A+ A A-

MEMORI DI BULAN RAMADAN

Rate this item
(0 votes)

CERPEN MEMORI DI BULAN RAMADAN

Awal pagi lagi Auni mengambil cuti untuk menyambut bulan Ramadan di kampung bersama mama seperti tahun lepas. Bersambung dengan raya dalam tinggal seminggu saja. Cukuplah. Bulan Ramadan lebih penting kerana Auni mahu menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada Allah. Auni mahu membasuh dosanya pada bulan keinsafan itu. Kalau Nora mula bersekolah tentu Auni tidak boleh mengambil cuti panjang begini. Nora baru lima tahun. Kasihan dia, masih kecil sudah ditinggalkan papanya.

" Auni perlu mencari papa untuk Nora, Auni. Kau tentu tidak akan sepi begini. Sepanjang bulan Ramadan kau pulang ke kampung. Raya tinggal seminggu saja, kau mula bekerja sedangkan waktu itu kami masih seronok beraya bersama keluarga. Kau tak rindu saat-saat indah itu, Auni ? Maksudku ada sebuah keluarga yang lengkap. Aku tahu kau sunyi, " ujar Yati, teman sepejabatku dan juga temanku yang paling baik. Dialah satu-satu kawanku yang tidak bimbang bila mendengar aku dan Leman bercerai dan aku menjadi janda. Mitosnya bagi seorang perempuan, janda akan merampas suami mereka. Auni jadi lucu dengan ketakutan mereka kepada janda seperti Auni. Takut mereka seperti syaitan. Mereka seperti tidak percaya kepada kekukuhan cinta yang dipadukan oleh mereka sendiri sekian lama atau mungkin cinta di hati mereka selama ini sebenarnya tidak kukuh. Jadi, tepuk dada tanya selera.
" Auni tidak fikir langsung tentang itu, Yati. Auni bahagia dengan Auni sekarang, " jawabku sambil jemariku menekan huruf di keyboard komputer. Banyak kerja yang perlu kubereskan sebelum bercuti lama.

" Tapi kau sunyi. " " Kau mana tahu Auni sunyi ? " " Mata kau, pergerakan kau dan semuanya, Auni. " " Auni ada Nora. Dia segala- nya. " " Anak itu juga sunyi seperti mamanya. Kau seperti menyuntik kesunyian di dalam dirinya. Dia seakan kalih dengan titi perjalanan itu yang serupa itu. Berikan kegembiraan untuk Nora walaupun bukan untukmu, " Yati mula berfalsafah. Di bangku sekolah dulu dialah yang selalu juara dalam menulis sajak dan mendeklmasi puisi. Akhirnya dia bertemu jodoh dengan penyair sepertinya juga. Kata orang, jiwa orang seni halus. Mereka tahu menghargai inci kasih sayang. Rasa sayang dan rasa marah semuanya mengalir dalam kata-kata dan akhir diserap ke hati. Sedang Leman, seorang guru sekolah yang keras jiwanya. Tidak pernah mengerti dan hanya mementingkan perasaan sendiri saja. Akhirnya, segala kubina berkecai. Mungkin yang membina hanya Auni sedang Leman mahu merobohkan.
" Ramai lagi lelaki yang baik di luar sana, Auni, " bisik Yati sambil tersenyum. Auni turut tersenyum dengan pernyataan itu. Hati orang bukan seperti hati ayam. " Atau Auni masih sayang pada Leman ? " Kalau Auni masih sayang bermakna Auni gila bayang. Gila talak sedang Leman tengah berbahagia dengan isteri barunya. Auni telah melupakan Leman dan kehidupan di masa lalu tetapi kenangannya masih tinggal. " Auni tidak mahu ingat dia lagi. " " Tapi dia tetap Abah Nora. "
" Abah yang bertanggungjawab akan sentiasa mengambil tahu tentang anaknya, Auni, " Auni mula beremosi. Sudah lebih dua tahun Leman mengabadikan nafkah terhadap Nora. Sejak Leman beristeri baru dia tidak datang menjenguk Nora lagi. Mula-mula Leman menjatuhkan talak dulu, Leman selalu mengugut untuk merampas Nora daripada jagaanku, menggunakan kuasa yang ada padanya. Walaupun dia tidak datang Auni lega. " Marahmu berapi, Auni. Itu tanda Auni masih sayang pada Leman. " " Auni pandai-pandai saja, " Auni tambah berang dengan Nora kerana mengacah Auni begitu. Auni tidak menyayangi sesiapa lagi kecuali sayang Auni sendiri, pada Nora dan pada mama yang melahirkan Auni.

" Maafkan Auni, Yati. Auni hanya mahu bergurau. Kalau kau bercuti panjang nanti, tentu Auni tidak dapat bergurau dengan kau lagi, " dia datang kepadaku dan memeluk belakangku manja. " Kalau Auni tiada, puaslah kau mengumpat tenang aku. " " Auni tidak terlibat. Lagipun Auni tidak mahu pahala puasaku menjadi kurus. "
Lewat senja Auni sampai di rumah mama. Walaupun hari sudah gelap lampu di ruang tamu masih tidak berpasang. Auni merasa kesuraman dan kesunyian yang maha perit. Mama menyambut kedatangan kami seadanya. Itulah mama sejak papa pergi tiga yang lampau. Sebenarnya mama turut pergi bersama papa. Yang tinggal cuma jasadnya. Kemeriahan untuk menyambut bulan Ramadan telah hilang. Waktu papa masih ada tentu waktu-waktu begini papa sibuk mencari ikan untuk dimakan waktu bersahur nanti. Kata papa bersahur yang pertama mesti istimewa. Selepas selesai tarawih, papa akan terus tidur kerana takut tidak terjaga waktu dinihari untuk bersahur. Papa yang selalu mengejutkan kami waktu bersahur. Kami wajib bersahur kerana kata papa, jangan diabaikan pahala bersahur kerana yang mendapat ganjaran pahala itu bukan sahaja orang yang bangun bersahur tetapi juga kepada orang yang menyediakan juadah- nya. Bila kembali ke rumah peninggalan papa ini, terasa terbayang-bayang di telingaku suara papa terutama bila bulan Ramadan tiba. Sesungguh bulan Ramadan mendekatkan kami. Kerana itu Auni berusaha mengambil cuti untuk berpuasa bersama mama. Auni mahu menyambung kasih sayang kami.
" Yati, kau tak mahu kahwin lagi ? " Tanya mama ketika kami balik dari surau. Tangan kasar mama membelai rambut panjang Nora yang tertidur di atas ribaku. Mungkin keletihan waktu di surau tadi. Walau-pun tidak mampu bersembahyang dengan sempurna tetapi dia cuba mengikut gerak kami. Kadang-kadang dia terduduk untuk menghilang-kan rasa letih.
" Mama mahu cucu lagi ? " Soalku sambil menyentuh tangan mama. Dulu kami sangat akrab. Mungkin hanya Auni anak perempuan mama. Sebab itu, Auni tidak berdaya untuk menolak permintaan mama supaya menerima Leman sebagai suami walaupun cintaku terhadap lelaki itu tidak pernah dekat.
" Cucu mama sudah enam orang, Nora, anak abang Ngah ada dua orang dan anak Amin dah nak masuk tiga. Hari lebaran nanti pulang mereka. Tambah ramailah rumah ini, " Auni tersenyum sendiri mem- bayang kebahagiaan itu. Walaupun mata mama tersenyum namun Auni melihat lebih banyak cahaya kesunyian dari mata itu.
" Mama yang menyebabkan Auni begini. Kalau mama tidak menentu- kan jodoh Auni dengan Leman tentu tidak begini jadinya hidup Auni. " " Jodoh kita di tangan Tuhan. Mama......" Pujukku pada penyesalan mama yang sering kali dimusnahkan padaku.
" Dulu papamu juga menghalang Auni berkahwin dengan Leman tetapi mama berkeras mahu Auni kahwin dengan lelaki itu semata-mata kerana Leman berharta, " kulihat air mata menitis dari kedutan di pipinya. Auni menyapu air mata itu dengan jemarinya.

" Mama berdosa pada papamu. Mama sering kali membantah kata papamu. Mama keras kepala, Auni. Kalau mama menurut kata papamu tentu hidup Auni tidak akan jadi begini, " ujar mama. " Papa sudah mengampuni mama, " Auni memeluk mama begitu erat. " Mama tak pernah berasa tenang, Auni..... " " Auni tidak pernah salahkan mama..." Sudah berkali-kali Auni baling begitu di cuping telinganya tetapi mama tidak berhenti merasa bersalah.
" Mama, esok kita akan berpuasa, Auni balik nak berpuasa dengan mama. Auni nak sambut raya bersama mama. Auni mahu masak sedap-sedap untuk kami seperti dulu. Seperti waktu papa masih ada dulu. " Air mata kami membanjiri malam yang tenang itu. Malam itu kami bertiga tertidur di ruang tamu dengan pakaian sembahyang yang masih di badan.
" Auni, malam tadi mama bermimpi papa kau datang dekat dengan mama. Sudah lama mama tidak bermimpi begitu. Mama rindukan papa kau, Auni. " " Auni juga rindukan papa, mama! Siang nanti kita ke kubur papa ya, mama....." Mama mengangguk. Kuharap sunyi mama akan jadi hampa dengan kepulanganku. Selalu juga Auni minta mama tingggal bersama kami tetapi mama beralasan mahu menjenguk kubur papa dan menjaga peninggalan papa seperti dan tanah yang ada sebidang dua kerana itu amanah papa sebelum meninggal. Wasiat papa, rumah yang tinggal sekarang adalah untuk kami. Tanah yang ada juga jangan dijual kerana itulah harta hasil dari titik peluh papa untuk dibanggakan oleh anak cucu nanti. " Kau anak yang baik, Auni tapi sayang kau tak sebahagia orang lain. " " Auni bahagia, mama. " " Tapi hatimu hancur, " " Hati Auni sudah sembuh, " " Kau seperti mama juga tapi beza kita, kasih sayang yang mama ada kekal hingga mati tapi kasih sayang kau tercalar, " " Percayalah, mama Auni bahagia hidup begini tetapi kadang-kadang bila Auni menilik wajah Nora datang rasa benci padanya sebab wajah Nora menyerupai abahnya. Auni cuba membuang rasa itu, ma.... " ujarku jujur. " Itu tandanya kau masih dendam. " " Tidak mama. Auni tidak dendam. Pun tidak pernah menyalahkan mama.... " " Mama masih ingat masa Auni merayu pada mama yang Auni mahu belajar dulu sebelum mendirikan rumah tangga. Papamu pun setuju dengan Auni tetapi mama seorang saja yang degil. Mama takut kesenangan yang Leman ada terlepas ke tangan orang lain. Mama paksa Auni supaya menerima Leman. "
" Jangan ungkit lagi perkara yang sudah lepas, Mama pulang bukan untuk Mama mengenang kenangan silam itu. Tolong mama! " Rayuku sungguh-sungguh. Sesungguh Auni telah melupakan semuanya tetapi setiap kali berdepan dengan mama, mama tidak lepas mengulangi cerita-cerita itu. Mama tidak bersalah. Kalau mama bersalah, Auni yang berdarjat seorang anak telah lama memaafkan mama. Berkali-kali sudah Auni menyebut kata itu dan memohon mama jangan menyebut lagi. Kalau mama mahu menyebut Auni mengugut tidak akan pulang lagi. Tapi Auni tetap pulang. Ke mana Auni mahu pulang kalau tidak ke rumah mama.
Hari ini puasa sudah seminggu. Terlalu cepat waktu berlalu. Auni mahu waktunya menjadi panjang biar panjang lagi waktu untuk Auni bersama mama.
Walaupun tidak banyak dapat kuhiburkan hatinya tetapi Auni tahu dengan adanya Auni di sisi, Auni dapat mengalih rasa sunyinya. Menolongnya menyediakan hidangan untuk berbuka dan bersahur, bertarwih bersama dan menemaninya berbual tentang papa dan masa lalu. Hati mama terisi dan sering juga kulihat mama tersenyum menampak giginya yang masih kukuh walaupun dimamah usia. Kerenah Nora juga mampu menggeletek hati tuanya. Hari ini mama masak bubur kacang hijau. Auni tahu itu ialah makanan kesukaan papa ketika bulan Ramadan. Sudah agak lama mama tidak memasak jaudah itu. Mungkin mama takut akan teringat pada papa.
" Mama mahu melupakan papamu, Auni tapi mama tidak mampu, " ujar mama sambil menyuap bubur itu ke dalam mulutnya. Kulihat kelopak jernih di matanya. " Sepatutnya mama pergi sebelum papa. Dulu papa selalu berdoa begitu supaya mama tidak hidup dalam kesunyian selepas dia tiada. Tapi Tuhan lebih sayangkan dia. Papamu terlalu sayangkan mama tetapi mama selalu menderhaka kepadanya. " Mangkuk yang masih berbaki bubur kacang dit olak ke tepi. Mama seakan tidak sanggup untuk menghabiskannya. Mama mengangkat punggungnya dan beredar dari meja makan. Nora yang tidak mengerti apa-apa mengekori neneknya. Mama mendukung Nora tetapi anak itu berkeras mahu berjalan sendiri. Akhirnya mama meletakkan Nora di bawah seraya memimpin tangan kecil Nora.
Waktu Auni mengejutkan mama untuk bangun bersahur pada bulan Ramadan yang ke sembilan belas hari, Mama tidak bergerak. Subuh itu mama menghembuskan nafas terakhir tanpa ditemani sesiapa. Air mata tidak mampu ku keluarkan lagi. Kalau ini sudah ketentuan Tuhan, Auni redha pemergiannya untuk selama-lamanya.

Lebih dalam kategori ini: « Berjoging Mata »

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel