A+ A A-

Pergi tidak kembali

Rate this item
(0 votes)

cerpen001 101015 adi jiwa pergi tidak kembaliSESUDAH menunaikan Fardu Isyak itu, mak cik Limah tidak segera bangun dari tikar sembahyangnya. Lama ia di situ menadah tangan, berdoa kepada Allah supaya diselamatkan roh suaminya yang sudah meninggal dunia empat tahun dulu itu. Berdoa juga semoga anak-anaknya selamat di dunia ini. Dan entah apa-apa lagi yang dipintanya kepada Tuhan yang Maha Berkuasa. Anak perempuannya sudah menyiapkan makanan di dapur. Aini anak bongsunya yang berumur 10 tahun itu sedang membaca majalah sekolahnya di ruang tamu. Nasi sudah terhidang tapi ibu masih juga di tikar sembahyangnya.

“Heh! .............abang Isa balik......! jerit Aini keriangan.

Dilihatnya anaknya yang ditunggunya beberapa hari itu sudah tersandar di kerusi keletihan nampaknya. Ibu menghampirinya.” Ke mana kau pergi Isa? Satu minggu tak balik-balik?,” tanya ibu dengan bimbangnya. Isa berdiam saja. Dan pertanyaan itu tidak dijawabnya. Dia bosan mendengar pertanyaan-pertanyaan begitu. Terasa dirinya seperti anak-anak yang masih mentah perlu diulas setiap gerak dan langkahnya. Sudah bosan telinga itu mendengar pertanyaan begitu. Dia mematikan diri. Ibu menanti-nanti juga. “Aku tanya ke mana kau tak balik-balik? ulang ibu. Ditatapnya muka anaknya itu lama-lama. Rambutnya panjang hingga ke tengkuk dan lentik pula dihujungnya. Matanya merah macam orang demam panas satu minggu.

Mata ibu seolah-olah hinggap pula ke dadanya yang gagah itu. Di tangan ibu seutas tasbih yang pendek berwarna hitam. Isa selamba saja direnung ibu begitu. Sebentar kemudian ia tersenyum lagi. Ibu lama merenung muka anaknya yang duduk tersandar di kerusi malas, di ruang tamu itu seperti amat letih.

''Abang pergi ke mana? Lama abang tak balik?,'' tanya Aini yang sama menunggu abangnya sejak beberapa hari ini. ''Abang dah kerja!,'' Jawabnya ringkas tanpa melihat muka ibunya. ''Kerja?,'' Ibu menyampok segera. ''Kerja apa?,'' ulangnya dengan meninggi. ''Kerja apa kau dapat dengan kelulusan kau tu?,'' sampok Zaiton kakaknya. ''Kerja dapat duit,'' sahutnya seperti berolok-olok. ''Aku tanya betul-betul ni. Jangan nak bermain-main dengan kami semua. Dah cukuplah tu........'' dia terhenti di situ. Tidak tergamak ia hendak mengulangi akan kisah-kisah lama yang sungguh menyakiti hati ibu dan seluruh keluarga akan apa yang sudah dilakukan adik lelakinya itu.

''Kakak jangan nak peril-perli aku. Aku hidup tak minta wang gaji kakak......,'' katanya tiba-tiba dengan lantang dan bangun dari tempat duduknya. ''Duduk dulu. Aku.......Aku ibu kau ni, yang ibu tak tau ke mana kau pergi hingga satu minggu tak balik-balik ke rumah? Ke mana kau Isa?,'' Keras dan lantang suara ibu.

''Tak payahlah ibu tanya-tanya ke mana Isa pergi tak balik tu. Isa ada di Bandar. Isa tinggal di rumah kawan.......,'' terangnya dengan melemparkan baju belang-belangnya ke sudut bilik tamu itu. Zaiton merenung tajam ke arah baju yang terletak di atas meja itu.

''Sampai bila kau nak jadi macam ini Isa? Merayau-rayau siang malam tak tentu pasal,'' merendah suara ibu. Rasa kesalnya tidak terhingga. ''Sampai mati,'' sahutnya selamba.

Zaiton mengetap bibir. Geram ibu mengeluh panjang. Dan bersuara. ''Tiga hari dulu kakak Zaiton kau ada menulis surat lagi.'' Ibu terhenti seketika. Zaiton diam mendengarnya. Isa juga sama terkaku. Entah ia sama menunggu akan apa yang mahu dicakapkan ibunya itu atau termenung berangan-angan tidak siapa yang tahu.

''Dia suruh kau masuk sekolah lagi. Belajar lagi. Tak usah terburu-buru nak cari kerja.......'' sambung si ibu masih merendah. Isa mencebikkan bibirnya. ''Belajar ???,'' pekiknya. ''Iya.....'' Tak usah sebut lagi pasal belajar. Kan dah saya katakan dari dulu-dulu lagi. Saya tak mahu belajar, saya dah dapat kerja.'' ''Kerja dapat duitlah.....,'' jawabnya seperti berolok-olok.

''Isa.....! dengar cakap ibu ni. Ibu dan arwah ayah kau dulu, Berharap supaya anak lelaki yang seorang ini, jadi manusia yang berpelajaran tinggi......''kata ibu seperti amat terharu. ''Dah......dah! tak usah sebutlah.....cerita merepek. Tak usahlah ibu berangan-angan nak melihat anak ibu ni naik tangga universiti ke, belajar seberang laut ke. Tak usah.'' Benci telinganya mendengar angan-angan dan harapan ibu dan keluarga. ''Kaulah anak lelaki yang tunggal dalam keluarga ini Isa. Kaulah yang aku harap-harapkan untuk menjaga nama baik keluarga kita. Tapi kau sesiakan harapan kami, Isa.......Isa!'' Ibu menundukkan kepala.

''Kalau ibu teringin sangat nak melihat anak ibu jadi doktor, jadi lawyer, ha......kakak Zaiton ada, kak Salmah ada, adik Aini ada. Dia......dia akan menunaikan hajat ibu tu........'' Katanya, merenung muka Zaiton seperti mencabar. Kemudian ia tersenyum sinis. Sakit mata Zaiton melihatnya. Biadab! ''Sungguh-sungguh ke kau tak mahu belajar lagi, Isa? Kak Salmah kau sanggup mengeluarkan wang sekolah kau......'' tanya ibu lagi masih belum putus asa. ''Kan saya dah kata saya malas belajar. Susah.......,'' tengkingnya. ''Kan lebih senang makan tidur, merayau-rayau, berkawan dengan budak-budak nakal tu......” sindir Zaiton. Panas telinga Isa. Di saat itu juga ia bangun berjalan menunju ke kerusi Zaiton. ''Cakap sekali lagi macam tu. Kakak tahulah padahnya nanti.......,'' ugutnya. Kecut hati gadis itu. Tidak ada suara yang keluar dari bibir nipis itu. Ibu bimbang
sebenarnya. Direnungnya muka kecil kakaknya itu dengan mata yang besar bulat seperti mahu menerkam.

Ibu mengerti akan makna pandangan yang tajam itu.''Sudah....sudah,'' tegah si ibu dengan bimbang. ''Itu sebab Isa tak mahu balik ke rumah ni,'' jeritnya dengan kuat. Aini ketakutan dan segera mendapatkan ibunya. Ibu mengurut dadanya sebentar. Sakit rasa dadanya melihat anak-anaknya mahu bertengkar itu. ''Isa! sedar diri tu sikit. Dia kakak kau. Dia lebih tua dari kau. Dia patut mengingatkan kau. Cubalah fikir sikit. Kau tu dah besar panjang. Dah patut benar mendengar nasihat dari orang tua. Tak gunalah otak yang di kepala kau tu, kalau kelakuan macam binatang yang tak berakal.....'' ibu sudah tidak dapat menahan sabarnya lagi.

“Nasihat apa yang saya mesti ikut ni?” Pekiknya seperti orang tiada siuman saja layaknya. ''Dahlah tak berpelajaran, tak kerja. Kelakuan tu biarlah baik, I mana sopan santun?,'' ejeknya. ''Dunia sekarang bukan dunia sopan santun, bukan dunia budi bahasa lagi ibu. Dunia sekarang ialah dunia kemewahan dan kebendaan.'' Ditekan suara seperti ibunya tidak mengerti akan maksud cakap-cakapannya itu. ''Kalau itulah tujuan hidup kau. Tak guna kau hidup di dunia ni.......,'' tekan ibu berfikir panjang lagi sudah jemu ia memberi nasihat. Dari berlembut hingga berkeras. Dan kadang-kadang seperti orang bergaduh kecil dengan anak lelaki yang seorang ini. Dia benar-benar hampa dengan sikap anak yang degil itu. Isa tidak segera menjawab kali ini. Dia tersenyum lebar kemudian ketawa terbahak-bahak amat geli hati. Ibunya menggeleng-gelengkan kepala. Zaiton dan Aini memerhatikan
aja lagak Isa, yang sudah tidak dapat mengawal perasaan itu.

''Ibu......,'' katanya, kemudian dia ketawa lagi. Geli benar hatinya. Apa yang lucu? ''Ibu....saya pun tak minta supaya saya lahir di dunia ni. Saya......saya tak suka ibu menasihat saya lagi.....'' dia ketawa lagi. Terpegun ibu entah beberapa lama. Isa terus juga ketawa. ''Sudahlah Isa! Jangan nak tunjuk kurang ajar kau tu......Isa'' Zaiton tidak dapat bersabar lagi. Itu sudah terlalu.

''Tidak ada hatikah lagi mahu menjadi manusia yang baik Isa?” Soalnya dengan tenang seperti tidak ada apa-apa yang dapat ditangkap dari cemuhan anaknya itu. Zaiton kesal dengan sikap ibu yang selalu mengalah itu. ''Jahatkah saya ini ibu?,'' tanya dengan suara kasar. “Isa.....Isa!'' ibu menggeleng-geleng kepala lagi. ''Kalau beginilah kau Isa. Aku rela kau mati saja dari hidup cuma mahu membusukkan nama ibu dan ayah mu......''

Kata ibu dengan suara yang jelas. Ditatapnya muka gagah anaknya yang di hadapan itu dengan mata yang tidak berkerlip-kerlip hingga membuat Isa serba salah. Berderau darah panasnya naik ke muka. Zaiton pergi mendekati ibu lalu menangis.

''Ibu....ibu.....! Jangan cakap macam tu. Jangan....,'' rayunya dengan tangisnya. Kecut isi perut mendengar kalimah yang tidak pernah didengarnya itu. Barangkali ibu sudah putus asa. Ibu sudah tidak dapat menahan sabarnya lagi. Ketawa Isa yang memecah bilik tamu tadi terhenti tanpa dipinta. ''Dari Allah kau datang, kepada Allah kau ku pulangkan,'' ulang ibu dengan tenang. Wajahnya tadi muram dan gelisah kini aman dan yakin sekali.

''Ibu........jangan cakap macam tu........,'' pujuk Zaiton dengan tangis takutnya. Ia mendengar pengucapan yang secebis itu. ''Isa......!,'' seru Zaiton. Tapi adik itu tidak memperdulikan panggilan si kakak. Dia keluar semula. Zaiton termenung di muka tingkap melihat yang serba gelap itu.

Hatinya sakit, kesal dan sedih mengingatkan peristiwa yang baru berlaku itu. Entah apa yang didoakan oleh ibu ditikar sembahyang itu Zaiton tidak tahu. Barangkali ia berdoa juga supaya melembutkan hati Isa balik ke jalan yang benar. Hancurlah hati ibu melihat sikap anaknya sendiri membantah nasihatnya. Zaiton sama merasakan kesedihan itu.

''Kau dah makan,'' tanya ibu selesai sembahyang itu. ''Belum,'' jawab Zaiton. ''Marilah kita makan. Aini......marilah makan......,'' seru ibu. Anak kecil itu memletakkan bukunya dan membantui ibu dan kakak ke dapur. ''Isa ke mana?,'' tanya ibu. Masih juga ingat akan anaknya itu. ''Dia keluar......,'' sahut Zaiton sepatah. Ibu tidak bertanya lagi. Mereka bertiga terus menyuap tanpa bercerita apa-apa. ''Tinggalkan nasi dan lauk ni sikit untuk Isa? ,'' kata ibu. Ah, masih juga anak yang degil itu, bisik Zaiton di dalam hati. Bila melihat sikap ibu yang berlembut itulah Zaiton naik geram. Ibu terlalu berlembut.

Malam itu seperti malam yang berlalu juga. Ibu tidak dapat melelapkan mata dengan aman. Selalu saja ia terjaga dari tidurnya. Dan entah mengapa telinganya terdengar-dengar akan suara Isa memanggilnya menyuruh ia membuka pintu. Selalunya begitulah, Isa akan balik tengah malam. Dan kadang-kadang tiga pagi. Tetapi sejak akhir-akhir ini anak itu tidak pulang langsung hingga beberapa hari. Di malam yang serba sepi itulah ia akan meningatkan semula, kisah anak yang sangat disayangi oleh suaminya itu. Kelahirannya memberi cahaya gembira seluruh keluarga.

Suaminya memang berharap-harap supaya dapat seorang anak lelaki dalam keluarga. Diingatkan benar-benar bagaimana keruhnya muka suaminya bila anak kedua juga seorang perempuan. Anak sulung perempuan, kedua perempuan. Tapi ia selalu memujuk suaminya supaya jangan putus asa. Mungkin anak ketiganya seorang lelaki. Doanya entah berapa banyak di waktu isterinya sedang mengandung anak ketiga itu. Tapi nyatalah doanya dimakbulkan Tuhan. Anak ketiga itu lelaki ia itulah Isa. Dan diberi nama yang elok dengan harapan supaya membawa pembawaan budi pekerti yang elok juga. Dibuatlah majlis doa selamat yang sedarhana di hari kelahirannya. Sungguh tak dapat digambarkan betapa gembira hatinya di saat-saat itu. Menitis air matanya jatuh ke pipi. Ia terharu meningatkan kisah-kisah indah di masa lalu itu. Bila Isa mula bersekolah suaminya pernah bercita-cita supaya anak lelaki itu menjadi manusia yang berguna.
Biarlah anak itu menjadi seorang peguam. Semakin banyak air mata turun ke pipi.

Cita-cita tinggal cita-cita saja. Harapan menjadi kenangan cuma kini. Anak itu sudah tidak dapat dibentuk kini. Anak itu sudah tidak menerima nasihat lagi. Mak cik Limah mengeluh panjang di dalam gelap malam itu. Selalu ia bersoal-jawab sendiri kenapa dan mengapakah anak itu menjadi jahat begitu. Kurangkah didikan yang diterima. Cuaikah ia memlihara anak-anak. Atau apakah yang sebenarnya? Rasanya tidak pernah ia membiarkan saja akan gerak langkah si anak. Tapi sayangnya anak itu berlagak. Seperti anak yang terbiar, jahat, kasar. Sampai bilakah ia mesti berlakuan begitu?

''Manusia selalu berubah-ubah, ibu. Hari ini jahat, ganas, mungkin esok lusa ia akan insaf, akan jadi manusia yang berbudi semula.....'' begitu Zaiton menyenangkan hati ibunya di suatu masa dulu. Benar juga bisik hati mak cik Limah. Ia akan berubah. Tapi kalau begitulah caranya hingga ketua, aku lebih rela ia mati saja dari hidup cuma mahu membusukkan nama orang tuanya. Aku rela........aku rela.

Isa tidak balik-balik juga. Ke mana ia menghilangkan diri tiada siapa yang tahu. Hati si ibu resah juga menanti.''Kau pergi balik ke Bandar tak bertemu muka dengan Isa di tengah jalan, Ton?'' Tanya ibu di anak tangga rumah menyambut kepulangan guru muda itu dari sekolah. ''Bandar ni besar ibu. Entah ke mana Isa tinggal saya tak tahu. Sabarlah ibu. Dia akan balik juga nanti......,'' pujuknya. Tapi dalam hati rasa cemburunya timbul tiba-tiba. Anak yang degil itu masih disebut-sebut, masih dikenang-kenang juga.

''Bila ibu buat kuih bingka ubi ni? Dah lama tak makan kuih bingka ni.....'' Zaiton riang saja menyumbat ke mulut kuih yang terhidang di meja makan di dapur itu. ''Tadi ibu buat. Makanlah kuih tu kalau suka'' kata ibu. ''Banyak ke ibu buat?'' ''Banyak.......kalau ada si Isa hemm.....bukan main gemar dia dengan kuih bingka ubi ni......,'' sambung ibu. Bibir Zaiton terjuih sedikit. Lagi-lagi Isa. Anak tak tahu diuntung itu juga yang tidak lepas dari bibir.

''Kak Salmah juga suka kuih bingka ubi.'' Zaiton sengaja mengingat ibunya akan kakak sulungnya yang mengajar di Kuala Belait itu. ''Hemm.......nanti bila Kak Salmah kau balik nanti ibu buatkan kuih banyak-banyak untuknya.....,'' jawab ibu sambil tersenyum senang.

cerpen001 101015 adi jiwa pergi tidak kembaliZaiton ikut tersenyum. Ia salah duga. Ibu juga sayangkan kakak Salmahnya seperti Isa juga barangkali. Tapi ia lebih sayang akan kakaknya dari adiknya yang degil itu. Sesungguhnya dia jarang mengingatkan adik yang hilang itu. Tapi malam itu ia benar-benar terkejut bila pintu rumahnya diketuk orang. Ibu cepat bangun dari katilnya. ''Siapa? ,'' tanya ibu kebimbangan. ''Saya polis,'' kata suara di luar. ''Buka pintu ni mak cik,'' kata suara itu lagi. ''Polis ibu......,'' kata Zaiton ketakutan. Pintu dibuka, tiga orang polis tercegat di muka pintu. ''Ada berita kurang baik.......,'' kata orang yang berpangkat sarjan itu. ''Kenapa? Apa yang dah terjadi?'' Ibu begitu cemas nampaknya. ''Anak mak cik, Isa mendapat kemalangan.......marilah ikut saya ke hospital'' kerah mata-mata berpangkat sarjan itu. ''Berlanggar ke?,'' tanya Zaiton pula belum puas hati.

''Dia......'' Sarjan terhenti di situ. ''Dia memandu keretanya sangat laju, terjadilah satu perlanggaran dengan sebuah kereta yang hendak menuju ke Bandar Seri Begawan. Kereta yang dipandunya terbalik di simpang selekoh jalan ke Gadong,'' terang kawannya pula.

''Iya Allah anak aku.........,'' jerit ibu. ''Tunggu sebentar encik, '' kata Zaiton. Mereka masuk ke dalam sebentar. Zaiton menukar baju tidurnya. ''Apa yang ibu bawa ni?'' Zaiton kehairanan melihat bungkusan di tangan ibu. ''Kuih bingka ubi untuk Isa......,'' sahut ibu bergopoh-gapah turun tangga. Zaiton menarik nafas panjang. Tapi kuih bingka ubi untuk Isa tidak dapat dimakan oleh anak kesayangannya itu. Anak itu pergi sebelum dapat melihat wajah ibunya. Zaiton tidak dapat menahan perasaan sedihnya lagi. Ia meraung di sisi adiknya itu. Sesungguhnya ia tidak dapat menduga adik itu akan pergi dulu darinya.

Ibu tidak sedikit pun menitiskan air matanya hinggalah di saat mayat Isa diusung orang ke tanah perkuburan. Dengan matanya yang jernih, wajah yang damai ia memandang terus usungan yang membawa anak yang dikasihinya itu.

Last modified on

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel