa bersalahnya mula menular dalam dirinya. Sebagai kawan baik, dia tidak cuba bertolak ansur dengan Batrisya malah dia ego untuk mendengar penjelasan Batrisya waktu itu.

"Batrisya suruh saya berikan pen ini pada awak. Dan saya nak berikan awak buku ini," ujar Waie sambil menghulurkan buku yang bertulis nama Nurul Batrisya di luar kulit buku itu.

Perlahan-lahan Khafidah mengambil. Dia membuka buku itu dan melihat isi di dalamnya.

"Buku diari?" soal Khafidah.

Waie mengangguk. "Itu buku diari Batrisya. Segala apa yang dia rasa, dia ada tulis di situ.

Di dalam buku tu, banyak tentang awak dan dia," jelas Waie. Khafidah diam. Tidak tahu untuk berkata apa lagi.

Pen di tangannya di lihatnya. Dia masih ingat pen itu adalah pen yang dimahukannya sewaktu dia dan Batrisya pergi membeli belah dulu. Buku diari Batrisya di genggamnya sekuat mungkin. Cuba membayangkan bahawa dia sedang memeluk Batrisya.

"Saya bukan kawan yang baik. Saya tak dengar pun penjelasan dia waktu itu. Saya hanya tahu marahkan dia kerana dia rampas orang yang saya sukai. Tapi, rupanya..dia..." Khafidah tidak menghabiskan bicaranya. Sebak dadanya setiap kali mengingati bagaimana dia sering mengatakan Batrisya seorang kawan yang tidak baik.

Waie yang melihat Khafidah mula merasakan sesuatu.

"Awak tak perlu bersalah. Saya yang bersalah sebenarnya. Kalau tak kerana saya asyik minta dia sembunyikan identitinya sebagai adik saya perkara macam ni tak akan jadi. Sekurang-kurangnya awak dan dia masih berkawan. Saya bukan seorang abang yang baik. Saya tak tahu perasaan dia selama ini. Saya abang yang tak bertanggungiawab," ujar Waie dengan nada sedih.

Suasana antara mereka senyap. Yang ada hanya bunyi burung berkicauan. Masing-masing melayan perasaan mereka. Masing-masing mencuba mengenangkan setiap yang mereka lalui bersama Batrisya dulu.

****************************

KHAFIDAH membelek jam tangannya. Dia terkejut menerima panggilan dari Waie awal pagi tadi yang mengatakan hendak bertemu dengan dirinya tengah hari ini. Khafidah memandang orang ramai yang lalu di hadapannya.

"Kenapa Waie ingin bertemu denganku? Di taman pula tu," omel Khafidah sendirian.

Tiba-tiba Khafidah terfikir sesuatu. "Entah-entah ada terjadi dekat ibu dan ayah. Ya Allah, selamatkan keduanya walau di mana mereka berada," doa Khafidah kepada orang tua Waie.

Sejak arwah Batrisya pergi, Khafidahlah yang menjadi pengganti sebagai anak kepada ibu bapa Waie. Dia ingin menjadikan kedua orang tua Waie sebagai orang tuanya sendiri setelah kepergian kedua orang tuanya seminggu selepas Batrisya meninggal dunia. Dia bersyukur kerana kedua orang tua Waie begitu baik dengan dirinya walaupun dia cuma anak angkat mereka.

"Assalamu'alaikum." Khafidah menoleh ke belakang. Bila dia ternampak Waie sedang tersenyum kepadanya, dia membalas.

"Wa' alaikumussalam."

"Dah lama sampai?"

"Tak adalah lama mana, sepuluh
minit saja."

"Maaf, buat awak tunggu-tunggu."

Khafidah hanya tersenyum.

"Sebenarnya saya nak jumpa awak ni sebab ibu," ujar Waie.

Khafidah lantas bersuara. "Kenapa dengan ibu??" Wajahnya Nampak gusar.

"Tak, ibu tak ada apa-apa. Cuma.. ibu suruh saya kahwin," jelas Waie. Khafidah terkejut. Dia tidak tahu hendak buat apa. Apa hak dia hendak menghalang?Walau dia akui dia masih mencintai Waie sehingga ke hari ini, dia masih tidak berpeluang untuk meluahkan. Lagipula sekarang dia tidak mahu terlalu mengharap pada Waie. Cukuplah pengalaman masa lalu mendewasakan dirinya. Kerana ego dan rasa ingin memilikki, dia sanggup kehilangan seorang kawan yang baik.

"Oh, baguslah kalau macam tu. Awak pun dah berumur 26 tahun. Dah memang patut pun nak kahwin. Ibu mungkin dah ada calon yang sesuai untuk awak," Khafidah bersuara.

Waie memandang Khafidah. "Macam mana saya nak terima calon pilihan ibu kalau saya dah ada calon pilihan saya sendiri?"

Khafidah diam. Dia cuba memberi jawapan yang berasaskan akal fikiran dan hati, bukan hanya satu dari keduanya. "Kalau awak tak nak kahwin dengan pilihan ibu, awak boleh beritahu ibu yang awak dah ada pilihan hati sendiri. InsyaaAllah, saya yakin.. ibu pasti akan faham."

"Kalau ibu setuju dengan pilihan saya pun, saya tak tahu wanita pilihan saya tu akan setuju," ujar Waie.

Khafidah tersenyum. "Awak kena cuba dulu. Belum cuba belum tahu."

"Baik. Saya cuba sekarang."

"Sekarang?" desis hati Khafidah.

Waie sudah berdiri di hadapannya. Khafidah mengerutkan dahi. Khafidah jelas terkejut apabila Waie menghulurkan sebentuk cincin kepadanya. "Apa semua ni?"

"Saya dah menunaikan solat istikharah kerana ingin tahu adakah awak wanita yang layak menjadi pendamping saya dan Alhamdulillah, setiap mimpi saya awak yang muncul. Saya nak beri awak cincin ini. Kalau awak terima, bererti awak terima saya untuk jadi pendamping awak." Khafidah diam. Berat untuk dia memberi keputusan atas lamaran Waie.

"Khafidah. . ." panggil Waie.

"Saya.. saya tak boleh terima. Maafkan saya. Saya rasa lebih baik awak ikut cakap ibu untuk terima pilihan dia." Khafidah bangkit dari bangku dan berjalan beberapa langkah membelakangi Waie yang sedang duduk.

"Saya rasa tak ada beza kalau saya terima pilihan ibu sebab.. pilihan ibu itu adalah...awak."

Khafidah tergamam. "Aku? Pilihan ibu untuk Waie adalah aku? Tapi kenapa?"

"Ya, Fidah. Ibu rasa hanya awak layak menjadi permaisuri hidup saya. Saya tahu mungkin awak susah hendak terima saya kerana masih dibayangi rasa bersalah terhadap arwah. Tapi percayalah, kalau arwah masih hidup, pasti dia suka dengan keputusan yang saya lakukan," jelas Waie.

Khafidah memandang cincin yang berada di tangan Waie. Perlukah aku terima? Layakkah aku? Aku wanita yang pernah membuatkan adiknya sedih dan tanpa sempat aku meminta maaf pada dia, dia telah pergi untuk selama-lamanya. Desis hatinya.

"Maaf. Saya tak boleh."

"Kenapa?" soal Waie. Khafidah diam. "Sebab Batrisya?"

Khafidah mengeleng. "Habis tu?"

"Walau sampai sekarang saya masih mencintai awak, tapi saya..saya tak yakin boleh jadi isteri yang baik buat awak. Sedangkan saya sebagai seorang kawan pun masih tak mampu jadi yang terbaik."

Waie tersenyum. "Awak bukan tak mampu. Awak sebenarnya ditemani oleh keegoan dan kemarahan waktu tu. Sebab tu awak tak boleh fikir dengan baik. Tapi saya yakin, sebenarnya arwah sangat sayang dengan awak kerana apa? Kerana awak seorang yang baik."

"Puji ke sindir?" soal Khafidah.

Waie ketawa. Lucu pendengarannya mendengar soalan Khafidah. "Awak rasa?"

"Saya rasa itu pujian tak ikhlas," balas Khafidah diiringi senyuman.

"So, apa jawapan awak untuk lamaran saya tadi?"

Khafidah diam. Sebelah hati kata setuju sebelah lagi masih berfikir.

"Kata orang tua dulu, diam tu tanda setuju."

Khafidah tersenvum.

"Mari saya bawa awak jumpa ibu. Ibu pasti suka dengar berita ni."

Waie bersuara lantas menarik tangan

Khafidah untuk mengikutnya. Gembira rasa hatinya apabila lamarannya di terima oleh Khafidah. Khafidah hanya tersenyum.

"Batrisya, aku harap dengan keputusan ku ini akan dapat menunaikan janjimu sebagaimana yang kau pernah tulis dalam diari kau bahawa kau ingin melihat aku menjadi kakak ipar kau. aku sayang kau, Batrisya. Aku sayang kau."

Last modified on
Lebih dalam kategori ini: « Noktah terakhir LARI »

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel