A+ A A-

Buah hati mama, Azwi Mutalib

Rate this item
(3 votes)

CERPEN SABTU 19122015 BUAH HATI MAMA AZWI MUTALIB"KRING! KRING!"

ASSALAMU'ALAIKUM!" Kedengaran suara Bidan Hajah Siti sedang menerima panggilan telefon. "Wad bersalin...siapa? Hajah Liza Ali? Au ada kedia ni di katilnya...bah ok. Aku membaritau kedia." Suara Bidan Hajah Siti semakin jelas di telinga Hajah Liza. Kebetulan kedudukan katilnya berdekatan dengan meja jururawat. Hatinya mula bergetar apabila namanya disebut.

"Kenapa sister?" Tanya Hajah Liza apabila dilihatnya bidan yang biasanya melemparkan senyuman tiba-tiba muram menuju katilnya.

"Anu lai... kau kana suruh ke wad kanak-kanak awal ani. Nya nurse di sana, ada doktor kan berbincang dengan kamu laki bini". Jelasnya.

Hajah Liza terkejut. Tanpa berkata dia segera berjalan menuju wad Special Care Baby Unit (SCBU). Baru semalam dia melahirkan seorang anak damit laki-laki seberat 870 gram. Sekarang ditempatkan di wad khusus bersama dengan beberapa anak damit yang senasib dengannya.

Perasaan Hajah Liza berdebar-debar. Matanya liar mencari-cari. Ditelitinya setiap incubator untuk memastikan yang mana buah hatinya itu, kerana dia hanya berkesempatan beberapa minit melihat anak damitnya. Kesihatan Hajah Liza sangat tidak mengizinkan apa lagi untuk bergerak dari katil. Tekanan darahnya juga amat menguatirkan.

Satu demi satu incubator didekatinya dari balik kaca. Hiba hati menatap setiap anak damit yang ada di situ. Tiba-tiba matanya terpandang pada incubator yang tercatat "BABY OF HAJAH LIZA BINTI ALI". Langkah kakinya terhenti. Dia segera menatap sambil menutup mulut dengan tangannya.

"Ya Allah, Engkau Maha Kaya, buah hati mama." Bisiknya. Serentak itu juga, hati Hajah Liza sebak. Sangat kecil anak yang dilahirkan. Incubator yang berukuran kira-kira dua kaki panjang itu nampak terlalu besar buatnya. "Ya Allah! sesungguhnya ani kah buah hatiku yang lahirkan kelmarin?" luah hati Hajah Liza. Titis air mata semakin bergenang di kelopak matanya.

Hajah Liza meneruskan langkahnya memasuki ruang dalam SCBU yang sepi itu. Matanya liar memandang sekeliling untuk mencari doktor yang ingin menemuinya. Sesungguhnya hati Hajah Liza sangat pilu. Jantungnya berdegup kencang.

Incubator anak damitnya semakin didekatinya. Anak damitnya dibalut sehelai kain. Matanya tertutup rapat. Hajah Liza mengangkat permukaan kaca incubator lalu menyentuh lengan buah hatinya yang hanya sebesar lilin. Hati perempuannya semakina terusik. Anak damitnya hanya besar tapak tangannya. Ya Allah...

Titisan air mata semakin deras mengalir dipipinya. Sesungguhnya besar kekuasaan Allah Subhanahu Wata'ala, anak yang dikandungnya selama enam bulan kini sudah berada di depan mata. Dia akui, belum pernah melihat anak damit sekecil itu walaupun kakak keduanya pernah melahirkan anak perempuan pra matang seberat 1.8 kg.

Hajah Liza mengesat air mata di pipinya. "Assalamualaikum buah hati mama. Selamat lahir kedunia. Ani mama lai." Luah Hajah Liza sendu. Dia mengusup-usup lembut lengan si kecil. Tidak ada respon dari buah hatinya. Hajah Liza terus memerhatikan wajahnya. Masya Allah. Hajah Liza mula merasa sesuatu. Buah hatinya tidak bersuara walau kelihatan dia sedang menangis.

Fikiran Hajah Liza mula kacau. Matanya berkaca-kaca.

"Hajah Liza?" bahunya disentuh.

Dia mendongak ke arah pemilik suara itu. Seorang lelaki berbangsa India berdiri tepat di belakangnya. Dari pakaiannya Hajah Liza yakin dia lah doktor yang ingin bertemu dengannya. Dia menarik nafas dalam. Jauh di sudut hati berbagai persoalan hadir di benaknya.

"Ya dok...tor....why you want to see me?" suaranya tersekat-sekat. Riak cemas gagal disembunyikannya. Dia kurang pasti apakah doktor itu yang turut hadir semasa di bilik melahirkan semalam? Hajah Liza memberanikan menatap wajahnya. "Doktor Haji Salim?", kata Hajah Liza apabila terpandang name tag yang ada dibajunya.

"Yes im, I need to talk about your baby, I told your husband about him last night, your baby is xspremature, his lung is not yet complete but anyway I had given him a special treatment. Where is your husband? Is he around?" Tanyanya apabila Hajah Liza tidak berkata apa-apa. Dia tidak dapat menjawap soalan doktor itu kerana dadanya seolah-olah dihimpit.

Kata-kata doktor itu seolah menghempap dadanya. Ternyata, ada sesuatu berlaku pada buah hatinya. Hajah Liza menyedari hakikat itu namun, naluri keibuannya seolah-olah sukar mempercayainya. Melihat keadaan buah hatinya itu sesungguhnya hanya Allah Subahanahu Wata'ala yang tahu bagaimana perasaannya.

Beberapa hari lalu, Hajah Liza mula merasakan kelainan. Pergerakan baby dalam kandungannya semakin berkurangan. Tekanan darahnya pula semakin tinggi. Dia benar-benar risau. Masih terngiang-ngiang di telinganya ketika Doktor Susi memujuknya supaya segera melahirkan. Padahal ketika itu kandungannya baharu saja berusia enam bulan. Jika tidak segera dilahirkan akan berisiko tinggi kepada baby termasuk Hajah Liza sendiri.

Menurut doktor, risiko yang dilaluinya memang sangat tinggi. Namun itulah pilihan yang harus dilaluinya. Dia juga disaran agar melahirkan dengan cara normal tetapi harus diinduce berbanding dengan cara pembedahan. Ini kerana menurut doktor cara itu lebih baik dan memperbolehkan Hajah Liza mengandung lagi dalam tempoh yang cepat jika sekiranya anak damitnya gagal diselamatkan.

Hajah Liza bingung. Dia benar-benar buntu untuk membuat keputusan. Akhirnya dia bertawakal kepada Allah Subhanahu Wata'ala dan akur dengan keputusan Doktor Susi memandangankan usianya sudah hampir 30 tahun dan sangat berisiko tinggi untuk mengandung jika terpaksa menunggu 2 atau 3 tahun lagi.

"Hajah Liza, are u ok?" tiba-tiba suara Doktor Haji Salim menghentikan lamunannya. Dia cuma menganguk lemah.

"Kajah...sabar.." Tiba-tiba suara seseorang menegurnya. Dia tidak sedar akan kehadiran adik bungsu di sisinya. Dia menjadi sedih bercampur gembira. Keluarganya memang tunggak semangatnya. Setia bersama-sama dengannya menghadapi dugaan. Wajah adiknya dipandanginya dengan linangan airmata. Dia terus mendakap adik kesayanganya. Lerai pelukan, dia menoleh semula ke arah buah hatinya yang penuh dengan sambungan wayar pada badan kecilnya.

"Maafkan mama sayang, disebabkan penyakit mama kau menderita macam ani. Maafkan lai..." Bisiknya."Your baby is critical and he did not pass urine since last night" Doktor Salim memberikan penjelasan.

Hajah Liza membatu. Dia kalut seketika. Dada seakan remuk. Pandangannya tertumpu pada perut si kecil. Kolam mata Hajah Liza tewas. Air mata mengalir deras. Tangisan mula kedengaran. "Ya Allah, sembuhkan anakku Ya Allah." Rintih Hajah Liza.

Hajah Liza segera mengambil telefon bimbit jenama Nokia dari saku bajunya. Dia mencuba menghubungi suaminya. Rasa cemas apabila telefon bimbit Haji Mohammad sedang dimatikan.

Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar! Mulutnya tidak henti mengucap zikirullah. Alhamdulillah beberapa minit kemudian suaminya muncul di ambang pintu walaupun dia belum sempat membuat panggilan.

"Sorry lai, akhir abang ke mari, akhir abang bangun. Mama inda berani kan membangunkan abang. Macammana baby kitani lai?"
Hajah Liza tidak mampu bersuara. Matanya tidak lepas dari menatap wajah buah hatinya. Begitu juga dengan suaminya.

"Bang.."

Haji Mohammad menggenggam erat tangan Hajah Liza apabila dia ingin membicarakan sesuatu.

"A.. Abang su.. sudah tahu, sabar saja lai... Allah lebih mengetahui. Kitani berdoa saja ......." Intonasi suara suaminya berketar-ketar. Dia tidak sanggup menghabiskan
ceritanya.

Hajah Liza berasa sedih. Baru semalam dia nampak suaminya amat gembira setelah bergelar seorang ayah tapi hari itu dia keadaan menjadi sebaliknya.

"Sabarlah.....mungkin ada rahmatnya......dimalam abang...." Tiba-tiba suaminya terjatuh ke lantai.

Perasaan Hajah Liza meruntun cemas. Adik bungsu Hajah Liza segera meluru ke arah mereka lalu memapah Haji Mohammad duduk di kerusi. Keadaan menjadi semakin cemas.

"Abang bermimpi si alai kitani ketimbunan ais..." cerita suaminya apabila dia mulai sedar. Matanya terus berkaca-kaca dan tangisan jelas kedengaran. Baru pertama kali Hajah Liza melihat dia menangis sepanjang dua tahun usia perkahwinan mereka.

"Be patient Haji, Hajah" Doktor Haji Salim cuba memberikan ketenangan.

"You can call the families to come....... and..and..please give him breast feeding.." Tambahnya dengan nada yang sangat perlahan. Hati Hajah Liza bertambah hiba. Entah sudah berapa banyak air matanya tertumpah. Perasaan itu terlalu sukar digambarkan. Meski dia tidak dapat mendakapnya dengan erat namun Hajah Liza tetap bersyukur. Tiba-tiba keadaan bertambah kalut apabila melihat mesin oksijen menunjukkan angka yang semakin berkurangan. Dan akhirnya mesin itu mengeluarkan bunyi yang mendebarnya.

"Lai... sabar." Suara lembut bidan Hajah Siti menenangkannya.

"Redhkan anakmu, biarkan tia lapas dengan tenang dan jangan tangisi pemergiannya. Allah Subhanahu Wata'ala lebih menyayangi dirinya. Insya-Allah kedia kan menunggu indungnya di akhirat." Tambahnya.

Dalam beberapa saat saja mesin pernafasan berhenti dan jelas buah hati Hajah Liza telah pergi menghadap Ya Khalik. Innalillahiwainaillaihiraziuun!!

"Mama.."

Tiba-tiba potret Azwi Mutalib terjatuh dari tangan Hajah Liza. Terlalu jauh ingatannya melayang. Memori itulah yang sering menjadi igauan dirinya.

Ditatapinya wajah Zawawi. Anak keduanya. Menatap dirinya seolah-olah dia menatapi wajah arwah anak sulungnya. Matanya yang sepet, bibirnya yang kecil mungil juga dua lesung pipit di pipinya. Semua yang ada dalam dirinya membuatkan Hajah Liza rindu. Sangat kebetulan tarikh kelahiranya bertepatan dengan kelahiran arwah anak sulungnya 10 tahun lalu. Allah maha pengasih lagi penyayang.

"Kenapa sayang..tekajut mama."

"Mama rindu abang Azwi?".

Hajah Liza segera memeluk anaknya.

"Selamat ulang tahun lai. Mama sayang alai. Agatah mandi, sekajap lagi majlis kan bermula." Luah Hajah Liza.

"Ok mama." Jawabnya.

Hajah Liza menatap potret di tangannya semula.

"Lai..hari ini, 15 Ogos genaplah umurmu 10 tahun. Semoga rohmu di cucuri rahmat dan ditempatkan di dalam golongan orang-orang yang beriman dan beramal soleh... Al Faatihah.."

"Sesunguhnya dalam hati mama ani, sejuta kasih sayang, rindu, cinta yang inda dapat mama ungkapkan untuk mu wahai buah hati..." Bisik Hajah Liza dengan deraian air matanya.

Last modified on
Lebih dalam kategori ini: « 3ie Hijrahku »

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel