A+ A A-

Misteri orang tua

Rate this item
(0 votes)

cerpen01 18042015 Misteri orang tua

HAJAH Mas memberitahu pada kedua anaknya malam itu bahawamereka akan pergi ke rumah Hajah Fasah, iaitu adik sepupunya kerana Hajah Fasah mengadakan majlis bertahlil untuk kedua orang tuanya dan keluarganya yang telah pergi lebih dulu dari kita semua. Kedua anak lelakinya tidak dapat pergi kerana mereka terpaksa bekerja shif malam. Jadi mereka hanya berkirim salam memohon maaf kerana tidak dapat hadir malam itu. Hajah Mas meminjam kereta yang dipunyai anaknya yang pertama bila majlis selesai nanti kereta itu akan dikembalikan tempat kerja anaknya.

Malam itu Hajah Mas pergi bersama dengan kakaknya Julia dan dua anak saudaranya. Aisah anak dari adiknya yang bungsu, Firda anak kakaknya Julia dan Ishak anak lelakinya yang bungsu. Ketiga mereka ini duduk dikerusi bahagian belakang, yang duduk di hadapan adalah kakaknya Julia.

Walaupun acara malam itu selesai hampir jam 10 malam tapi sudah menjadi kebiasaan kepada keluarga mereka akan duduk lagi dan bercerita tentang masalah keluarga masingmasing. Tambahan lagi hari esoknya adalah hari Jumaat. Tidak apa kalau tidur lewat malam. Hajah Mas dan kakaknya Julia meminta diri untuk pulang, Hajah Mas meminta pada kakaknya Julia dan yang lain supaya menunggu saja di halaman rumah Hajah Fasah sementara dia akan membawa kereta ke sana. Kerana malam itu, hujan turun renyai-renyai. Hajah Mas berjalan menuju ke arah letak keretanya yang berada diselekoh jalan. Walaupun ada lampu yang menarangi kawasan itu tapi oleh kerana terlalu sunyi terasa juga seram di hati Hajah Mas.

Semasa Hajah Mas hendak masuk ke dalam kereta seperti ada angin yang deras berlalu di sebelah kanan badannya. Hajah Mas memandang dikelilingnya tapi semua pokok yang ada di sana tenang saja. Hajah Mas tak kisah lalu mengemudi keretanya menuju ke rumah Hajah Fasah. Sampai di halaman rumah Hajah Fasah seperti biasa yang tadinya duduk di belakang masuk mencari tempat duduk mereka. Aisah dan Ishak duduk berdekatan tapi bila saja Firda akan melabuh punggungnya seperti tidak ada ruang untuknya. Lalu dia bertanya pada Hajah Mas, “Uda..! kenapa tia inda ku dapat duduk ani, macam sampit saja. Nah, inda muat”, Firda memberitahu kepada Hajah Mas dan ibunya. Hajah Mas dan kakaknya Julia menoleh ke belakang mereka berdua, ingatkan Firda hanya bergurau. Lalu ibunya berkata sambil ketawa, “Iatah lampau banyak makan, baik jua sampit kalau barat, inda kereta dapat berjalan.”

Hajah Mas hanya tersenyum mendengar gurauan kakaknya. Tapi memang benar Firda tidak merasa selesa ditempat duduknya seperti ada orang yang duduk disebelahnya.

Perjalanan malam itu sangat santai. Ketiga remaja yang duduk di belakang tidak berkata, apalagi untuk bergurau seperti biasa yang selalu mereka lakukan. Terfikir juga dihati Hajah Mas mungkin anaknya dan dua anak saudaranya sedang mengantuk. Kerana terlalu kenyang. Setelah berjalan terlalu lama Hajah Mas merasa hairan seperti jalan yang ia lalui bukan jalan yang menuju kekampungnya. Dia sendiri tidak terasa kereta yang dipandunya menuju ke mana. Hajah Mas bertanya pada anaknya Ishak, “Ishak..! di mana jalan kitani tuju ani? Bukan jua arah kitani ni, berapa sudah lampung hijau kitani lintasi, baru sebuah anikah?” tanya Hajah Mas.

Tapi yang ditanyanya tidak menjawab. Ishak hanya memandang pada Aisah dan Firda seperti dia mahu mereka yang memberi jawapan pada ibunya. “Aisah! Di mana jalan kitani tuju ani? Berapa jam sudah kitani dijalan ani? Uda rasa macam jalan Jerudong, kenapa inda kamu memberitahu yang Uda ani sudah salah jalan? Jauh sudah rupanya kitani ani.” Hajah Mas bertanya pada anak saudaranya Aisah. “Ya tah, Uda. Aku pun hairan kenapa Uda inda masuk kejalan Terunjing tadi, tapi bila ku kan bertanya mulut ku inda dapat ku buka, macam ada tangan menutup.”

Aisah menerangkan pada Hajah Mas. Julia tidak kisah ke mana adiknya membawa mereka malam itu. Dia hanya tenang sambil berkata, “Inda apa tu, sekali-kali makan angin malam nyaman jua rasanya, sama jua esok hari Jumaat.” Sepertinya dia senang dan merasa damai memerhati alam yang dicipta Tuhan diwaktu malam. Sambil berselawat sebagai nyanyiannya itu sudah menjadi kebiasaan dirinya. Baik di rumah atau di mana saja kalau dirasanya ada masa yang senang dia tetap akan berselawat.

“Jah.. kalau kau teliat kadai damit karang beranti kau dulu ah.. aku kan turun membali telur sama mentega kan pakai ku membuat kuih esok pagi.” Pinta Julia pada adiknya Hajah Mas. “Ya.. Tuhan..! Uda! Inda tah kali mama ani tau kan malam, kan bejaur kadai tia lagi, ma.. kadai mana kan yang buka, tengah malam sudah ni..” anaknya Firda mengeloh kegelisahan.

Seperti dia tidak merasa nyaman malam itu kerana mereka telah termasuk ke jalan yang salah. Setelah berjumpa tanda untuk berpusing dengan tidak membuang masa Hajah Mas pun membelokkan kereta yang dipandunya sambil bersyukur kepada Tuhan dan berselawat kepada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam kerana mereka telah terjumpa jalan untuk pulang.

Bila sampai di lampu isyarat antara Berakas dan Jalan Terunjing masih ada kedai pasar raya yang buka. Hajah Mas memasuki kawasan kedai itu dan berhenti tidak jauh dari jalan raya. Kebetulan tidak ada kereta yang keluar kerana pasar raya itu sudah hampir akan ditutup oleh tuan yang punya kedai.

Kakaknya turun dari kereta diikuti oleh anaknya Firda. Hajah Mas hanya duduk di dalam kereta. Hajah Mas terpandang seorang tua yang lalu di hadapan keretanya. Hajah Mas tidak tahu dari manakah orang tua itu datang. Kerana Hajah Mas tidak nampak ada kereta yang memasuki kawasan kedai itu. Hajah Masmerenung orang tua itu, baju yang dipakai cara melayu warna putih berkain pelikat serbannya jua berwarna putih. Ada tasbih tergantung ditangannya. Hajah Mas berfikir mungkin orang tua itu baru pulang dari masjid yang tidak jauh dari kedai itu. Orang tua itu berhenti di hadapan kereta Hajah Mas lalu memandang padanya. Tidak tersenyum. Selepas itu dia pun berjalan memasuki kedai dan menghilang dari pandangan Hajah Mas.

Tidak lama menunggu, kakaknya pun keluar dari dalam kedai dengan membawa satu tray telur dan dua kantung plastik yang berisi barangbarang yang dibelinya. Hajah Mas tidak tahu apa saja yang dibeli oleh kakaknya. Terlintas juga dihatinya ingin bertanya adakah kakaknya terjumpa orang tua yang dilihatnya. Tapi mulutnya tidak dapat dibuka. Dia berfikir sejenak kenapa pula orang tua itu yang ingin ditanyakannya sedangkan orang tua itu bukan ada hubungan apa-apa dengan dirinya. Sampai saja dirumah pada jam sudah pun menunjukkan 12 tengah malam. Setelah semuanya turun Hajah Mas mencari pula anak saudaranya yang lelaki, iaitu Masadi untuk menemaninya menghantar kereta anaknya ke tempat kerja. Kerana tidak lama lagi anaknya akan pulang.

“Uda! Kenapa kita mengunjar kediaku?” Masadi bertanya pada ibu saudaranya. “Bah, kau ikutkan Uda dengan kereta mu sampai arah keraja abang Takim mu, karang Uda balik ikut kediakau saja.”

Hajah Mas menghidupkan enjin kereta lalu berjalan menuju ke jalan besar. Hajah Mas merasa seperti ada yang sedang memerhatikan dirinya dan dia jua merasa hairan kenapa tidak ada kereta yang lalu lalang ketika itu padahal malam baru saja hampir jam satu. Tidak seperti malam-malam yang lain kereta tidak pernah putus-putus sehingga jam tiga pagi pun kereta masih lagi ada dijalanan. Tapi malam itu terasa benar keheningannya seperti ada penghuni lain yang memiliki jalan itu. Hajah Mas memandang cermin yang ada ditepi jendela keretanya, dia tidak nampak cahaya lampu kereta anak sudaranya Masadi. “Ke mana saja si Masadi ani, dari tadi balum jua kelihatan,” Hajah Mas berkata sendiri. Setelah dekat ditempat anaknya bekerja. Hajah Mas mencari tempat yang selalu digunakan oleh anaknya. Ya, tempat itu memang ada lalu Hajah Mas pun memasukkan keretanya ke tempat itu. Setelah semuanya selesai Hajah Mas memandang cermin pandang belakang. Alangkah terkejutnya Hajah Mas, orang tua yang dilihatnya dipasar raya tadi ada duduk
di dalam kereta anaknya. Orang tua itu juga memandang padanya. Hajah Mas tidak mahu lagi memandang orang tua itu dan dia juga tidak faham bilakah masanya orang tua itu berada di dalam kereta yang dipandunya. Tanpa membuang masa Hajah Mas turun dari kereta lalu berjalan menuju kejalan besar yang tidak jauh dari tempat ia meletakkan kereta anaknya. Dari jauh Masadi terpandang Hajah Mas berjalan tergesa-gesa seperti ada yang sedang mengejarnya. Masadi mendekatkan keretanya ditepi jalan lalu bertanya.

“Uda, mana kereta? Kenapa Uda bejalan sampai ke mari.. jauh jua ni, ada apa-apakah da?”

Masadi memandang keliling tempat itu sepi, dia tidak nampak apapun yang menakutkan. Masadi dapat merasa ada yang tidak kena berlaku pada ibu saudaranya itu. Dengan wajahnya yang pucat seperti orang yang di dalam ketakutan, Hajah Mas mengarahkan supaya Masadi cepatcepat meninggalkan tempat itu. Di dalam kereta pula Hajah Mas tidak henti-henti menyebut perkataan ‘SubhanAllah’. Hanya itu yang dapat dikatakannya. Sampai saja di rumah, Masadi mengikut Hajah Mas dari belakang. Kerana dia benar-benar ingin tahu apa yang terjadi pada Hajah Mas. “Sudahtah, jangan ditanya dulu.. agatah kau tidur, esuk kau kan ke masjid sembahayang Subuh. Berapa jam saja lagi pagi tia hari.”

Sambil berkata, Hajah Mas meninggalkan Masadi sendiri diruang bilik tamu. Di dalam bilik Hajah Mas berkata sendiri, siapakah orang tua itu, kenapa dia ada di dalam keretanya, adakah orang tua itu orang ghaib? Ataupun ahli silap mata atau roh orang yang sudah meninggal yang mencari jalan untuk pulang? Dalam ia berfikir tentang orang tua itu. Tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi. Hajah Mas terkejut yang amat sangat. “Ma.. Assalamualaikum, di mana mama menaruh kereta..? inda ada ditempatnya, puas sudah ku mengunjar.. apa inda mama mengantat kah?” tanya anaknya. Hajah Mas seperti tidak percaya dengan pertanyaan anaknya.

“Astahga..! Mengapa tah pulang inda mama mengantat..? Adatu tempat selalu kau menaruh, di sana tah mama mengampaikan.”

Telefon terputus. Hajah Mas tidak dapat mendengar suara anaknya. Terfikir juga dihatinya. Mungkin orang tua tadi yang mencuri kereta anaknya. Hajah Mas merasa menyesal kenapa dia tidak bertanya kepada orang tua itu siapa dirinya dan apa sebabnya dia berada di dalam kereta itu. Hajah Mas benar-benar menyesal dengan kebodohan dirinya.

Tidak lama selepas itu, telefon bimbitnya berbunyi lagi. Hajah Mas menjawab dengan suara yang penuh bimbang.

“Ma.. ada sudah, jangantah mama ingau.. kana tapuk. Tiga orang tubuh kami mengunjar, ada yang menabur sira. Tau-tau ada di sana jua ma! Ada orang membawa kediaku beibun, baik jua inda sampai pagi. Bah ma! Baiktah mulih ku dulu, Assalamualaikum.” Hajah Mas menjawab salam dari anaknya. Terasa lapang dada Hajah Mas mendengar khabar dari anaknya yang keretanya telah pun dijumpai. Kerana seingat Hajah Mas dia tidak salah tempat meletakkan kereta itu walaupun dia dalam ketakutan kerana terkejut dengan kehadiran orang tua yang tidak ia ketahui dari mana datangnya dan apa tujuannya menumpang keretanya malam itu.

Semua persoalan yang ada dikepala Hajah Mas malam itu tidak siapa pun dapat memberi jawapannya. Kalau orang tua itu adalah roh orang yang sudah meninggal. Siapakah yang dicarinya. Dari pandangan matanya orang tua itu seperti seorang alim. Wajahnya nampak bersih. Memang malam itu adalah malam yang sangat ganjil. Ia akan menjadi kenangan seumur hidup buat diri Hajah Mas dan juga satu persoalan yang tidak terjawab siapakah orang tua itu? Adaka dia akan datang lagi berjumpa dengan Hajah Mas?

Last modified on

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel