A+ A A-

3ie

Rate this item
(0 votes)

071115 cerpen001 3ie maya bruneiROSMIE sudah hampir ke tahap berputus asa dan ingin menamatkan gaya hidupnya tidak punya erti apa-apa lagi kepada masyarakat dan kawan-kawan di sekelilingnya, apa pun yang dilakukannya tidak pernah menambat hati sesiapa yang melihatnya. Itulah nasib malang yang menimpa insan yang bernama Rosmie ini.

Rosmie sudah seratus peratus remaja dan perlu merasakan keremajaannya itu seiring dengan rempah-ratus cita rasa perasaannya. Keadaan di sekelilingnya amat mencabar alam remajanya lantaran kekurangan yang ada pada dirinya, dia tidak berupaya hendak menolak kekurangan sifatnya yang sejak lahir sudah macam itu.

Kedua-dua orang tua Rosmie memberikan nama kepadanya Rosli, tapi entah macam mana pula nama Rosmie itu melekat menjadi darah dagingnya hingga sekarang, mungkin nama Rosmie itu lebih sebati dalam dirinya yang semacam itu.

Rosmie sedar dirinya siapa dan kekurangannya apa, tapi dia mahu mempertahankan harga dirinya dan memberitahu kepada masyarakat sekelilingnya bahawa dia juga ingin dimanja, dibelai dan dikasihi sebagaimana rakan-rakannya yang seremaja dengannya.

Kerana itu Rosmie tidak bosan-bosannya mencari ketenangan biar di mana saja, di tepi pantai umpamanya bersama kawan-kawan yang senasib dan segaya dengannya, namun tidak seperti yang diharapkannya. Apa yang mereka perolehi cuma lerekan mata masyarakat yang sumbang dan sinis.

Rosmie bersantai di atas longgokan batu-batu besar di hujung pantai petang itu, sambil melihat pecahan ombak yang menghabiskan riwayatnya di dada batu-batu kaku membisu itu. Tiba-tiba Rosmie ternampak dirinya sendiri berada di celah-celah batu itu sedang terkapus-kapus kelemasan akibat pukulan ombak yang juga seakan putus asa itu.

Rosmie menjerit sekuat-kuat hatinya, tanpa disedarinya dia sendiri yang tergolek di atas batu itu dan terjatuh ke dalam air lalu dipukul ombak yang garang itu. Rosmie sedaya upaya hendak menyelamatkan dirinya tapi dia sudah kehabisan tenaganya.

Di saat-saat cemas Rosmie bergelut dengan maut dan hampir tenggelam itu, muncul Marnie sempat menyelamatkan Rosmie daripada mati lemas. Marnie membawa Rosmie ke rumahnya yang pada awalnya hendak ke klinik, tapi Rosmie menolak kerana tidak ada apa-apa yang dibimbangkan. Itulah kali pertama Rosmie mendapat perhatian dan Rosmie terhutang nyawa kepada Marnie.

Rosmie merasakan pendekatan dan kemesraan yang diberikan oleh Marnie yang punya sedikit ciri-ciri keibuan dalam kelembutannya itu, menjadikan Rosmie cepat sembuh dan bertenaga kembali, walaupun Marnie belum pernah menjadi ibu dan tidak akan menjadi ibu buat selama-lamanya.

Dengan adanya ciri-ciri keibuan dalam diri Marnie yang tujuh tahun lebih tua daripada Rosmie itu menyebabkan Rosmie menjadi manja dan bermanja kepada Marnie, bagi Marnie pula tidak membantah dan membiarkan saja Rosmie bermanja kepadanya.

Sejak Rosmie mendapat perhatian daripada Marnie, dia mula sedar rupa-rupanya masih ada orang yang mengambil berat tentang dirinya, tidak sebagaimana yang dianggapnya selama ini.

Semangat remaja Rosmie subur kembali, dia bukan lagi Rosli seperti dulu yang sering dicemuh dan disisihkan oleh rakan dan teman-temannya, tapi sekarang dia seakan Rosli yang sudah mati hidup kembali dengan semangat dan azam yang baharu.

Marnie banyak memberikan suntikan semangat dan contoh kepada Rosmie dan harus berani seperti tidak mempunyai apa-apa kekurangan, walaupun kekurangan itu jelas dilihat dan dipandang oleh siapa saja yang penting keinginan untuk hidup dalam jati diri yang tulen. Itu prinsip Rosmie sekarang.

Rosmie keluar seperti biasa menemui kawan-kawan seperti tidak ada apa-apa yang terjadi, di samping itu juga Rosmie berharap kawan-kawannya akan menunjukkan reaksi tentang ketiadaannya selama ini dan melupakan kekuranganya itu namun sebaliknya.

Apa yang terjadi Rosmie sama seperti dulu tidak diindahkan oleh kawan-kawannya dan masih juga disisihkan, tidak ada perubahan Rosmie di mata kawa-kawannya untuk dibanggakan, walaupun bagi Rosmie dia sudah menjadi Rosli yang sejati.

Apapun keadaannya Rosmie cuba melupakan semua itu, dan sekarang dia berusaha untuk mendekati temanya Asnie, kerana dalam diri temannya yang satu ini ada tanda-tanda simpati terhadapnya. Tapi malangnya Asnie telah terkorban ketika menyeberangi lampu isyarat di tengah-tengah bandar yang tidak sibuk.

Kawan-kawannya cuba menceritakan kepadanya apa sebenarnya yang berlaku kepada Asnie, tapi Rosmie tidak mengendahkannya. Rosmie berjalan terhuyung-hayang, tanpa disedarinya dia terjatuh ke dalam sebuah longkang. Rosmie cuba naik tapi badannya sudah longlai dua kali lipat macam sotong, Rosmie tidak dapat berbuat apa-apa cuma memejam-mejamkan matanya sambil melihat ke atas.

Rosmie membuka mata sebesar-besarnya dan memandang ke atas, sementara badannya dalam longkang itu masih tidak boleh bergerak, dia memerhatikan dengan pandangan yang begitu tajam kalau-kalau yang datang itu Asnie yang dicarinya selama ini, walaupun dia tahu Asnie sudah tidak ada lagi di dunia ini. Matanya tidak berkerdip memerhatikan wajah yang sedang memandangnya dari atas longkang itu.

Rosmie menjerit keriangan kerana yang dilihatnya itu betul-betul Asnie yang ditunggu-tunggunya. Rosmie cuba bangun untuk mendapatkan Asnie yang menghulurkan tangannya dari atas longkang itu, tapi tidak sempat kerana dia terperanjat oleh satu panggilan yang lebih kuat daripada jeritanya sendiri.

Rosmie kebingungan kerana panggilan itu datangnya dari Marnie yang menghulurkan tangannya untuk mengeluarkan Rosmie dari dalam longkang itu. Rosmie sekali lagi diselamatkan oleh Marnie.

Dalam perjalanan pulang Rosmie nampak sekujur badan Marnie itu tidak ada bezanya dengan potongan dan lenggang-lenggok Asnie. Rosmie baru sedar ketika dia berada di dalam longkang itu cuma igauan bertemu dengan Asnie.

Rosmie berhenti mencari hidupnya yang sebenar, dia juga seperti kawan-kawannya yang lain tidak kisah apa pun bentuk mahupun keadaan mereka. Sebaliknya mereka bersyukur dijadikan insan seperti sekarang ini, walaupun lembut tapi punya semangat yang kental dan keras.

Selang beberapa hari Rosmie dan Marnie bertemu dengan Asnie di Pasar Malam, Gadong. Mereka bertiga sama-sama terkejut dan pandang- memandang macam kena pukau, di luar sedar Rosmie memanggil Asnie dengan suara aslinya sambil hendak memulakan langkahnya untuk memelok Asnie.

Marnie batuk-batuk kecil sebagai isyarat bahawa mereka sekarang adalah laki-laki tulen dan bukan laki-laki bayangan silam mereka. Spontan Rosmie menjadi laki-laki yang keras dan Asnie pula sempat bertanya kepada dirinya. Apakah yang di hadapannya itu Rosli ataupun Rosmie...? Apa pun namanya, namun orangnya tetap sama.

Asnie menceritakan kejadian yang menimpa dirinya itu, tapi tidaklah seteruk seperti yang diperkatakan hingga mengkhabarkan dia sudah mati. Dia dirawat di rumah sakit cuma seminggu kerana tangannya terseliuh, kini Asnie sudah sihat seperti biasa.

Rosmie (ROSLI) ... Marnie (MASRI) dan Asnie (JASNI) bertekad tidak kira siapa diri mereka yang sebenarnya dan akan membina hidup diri mereka masing-masing sama seperti laki-laki keras yang lain.

Pada satu hari dan masa yang berikutnya Rosmie menunjukkan tempat pertemuan pertamanya dengan Marnie kepada Asnie ketika dia diselamatkan oleh Marnie. Tanpa disedari oleh Rosmie kakinya tersangkut batu dan nyaris terjatuh, mujurlah sempat dipegang oleh Asnie, jika tidak... Rosmie pasti akan jatuh buat kedua kalinya di tempat yang sama.

Rosmie pula sebelum sempat dipegang oleh Asnie, dia merasakan seperti berada di awang-awangan buat seketika Rosmie tidak sempat berbuat apa-apa selain daripada menjerit. Automatik suara asli Rosmie terkeluar.

Last modified on

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel