A+ A A-

Memori untuk Jasly

Rate this item
(0 votes)

CERPEN ISNIN 11042016 Memori untuk JaslyAKU faham semuanya adalah salahku jua. Aku terlalu menurutkan kata hatiku sendiri. Tapi aku sebenarnya mahukan yang terbaik untuk dirinya. Namun tidak ku menyangka apa yang ku mahukan itu menjadi tragedi yang menjerat leherku dan menyayat hatiku.

Bagi ku dia adalah perempuan misteri. Pertama kali ku melihat dia ialah semasa konvo (konvokesyen) kami lebih satu dekad yang lalu. Walaupun kami sebenarnya menuntut pada tahun yang sama selama empat tahun, tetapi sekali pun aku tidak pernah melihat dirinya. Entah bagaimana semasa konvo itu mataku terpana dan tertarik dengan kehadiran gadis Tiong Hua yang bertudung dan mempunyai tahi lalat di dagu sebelah kanan. Perasaan itu sukar aku bayangkan. Ada satu perasaan yang mendalam terhadap kehadiran gadis Tiong Hua yang aku tidak tahu dari mana datangnya.

Namun majlis yang sibuk itu menutup tirai perjumpaan yang telah menanam sesuatu benih yang halus pada perasaanku. Bagaimanapun sesuai dengan masa yang singkat itu begitulah terjadinya perasaan itu hilang ditelan kesibukan kami menjalani kehidupan dan mencari pekerjaan tanpa aku tahu siapa gadis Tiong Hua yang bertudung yang bertahi lalat di dagu sebelah kanan itu. ''Agaknya gadis misteri,'' kata hati kecilku sekali-sekala apabila ingatan itu timbul dalam kesedaranku.

Empat bulan kemudian setelah menjalani berbagai temu duga kerja, aku dipanggil untuk menerima tawaran kerja. Bukan main bahagia aku ketika itu. Semasa perjumpaan itu, ada beberapa orang lagi yang dipanggil untuk menandatangani persetujuan kerja - seorang lelaki India, seorang lelaki Filipina, seorang gadis Tiong Hua dan aku sendiri. Setelah habis sesi perjumpaan itu, aku berjalan turun dengan perempuan Tiong Hua tersebut ke tempat meletakkan kereta. Kami bercerita-cerita sedikit tentang persiapan untuk memulakan pekerjaan. Kami berpisah setelah sampai ke tempat kereta masing-masing.

Seminggu kemudian kami pun mula bekerja. Bermulalah era pekerjaan dalam kehidupanku dan rakan-rakan sekerja baharu. Suasana kerja adalah berlainan dengan belajar. Kerja begitu memerah tenaga dan fikiran sehingga tidakada banyak masa untuk memikirkan hal peribadi. Matlamat kerja ialah menyiapkan pekerjaan pada setiap hari. Tidak terasa masa berlalu begitu cepat. Setahun berlalu tidak terasa panjangnya waktu. Sehiggalah ke hujung tahun semasa majlis penyampaian hadiah penghargaan.

Dalam majlis yang serba sederhana itu, mataku sekali lagi terpana pada sosok wajah gadis Tiong Hua yang pernah aku jumpa semasa konvo sebelumnya. Subahanallah, rupanya gadis Tiong Hua yang berjalan denganku selepas menerima persetujuan kerja dan gadis Tiong Hua yang bekerja sama aku selama setahun itu adalah gadis Tiong Hua yang menggetarkan dan menawan hatiku semasa konvo. Tapinya mengapa aku tidak mengenali dan menyedari kehadirannya. Oh, kerana semasa konvo itu dia memakai tudung. Yang menyebabkan aku teringat semula ialah tahi lalat sebelah kanan dagunya itu. Hatiku berteriak semacam kegembiraan. Gadis pujaanku itu rupanya dekat denganku dan dia ialah Jasly rakan sejawatan yang telah bekerja denganku lebih kurang setahun lamanya.

Sejak itu aku berusaha mendekati gadis Tiong Hua itu bila-bila masa ada kesempatan walaupun dia sedikit pun tidak memberikan layanan yang ku harapkan. Di mana-mana ada acara atau majlis aku akan ambil kesempatan bercakap dengan dirinya. Apabila ada sesi bergambar aku tidak buang peluang berdiri dekat dengan dirinya. Gambar itu aku ambil dan simpan. Kadang-kadang gambar itu aku gunting cukup untuk gambar kami berdua sahaja. Agaknya aku sendiri yag berangan-angan saja. Aku tidak berani untuk meluahkan apa yang tersirat di hati. Siapalah diri ini kataku. Aku bukannya tampan dan aku bukannya kaya, sedangkan dia gadis Tiong Hua yang ada rupa dan kedudukan. Banyak lelaki teman sekerja yang berminat dengan dirinya. Dia seorang perempuan yang cukup sempurna bagi pandanganku. Walaupun dia gadis Tiong Hua, tetapi dia tahu tentang adab dan kesopanan.

Entah bagaimana sesuatu berlaku. Aku masih ingat lagi tarikh keramat itu. Suatu malam selepas kami mengadakan majlis, tiba-tiba sahaja dengan selamba Jasly meminta aku menghantarnya pulang kerana dia tidak ada kereta dan ayahnya tidak dapat mengambilnya. Bukan main kuat getaran jantungku ketika itu. Malam itu hujan turun renyai-renyai. Kami tidak banyak bercerita. Kami lebih banyak mendiamkan diri semasa dalam perjalanan pulang itu sedang aku sukar mengawal degupan jantung dan nafasku. Namun, sejak itu hubungan kami semakin rapat dan dua tahun kemudian di antara aku dan Jasly mempunyai ikatan cinta kasih dan sayang.

Dalam perjalanan mengharungi kehidupan dengan kisah cinta kami, semakin lama percintaan kami semakin banyak halangan. Halangan besar ialah keluarga. Keluarganya tidak merestui anak mereka menjalin hubungan selain dari bangsa mereka. Terdengar di telingaku mereka sangat menentang keras hubungan seperti itu. Dalam keluarga mereka pernah ada seorang pada pangkat datuknya yang berkahwin dengan bangsa lain. Akhirnya datuknya itu dipulaukan dari keluarga mereka hingga dia meninggal pun tidak dipedulikan dan diziarahi. Begitu juga dengan keluargaku. Walaupun mereka tidak menghalang, tetapi mereka tidak begitu menggalakkannya. Tapi bagiku maksud mereka juga adalah sama sahaja. Aku fikirkan zaman Siti Nurbaya sudah tidak ada lagi, rupanya zaman itu masih berterusan hingga ke hari ini ke zaman moden zaman globalisasi ini.

Peristiwa itu benar-benar menakutkan Jasly untuk hidup bersama dengan diriku. Dia tidak mahu juga kehilangan kedua ibu bapa dan keluarganya. Tapi dia juga tidak sanggup berpisah dengan diriku. Halangan itu membuatkan kami berfikir sendiri. Kami juga tidak berani untuk keluar secara terang-terangan kerana ditakuti terserempak dengan keluarganya apa lagi untuk bertandang ke rumahnya. Di tempat kerja, kami juga terpaksa menutupi hubungan kami kerana di sana juga ada saudaranya yang sama-sama bekerja yang mungkin menghebohkan hubungan kami.

Sukar bagi kami untuk menciptakan hubungan yang lebih terbuka seperti pasangan yang lain. Jadilah kami hubungan yang tertutup dan tertutup. Jika kami keluar kami cuma bercerita-cerita dalam kereta sambil memandu kereta ke sana ke mari tanpa sebarang tujuan. Kadang-kadang tidak terasa hingga
jauh malam aku memandu dan ada beberapa kali Jasly tertidur dalam kereta. Begitulah sahaja kehidupan cinta kami selama beberapa tahun. Kami tidak membeli-belah bersama, menonton wayang bersama, minum bersama, belayar bersama apa lagi untuk mengunjungi rumah keluarganya. Yang menyedihkan ketika tiba hari kebesaran kami. Kami tidak menyambutnya bersama-sama. Dia dengan hari kebesarannya dan aku dengan hari kebesaranku. Semuanya kami lakukan untuk tidak melukakan hati keluarga masing-masing sedangkan sebenarnya diri kami yang terluka dan amat terluka.

Betapa sayangnya aku kepada dirinya, lama kelamaan sayangku itu bertukar menjadi cemburu yang menebal. Aku cemburu bila dia keluar bersama saudara-mara, sepupu dan kawan-kawannya. Apa lagi apabila dia keluar negeri. Aku cemburu bukannya kerana aku tidak percaya pada dirinya. Aku cemburu kerana dia pergi bukan bersama dengan diriku. Sepatutnya bagi diriku dia bergembira dan bersuka-ria itu bersama dengan diriku bukannya bersama dengan orang lain. Sepatutnya dia bersama dengan aku orang yang disayanginya dan yang dicintainya. Maksudnya bersama dengan diriku. Apakah egoku berada pada titik wajar atau tidak aku pun kurang pasti. Yang aku pasti aku cepat tersentuh dan mudah merasa sedih.

Cemburu yang tidak menentu menyebabkan aku mula mengawal ketat gerak-gerinya. Aku tidak membenarkan dia keluar sesuka hati kecuali jika bersama dengan ibu bapa dan adik-beradiknya. Dia mesti memberitahu aku dan meminta kebenaran sebelum keluar. Setiap masa dan waktu perasaan cemburuku itu timbul dan begitu juga dengan rasa curiga. Perasaanku kepadanya bukan lagi seperti sebelumnya penuh kepercayaan dan pertimbangan. Aku dihantui oleh sikap yang sukar aku luahkan dengan kata-kata.

Namun dikala fikiranku jernih, aku menyedari tindakanku itu begitu kejam buat dirinya. Sudahlah dia tidak dapat keluar bersama denganku, malah dia juga tidak dapat keluar bersama dengan rakan dan saudara-maranya. Aku seakan-akan merantai batang tubuh manusia dan menyekat kebebasannya. Aku tahu dia tidak seperti perempuan yang lain yang hidup bahagia bersama pasangannya pergi ke sana ke mari tanpa halangan. Memang susah. Hendak jalan-jalan bersama dengan diriku mendapat halangan dan untuk keluar rumah menikmati kehidupan bersama teman juga mendapat halangan. Dia tersepit di antara dua kehidupan. Cuma dia seorang yang bersabar dan kuat menghadapi tekanan itu.

Menyedari hakikat itu, ada sekali dua aku suarakan untuk melepaskan dirinya. Tapi suaraku itu tidak didengarnya. Dia belum bersedia untuk menutup tirai hubungan kami katanya. Aku sebenarnya tidak sampai hati untuk menggantung dirinya. Jika dia bersama dengan bangsanya sudah pasti dia sudah mempunyai keluarga dan beranak-pinak dan bahagia melayari kehidupannya. Bersama dengan diriku seolah-olah tidak ada matlamat kehidupan yang hendak ditujunya. Masa tetap berlalu dan kami juga terus dimakan usia.

Beberapa bulan kebelakangan ini aku jatuh sakit. Aku ditimpa penyakit jantung yang tidak normal yang sering menyerang diriku, di samping pendarahan. Sekali sekala aku batuk darah. Penyakit itu benar-benar mengganggu hidupku. Aku sentiasa tidak bermaya dan lemah sahaja. Fizikal dan mentalku sangat terganggu. Aku mula asyik marah-marah dan cuba menjauhkan diri dari sesiapa termasuk Jasly. Aku terlalu sensitif. Cara berfikirku negatif sahaja. Dalam fikiranku penuh dengan perkataan mati sahaja. Tiada lain yang ku fikirkan selain dari mati yang hendak menjemputku. Sikap negatifku menjadi racun pada hubungan kami ditambah lagi dengan sikap cemburuku. Sedikit sahaja dia keluar bersama dengan rakan-rakan aku sudah berfikiran negatif. Aku mula melontarkan kata-kata yang tidak enak didengar oleh orang yang mencintaiku. Aku sebenarnya hanya mahukan perhatian dari Jasly. Tapi aku tidak mendapatkannya. Namun aku bodoh kerana tidak menyedari masalah keluarga tidak membolehkan Jasly memberikan perhatian yang lebih seperti yang ku harapkan. Pergerakannya adalah terjejas. Dia hanya mampu memberikan kata-kata semangat dan perhatian melalui telefon bimbitnya sahaja. Kalau dikatakan bodoh, memanglah aku bodoh.

Dalam mengharungi kesakitan itu timbul juga kesedaran dalam diriku tentang diriku dan diri Jasly. Aku menyedari hubungan kami sebenarnya tidak mendapat tempat yang baik dalam kehidupan. Aku bercontoh dari keadaan diriku yang sakit, walau setinggi mana cinta kasih sayang kami, tetapi bila ada halangan keluarga, kami sendiri tidak dapat memberikan yang terbaik untuk diri kami sebagai pasangan. Hubungan kami seolah-olah satu angan-angan sahaja dengan harapan yang kuat dan membara, tetapi tidak dapat berbuat sesuatu apabila pasangan sangat memerlukan. Aku pun berfikir demikian jika Jasly yang berada pada tempatku. Setentunya aku juga tidak dapat memberikan perhatian kepada dirinya sepertimana yang diharapkannya. Aku juga yakin yang aku akan mati. Jika benar aku akan mati, aku mesti lepaskan dirinya. Dia mesti mencari kehidupan untuk dirinya untuk masa depannya yang lebih bahagia. Aku merasa sangat takut. Jika aku mati tidak ada nanti orang untuk menjaga dirinya. Biarkan dia berjodoh dengan lelaki yang sebangsa dengan dirinya yang akan diterima oleh kedua ibu bapanya. Aku mesti korbankan kasih sayangku untuk kebahagiaan dirinya. Aku juga ingin melihat kehidupannya yang bahagia, berkeluarga dan beranak-pinak. Biarlah ada orang lain yang menjaga dirinya hingga ke hari tuanya. Dengan keadaan diriku yang sakit-sakit dan masalah yang kami lalui, hubungan kami tidak akan sampai ke mana-mana biar harapan kami tinggi melangit.

''Jasly aku minta maaf. Aku rasa hubungan kita sudah semakin jauh dan jauh dari apa yang kita meterai dulu. Aku pun sudah sakit-sakit dan tidak mempunyai masa yang banyak untuk menghiburkan dirimu Jasly. Aku berharap carilah kehidupanmu sendiri Jasly yang sesuai dengan dirimu dan juga keluargamu. Jasly pergilah selagi masih belum terlambat selagi kau masih muda dan masih cantik lagi. Pergilah Jasly, pergilah. Aku sangat takut Jasly, takut pada kematian. Bila aku mati nanti, tidak ada orang yang akan menemani dan menjaga dirimu Jasly. Aku doakan
Jasly akan lebih bahagia dan juga dapat membahagiakan keluarga. Maafkan aku kerana mengambil masa hidup bersamamu dan gagal membina istana bersama denganmu. Selamat tinggal Jasly, kenang aku dalam memori gembiramu dan kuburkan aku dalam hatimu.''

Begitulah kata-kata terakhir yang aku sampaikan kepadanya. Biar berat dan sakit rasanya namun aku terpaksa. Aku terpaksa melepaskan demi kebahagiaan dirinya dan melihat keadaan diriku yang sudah putus harapan untuk hidup.

Kini Jasly yang ku sayangi sudah pergi jauh yang tidak mungkin dapat aku pintal balik. Dan aku hingga sekarang pun masih lagi hidup. Hidup dalam penderitaan kerana kehilangan orang yang aku sayangi. Aku mensia-siakan cintanya hanya kerana aku terlalu kecewa dengan penyakitku, berfikiran negatif untuk mati. Aku tidak kuat menghadapi masalah keluarga yang mencantas hubungan kami. Ketika ini aku mengharapkan Jasly hadir semula dalam hidupku biar pun itu sangat mustahil. Maafkan aku Jasly.

Last modified on
Lebih dalam kategori ini: « Mawar jingga Berjoging »

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel