A+ A A-

Hijrahku

Rate this item
(0 votes)

CERPEN SABTU 02012016 HIJRAHKU

CUACA pada pada pagi itu amat baik sekali. Angin sepoi-sepoi terasa nyaman menerpa ke wajah. Daun pokok getah melambai-lambai mengikut irama. Bijinya berguguran jatuh ke bumi. Sudah hampir 40 tahun tanah seluas satu ekar itu terbiar. Pokok tua itu sudah lama tidak mengeluarkan hasil.

Maimunah melabuhkan punggungnya di bawah serumpun pokok pisang. Dia mengesat peluh di dahi dengan sehelai tuala. Kerut dahi Maimunah semakin ketara. Dia pusing memikirkan kehidupannya yang serba dalam kesusahan. Hanya dia seorang diri mengusahakan kebun getah di tanah pusaka peninggalan kedua ibu bapanya itu.

''Dang! mun bapa sudah inda ada kandila, kau jaga kebun getah kitani ani baik-baik ah. Jangan sekali-kali kau jual. Mispun apa pun yang terjadi. Inda ku ingin harta kitani ani jatuh arah dangan tah pulang. Macam kitani menumpang di tanah air kitani sendiri tah pulang. Orang asing pulang berumah di tanah diri. Mau kau janji nak?'' Pak Sidek bersuara berselang-seli dengan batuk yang dihidapinya.

Maimunah hanya mampu mengangguk sambil menitiskan air mata. Kehidupan mereka yang miskin membuatkan mereka sering dalam kesusahan. Maimunah mempunyai lapan orang adik. Dari jumlah itu hanya seorang adik laki-laki. Dia merupakan anak sulung hasil perkahwinan Pak Sidek dan Mak Limah. Sebagai anak yang sulung, dia bekerja keras membantu kedua ibu bapanya untuk menyara adik-adik. Sejak akhir-akhir ini, kesihatan bapanya terganggu. Pak Sidek mengalami batuk kering. Dia tidak mahu pergi berubat memandangkan wang perbelanjaan harian mereka hanya cukup untuk makan seharian sahaja.

Beban terpikul sepenuhnya ke atas Maimunah apabila Pak Sidek pulang ke rahmatullah. Segala keperluan mereka sekeluarga terpaksa diungkayahkannya sendirian. Sejak kepergian bapanya itu, ibunya juga ditimpa masalah. Dia terjatuh ketika sedang bekerja di sawah padi yang akhirnya mengalami lumpuh.

Maimunah pasrah dengan takdir hidupnya. Dia melakukan pelbagai pekerjaan seperti mengambil upah menyuci pakaian, berkebun, bersawah padi dan banyak lagi. Dia juga terpaksa berhenti sekolah untuk menjaga empat orang adik-adiknya yang masih kecil. Manakala tiga orang lagi sudah di peringkat menengah.

Tiap malam, Maimunah akan menemani adik-adiknya belajar sambil dia mengerjakan kerja rumah. Hati kecilnya berasa terusik akan keadaanya, tetapi apakan daya. Ini dilakukannya demi adik-adiknya.

Apabila usia Maimunah mencecah 20 tahun. Ibunya menyarankan agar dia berkahwin dengan sepupunya. Dengan demikian, beban yang dipikulnya dapat dikongsi sama. Dia hanya akur dengan kehendak ibunya. Walhal dia langsung tidak terfikir ke arah itu.

''Ma, apa yang kita fikirkan atu?'' Tiba-tiba lamunan Maimunah terhenti. Kehadiran anak sulungnya mengejutkannya. Maimunah membetulkan ikatan tudung di kepalanya.

''Bila kau datang lai Milah? Malik inda ikut?'' tanyanya pula.

''Ni baru ku sampai ma. Inda ma, di rumah ya. Aku ganya seorang ke mari.'' jawabnya.

Maimunah dan Jamilah duduk bersimpuh. Lalu Jamilah mengeluarkan bekal makanan yang dibawanya. Maimunah merenung wajah anaknya. Menatap wajah ayu anaknya, membuatkan dia teringat peristiwa lama.

Dua Puluh tahun yang lalu, setelah Maimunah berumahtangga, hidup mereka
sekeluarga aman dan damai. Maimunah bertuah kerana bersuamikan orang yang sangat baik dan bertanggungjawab. Beban yang dipikulnya ditanggung bersama. Mereka sama-sama membesarkan adik-adik Maimunah sekaligus anak mereka, Jamilah.

Namun malang tidak berbau. Suaminya meninggal lima tahun lepas. Belum pun sempat melihat hasil kejayaan anaknya menerima segolong ijazah. Bebannya bertambah. Dia tidak mempunyai tempat tinggal setelah dihalau oleh adiknya.

''Ka Munah! Kita anak beranak ani baiktah keluar dari tanah ani!'' bentak adiknya dengan kasar.

''Astah, napa kan wang? Kau menghalau kaka ani? Kemana jua kan kaka tuju lai. Jangan kaka dihalau.'' Rayu Maimunah dengan linangan air mata.

''Sudah jua ku padahkan arah kita ariatu. Tanah tampat kaka tinggal ani, sudah atas namaku bah. Jadinya kan ku jual, ada jua kan usinku. Lagipun selama kita anak beranak tinggal ditanah ani, satu sen pun inda kita pernah membagi arah kami laki bini.''
Tersentak Maimunah mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut adik lelakinya itu. Setahu Maimunah tanah itu adalah tanah pusaka arwah bapanya yang diamanahkan untuknya.

''Ya Allah, pasan mulah bapa, jangan dijual tanah pusaka ani lai. Mengapa kau macam miani? Susah pebaik kitani lai, jangan bejual tanah. Dimana kitani kan tinggal kandila.'' Semakin kuat tangisan Maimunah.

''Au tau ku. Banar, tanah ani peninggalan mulah bapa, tapi aku anak laki-laki satu-satunya. Kita atu anak bini-bini. Kalau ikut peraturan, anak laki-laki lah yang mempunyai hak ke atas tanah ani. Tanah ani kan ku jual. Merati kita? Aku pun ada jua sudah tanah. Bahapa jua kan banyak-banyak. Dijual tantu ada hasilnya. Daripada tebiar macam hutan miani ani.''

''Sampai hati kau miani lai. Kaka ani macam mana? Dimana kan tinggal? Mun inda pun, tunggu tah si milah atu keraja lai. Dapat jua beikhtiar mehunjar rumah. InsyaaAllah.'' Rayu Maimunah sambil menangis.

''Inda boleh tu ka eh! Rugiku tu! Ani tantu sudah ada orang kan membali tanah ani.'' Balas adiknya.

''Halau saja tia bang!'' Sokong isteri kepada adiknya.

''Au ka, barinut tah kita. Sekarang ani jua kita anak beranak keluar. Keluar.......! Keluar.......! Keluar.......!'' halau adiknya.

''Sampai hatimu lai.'' Katanya sambil meraung menangis.

Melihat keadaan Maimunah yang meraung, Milah terus memeluk ibunya dan turut menangis hiba.

''Sampai hati kita Padamit. Inda kita bekanang kan mama. Masa kita damit, mama sama mulah bapa jua yang mengasuh dan membasarkan kita. Inda kita takut kan balasan Allah Subhanahu Wata'ala kah? Inda kita takut azab Allah Subhanahu Wata'ala? Tehimpit tanah kubur! Liat tah!.'' pekik Jamilah lagi. Dia sudah tidak peduli lagi. Rasa hormat sudah hilang.

''Sudah tah lai..! sudah..........sudah...........'' Maimunah memujuk.

''Mari tah kitani panyap barang barang kita, cepat cepat kita keluar dari sini.''

Jiran-jiran sekeliling yang menyaksikan peristiwa itu turut sama menangis dan simpati dengan nasib Maimunah. Berasa belas kasihan kepada Maimunah. Orang yang bersusah payah menjaga dan membesarkan adik-adiknya diperlakukan sedemikian. Adik yang tidak mengenang budi. Di manakah dia sekeluarga akan tinggal nanti?

Air mata Maimunah mengalir. Peristiwa pahit terus bermain di fikirannya. Meskipun perkara itu sudah lama berlalu.

''Kenapa mama menangis?'' tanya Jamilah.

''Inda papa lai..mama bahagia meliat kau sudah basar. Tanah ani pun sudah balik semula arah mama. Macam pasan mulah ninimu arah mama.'' Jelas Maimunah gembira.

Dia dan Jamilah menikmati nasi lemak dibungkus daun pisang buatan anaknya.
''Nyaman nasi ani lai, terima kasih sebab membahagiakan mama lai. Menabus balik tanah yang sudah padamit mu jual ani.''

''Inda seberapa ni ma bebanding jasa kita betiankan aku, membasarkan aku, mensekolahkan aku sampai aku jadi ketua jabatan ani. Syukur Alhamdulillah. Ya Allah.. mudah-mudahan mama sentiasa dirahmati Allah Subhanahu Wata'ala, sihat walafiat. Milah sayang kan mama.'' Ujarnya hiba sambil memeluk ibunya.

''Alhamdulillah.'' Jawab ibunya.

''Selamat tahun baru hijrah mama. Semoga hidup kitani akan lebih baik dan sentiasa dalam lindungan Allah Subhanahu Wata'ala.''

''Amin ya rabbal alamin sayang.'' Balas Maimunah sambil tersenyum. Jamilah juga tersenyum.

''Bah, mari tah kitani ke rumah. Masih ada tanggungjawab kepada Allah Subhanahu Wata'ala yang belum tani tunaikan. Padamitpun balum lagi mama bagi makan. Kesian lai inda ada orang meduli. Bini padamitmu lari antah ke mana. Sejak terkena strok, mama bawa tia tinggal di rumah kitani.'' Sambungnya.

''Au ma, mudahan ringan penyakit padamit dan disembuhkan penyakitnya.''

Maimunah bersama anaknya berjalan beriringan menuju rumah mereka.

Last modified on

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel