A+ A A-

Mawar jingga

Rate this item
(3 votes)

3 5 2016 PelitaBrunei PB 5 MAC 2016 Pelita23 jpegJEJARINYA yang lembut dan sedikit kasar itu begitu tekun membelai daun-daun bunga mawar yang berlubang-lubang dinodai oleh makhluk perosak. Begitulah dasar makhluk perosak yang cuma tahu makan dan mengisi perut sendiri tanpa ambil pusing apa yang dibuat dan dilakukannya. Apa pun itu adalah suatu yang sudah ditentukan oleh Maha Pencipta alam maya ini.

Itu bagi makhluk yang digelar serangga ataupun binatang yang sudah ditakdirkan daun-daunan menjadi makanannya asal mereka rajin mencari sehingga menjadi habuan yang dipanggil racun serangga untuk menghapuskan mereka yang pada akhirnya mati kojol dalam mengisi perut sendiri.

Jejarinya masih membinar-binar daun-daun mawar yang sepertinya minta diubati itu, semua itu akibat makhluk perosak yang tidak mengenal jenis daun main hentam kebas saja. Itu serangga macam mana kalau manusia yang menjadi makhluk perosak…?

Manusia juga ada kalanya menjadi makhluk perosak malah lebih halus dan ganas dari haiwan itu sendiri. Padahal manusia itu dianugerahkan oleh Allah akal dan fikiran untuk memperhitungkan dan membezakan mana baik buruknya sesuatu yang dilakukan. Kalau sudah haiwan dan manusia hampir tiada bezanya, lalu di manakah letaknya akal dan fikiran anugerah Allah itu…?

''Aduhh…!'' Spontan Naina menjerit mujurlah tidak terdengar oleh orang-orang yang lalu lalang di sekelilingnya di pasar minggu itu.

Automatik cecair merah memercit dari hujung jarinya akibat tikaman duri bunga mawar yang juga tidak kenal siapa itu, waimatah ampuannya sendiri, bagaikan menyambut cerahnya sinaran matahari pagi itu. Lantak tetap lantak tersentuh saja itulah musuh baginya dan pasti akan menerima ganjaran atas keceluparan penyentuhnya. Mujurlah juga pelanggan belum ramai ketika itu.

Pantas macam besi berani jarinya yang merah itu mendakap di kedua bibirnya yang keringkering basah itu dan menghisap darah yang keluar hasil sentuhan duri tajam yang menjadi senjata pelindung diri si mawar jingga itu. Kemudian dihembuskannya ke sebelah kiri yang nyata air ludahnya menjadi merah. Baik jua Naina inda jadi pontianak…?

''Luka di jari nyata berdarah tapi di hati tanggung sendiri'' Bisik hati kecil Naina. Naina kemudian mengambil tisu dan membungkus jarinya yang masih tersisa darah itu sambil melihat keliling, mujur tidak ada orang yang memerhatikannya. Naina tidak boleh melihat darah terlalu lama dan pandangannya mulai kabur…!

''Mau aku bawa kamu ke klinik…?'' Sapa pemuda itu dengan bersopan dan pemuda itu terasa bersalah kerana dia Naina tertusuk duri mawar itu.

''Tak payahlah…bukannya dalam sangat,'' Naina menolak ajakan pemuda itu walaupun pemuda itu berniat jujur dah ikhlas.

''Kalau dibiarkan nanti kuman membiak dan akan menjadi penyakit lain pula, sekarang ni virus terlalu gelojoh...!'' Pemuda itu macam seorang doktor serba tahu semua virus yang wujud di dunia ini.

''Aku sudah biasa begini…cucukan duri-duri seperti ini sudah lali di jasadku,'' Naina masih menolak macamlah jasadnya itu tidak boleh diratah virus.

''Saya ikhlas kerana Allah…!'' Pemuda itu mempamerkan wajah simpati seratus peratus dari keikhlasan hatinya.

''Nantilah aku bawa sendiri rumah aku pun tidak jauh dari klinik,'' Naina masih berkeras.

''Di mana…?'' Pemuda itu memajal.

''Berakas…!'' Pendek tanya dan jawab mereka.

''Lihat darahnya makin banyak keluar…'' Pemuda itu memaksa Naina kerana ingin memberikan pertolongan, yang mana semua itu berpunca daripada kecuaian dirinya jua. Akhirnya Naina ke klinik bersama pemuda yang ingin bertanggung jawab itu.

Sejak itu hubungan Naina dengan pemuda itu bukan selaku penjual dan pembeli bunga lagi, tapi sudah ada bibit bunga-bunga cinta. Malah pemuda itu juga berperanan menyebarluaskan jualan bunga-bungaan Naina kepada kawan-kawannya. Naina sudah ada pembantu dalam perniagaannya.

''Kamu Naina…?'' Tanya seorang wanita yang hampir sebaya dengannya. Wanita itu bertudung lengkap seorang muslimah begitu rapi.

''Saya…'' Jawab Naina. ''Ada apa…?'' Sambungnya.

''Saya datang hendak mengambil bunga yang ini…'' Sambil wanita bertudung lengkap itu menunjuk bunga yang dimaksudkannya. Mawar Jingga.

''Yang itu sudah dibeli orang lain…,'' Naina menerangkan kepada wanita bertudung lengkap itu.

''Saya tahu…abang Firdaus menyuruh saya mengambilnya…'' Wanita bertudung lengkap itu selamba.

''Firdaus…?'' Spontan wajah Naina berubah apabila wanita bertudung lengkap itu mengungkapkan perkataan abang itu.

''Firdaus suami saya…kami cukup bahagia, di samping dua orang cahaya mata…!'' Wanita bertudung lengkap itu berasa bangga sambil mengurak senyum yang punya makna.

Kawasan jualan bunga-bungaan itu terasa gelap seketika bagi pandangan Naina, tapi dengan kekuatan hati dan imannya dia berjaya mengawal emosinya yang hendak bertindak di luar sedarnya itu.

Namun semuanya itu cuma rancangan kedua insan yang berkeinginan menuju wawasan hidup masa depan mereka dalam berumah tangga. Tapi sebenarnya berlainan dengan ketentuan Allah, mereka bukan sejodoh yang ditakdirkan malah pasti akan putus juga di tengah perjalanan sebelum mereka menemukan titik kekecewaan yang lebih parah.

Hubungan mereka total terputus disebabkan peristiwa itu, Naina tidak mahu merosakkan rumah tangga kaum sejenis dengannya. Titik.

''Barapa tah sepohon bungamu ani, dang…?'' Tanya seorang wanita lebih separuh umur. Naina diam masih dikuasai kenangan silamnya sambil memerah darah yang masih tersisa.

''Dang…! Berapa ni…?'' Ulang wanita lebih separuh umur itu.

''Oh…!'' Naina terkejut.

''Takajut kau…''

''Minta maaf, bu Hajah…'' Naina tersipu-sipu sedikit malu sambil mengurak senyum walaupun senyuman itu masih bergaul dengan kesakitan dari cucukan duri mawar jingga itu.

''Mengapa tanganmu badarah ah…?'' Tanya wanita lebih separuh umur itu lagi.

''Tacucuk duri tadi…'' Jawab Naina pendek.

''Andangnya…kalau kitani karaja dangan duri awal ahir pasti tacucuk jua tu…'' Wanita lebih separuh umur itu simpati. Kemudian wanita lebih separuh umur itu berlalu kerana tidak ada bunga-bunga pilihanya di situ. Dia cuma menjadi dalang untuk menumpaskan kenangan silam Naina dengan pemuda yang sudah berumah tangga itu.

Naina berasa lega dan hairan mengapa tiba-tiba pagi itu dia tercucuk duri lagi, kerana itu tanpa diundang segala kenangan lalunya seolah diputarkan semula. Naina tidak berminat untuk mengingatkan kembali segala peristiwa buruk dan merugikan itu dengan mudah masuk ke dalam kotak kepalanya dan menganggu fikirannya. Naina tidak mahu semua itu.

''Assalamualaikum…!'' Antara dengar dengan tidak suara itu. Naina menoleh di mana datangnya suara itu.

''Waalaikumsalam…!'' Jawab Naina tawar. Kalaulah hukum menjawab salam itu sunat, seribu paratus Naina tidak akan menjawabnya.

''Jarimu berdarah lagi…!'' Soalan itu tidak berjawab dan tidak akan dijawab oleh Naina sampai mati. Total.

''Kenapa kau datang lagi…?'' Naina tidak mahu memandang wajah Firdaus yang muram ketika itu.

''Aku ingin bertemu denganmu sebelum ini tapi aku tidak berdaya,'' Firdaus terpaksa berhenti berkata-kata kerana dipotong cepat oleh Naina.

''Ciptalah seberapa banyak alasan namun kau tetap duri dalam jasadku…'' Marah Naina tidak ada tanda-tanda hendak berhenti.

''Kau boleh marah dan kata apa saja tapi aku datang ini hendak memberitahu kau sesuatu…'' Firdaus berhenti seketika kerana menelan air liurnya yang hendak melilih keluar.

''Jangan buang masa aku dan jangan pancing sangkaan orang ramai yang tidak baik terhadapku. Kau baliklah di sana anak-anak dan isterimu menunggu.''

''Aku ingin menjemputmu malam esok dan kita sama-sama bertahlil untuk arwah kedua anak-anakku dan juga isteriku…'' Firdaus berpaling dan meninggalkan Naina di celah-celah orang lalu lalang di pasar pagi minggu itu.

Naina sepertinya dipukau kedua matanya tidak mengerdip menelan sekujur tubuh lelaki yang ditimpa musibah itu. Naina ingin memanggilnya tapi suaranya tidak terkeluar. Dia juga ingin mengejarnya tapi kakinya macam disemen tidak boleh bergerak. Sekunyung pasu kecil yang di tangannya terjatuh.

'Innalilaahi wa innaillaihi raji'un…'

Cuma itu yang terungkap dalam hati wanita malang yang bernama Naina.

Last modified on
Lebih dalam kategori ini: « Hijrahku Memori untuk Jasly »

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel