A+ A A-

RAUYAH mengosok-gosok matanya sambil mengamatamati bunyi itu kalau-kalau ianya akan berulang lagi, tapi ternyata dalam keadaan yang sunyi sepi begitu seolah-olah tidak ada bunyi apa-apa seperti yang didengarnya sebentar tadi.

Satu dentuman yang kuat memecah kesunyian lebih sedikit dua suku malam itu, cukup menembusi gegendang telinganya yang baru saja terlelap sekejap selepas memasak yang nantinya cuma dipanaskan untuk hidangan bersahur. Rauyah pasti bunyi itu datangnya dari dapur.

Rauyah melihat jam dinding bilik tidurnya itu baru menunjukkan lebih dua puluh empat minit pukul dua belas tengah malam. Rauyah menyangka ada orang di dapur, tapi Rauyah terfikirjuga di saat-saat seperti ini apa lagi di bulan puasa, anak-anaknya tidak berani hendak ke dapur. Kalau begitu apa pula yang berbunyi itu?

Dalam kepala Rauyah terpeta pelbagai perkara-perkara yang negatif. Kerana itu Rauyah bingkas dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku atau terjadi. Apa lagi sekarang ini bencana alam dan sebagainya bila-bila sahaja boleh berlaku dengan sekelip mata.

Banjir kilat... tanah susur... pokok tumbang umpamanya, begitu juga lain-lain kejadian seperti kecurian mahupun kejahatan-kejahatan malam yang sama sekali tidak diduga. Rauyah tidak mahu mengejutkan suaminya yang baru saja tidur itu, biar dia saja yang menghadapinya secara solo.

Rauyah perlahan berjalan ke dapur, ruang dapur itu gelap yang cuma diterangi oleh lampu peti sejuk. Dengan sedikit rasa takut Rauyah cuba memberanikan diri membuka jendela untuk melihat keadaan di luar, macam biasa tidak ada apa-apa benda yang ganjil berlaku.

Udara sejuk dan dingin... langit cerah, suasana keliling tenang... damai, ditambah lagi dengan keindahan sinaran bulan yang berusia empat belas hari itu. Cuma kedengaran nyanyian sayu birik-birik sesekali bunf sang katak bersahut-sahutan yang mungkin meminta agar hujan segera turun.

Tiba-tiba Rauyah merasakan bulu romanya meremang. Rauyah dengan perasaan geram membuka pintu apabila terlintas satu lembaga yang mencurigakan. Pintu dibuka dengan kuat, nyata seorang wanita berpakaian putih lengkap dengan talkungnya seperti orang yang lepas sembahyang. Wanita itu kurang lebih seumur dengan Rauyah, kira-kira empat puluh lima tahun, kalau disukat-sukat wanita itu lebih pendek dua kaki daripada Rauyah dan berbadan gemuk. Wajahnya nampak cerah dan riang sepertinya tidak mempunyai apa-apa masalah.

Rauyah tidak menyangka apa-apa yang buruk terhadap wanita itu, cuma merasa sedikit curiga, ragu-ragu dan tertanya-tanya mengapa di waktu yang sudah lebih setengah malam itu dia masih merayau-rayau ke rumah orang lain, mungkinkah dia memerlukan pertolongan?

Tapi wanita itu tidak pula menampakkan apa-apa perlakuan yang anih seperti meminta pertolongan atau apa-apa kemungkinan ketika itu. Umpamanya enjin keretanya mati di tengah jalan kerana rosak atau setidak-tidaknya pun kehabisan minyak, atau mungkin saja baterinya kekeringan air.

Rauyah bersiap sedia kalau-kalau akan berlaku perkara yang tidak diduga kepadanya. Tangannya tidak kosong, batang penyapu besi yang sempat disambamya sudah tergenggam erat ditangannya cuma menunggu waktu batang penyapu besi itu akan dimanfaatkan.

Sebaliknya pula wanita itu nampaknya tidak gentar pada apa yang dipegang oleh Rauyah itu, dia nampak releks dan bersahaja seolah-olah Rauyah tidak membawa apa-apa pun yang boleh mencederakan dirinya.

“Kau siapa?” Rauyah memecah kesunyian malam itu, tapi tidak ada respon dari wanita itu malah dia terus berdiam diri.

Wanita itu liar memandang kiri dan kanan terus ke dalam rumah dengan pandangan yang menyeramkan dan menakutkan. Perlakuan wanita yang tidak diundang di tengah malam itu tambah meremangkan bulu tengkuk Rauyah setegak tegaknya.

“Kau siapa ah?” Kuat suara Rauyah, jejarinya resah gelisah umpama jari-jari ketam yang terbalik tidak sabar untuk menghayunkan batang penyapu besi itu ke sasarannya dengan tepat.

“Aku iblis betina!” Jawab wanita itu sambil memandang wajah Rauyah dengan pandangan yang tajam.

“Kau jangan main-mainkan aku nanti buruk akibatnya.” Rauyah yakin wanita itu senghaja berbuat demikian untuk memancing kemarahannya.

“Aku tidak berdusta apa lagi main-main, aku ini iblis betina tidak akan pernah main-main...!” Tekanan suara wanita itu amat meyakinkan.

“Kau fikir aku tidak boleh membezakan antara manusia dengan iblis?”

Rauyah cuba mengawal perasaannya khuatir batang penyapu besi dalam genggamannya itu akan landing aras bumbunan wanita itu. Silap-silap nanti dia pura yang dikatakan membunuh walaupun dikategorikan membunuh tanpa niat.

“Aku ini memang iblis betina ...musuh kau dan juga musuh semua manusia seperti kau...!”

“Kalau kau iblis mengapa kau menyerupai manusia seperti ini?”

“Aku sebenarnya ingin menjadi manusia, kerana aku sudah letih dan jemu menjadi iblis sampai ke hari kiamat nanti. selama ini aku dan teman-temanku tidak ada kerja lain cuma menganggu manusia dengan palbagai cara, padahal manusia itu tidak berbuat jahat kepada sesiapa apalagi kepada kami...” Iblis betina yang ingin menjadi manusia itu meleret-jeret meluahkan perasaannva.

“Sebelum tejadi apa-apa kepada dirimu, lebih baik kau balik sekarang.

Barangkali kau sakit dan esok pagi-pagi kau pergi ke kelinik periksa otak. . . !” Rauyah melepaskan geramnya.

“Aku berkata benar walaupun kami sering berbohong, aku ini iblis betina yang ingin menjadi manusia.” Iblis betina yang ingin menjadi manusia itu mengulangi perkataannya agar Rauyah percaya pada apa yang diperkatakannya itu.

“Kejahatan-kejahatan yang telah kami lakukan kepada manusia selama ini, semua itu adalah suruhan nenek moyang kami turun temurun, yang menganggap manusia itu adalah musuh yang wajib diperdaya dan diheret ke lembah maksiat hingga ke hari kiamat. Fokas perjuangan kami dari puak iblis mahupun syaitan, biar semua manusia itu akan tetap tinggal bersama kami di dalam neraka.” pengakuan iblis betina yang ingin menjadi manusia itu.

“Kau jangan memandai-mandai hendak menjadi manusia, sedangkan manusia itu sendiri kadang-kadang banyak yang sudah menjadi iblis seperti kau ini, kau jangan cuba-cuba hendak menyesatkan aku. Nyah kau dari sini...!” Rauyah mengangkat batang penyapu besi yang sudah panas dalam genggamannya itu untuk mengusir iblis betina yang ingin menjadi manusia itu.

“Sabar dulu... itulah manusia seperti kau ini cepat marah tanpa menyedari dalam kemarahan itu aku dan rakan-rakan seperjuanganku dengan mudah saja masuk ke dalam jiwa dan raga kamu untuk mempengeruhi perasaan kamu itu, cuba bawa mengucap.. . !”Macam dialog manusia sejati yang keluar dari mulut iblis betina yang ingin menjadi manusia itu.

“Kau jangan hendak mengajar aku, sejak Nabi Adam diciptakan dari dahulu lagi hingga ke saat ini pun kamu tidak sudah-sudahnya menganggu dan memusuhi manusia, apa yang kamu dapat?” Maruah sebagai seorang manusianya terasa dicabar oleh iblis betina yang ingin menjadi manusia itu.

“Semua itu adalah perlakuan angkuh dan sombong nenek moyang kami ketika berada di dalam syurga dahulu yang tidak mahu sujud kepada Adam, aku bersama kawan-kawanku sudah muak dengan perangai dan teratah mereka itu, ramai kawan-kawanku dari puak iblis mahupun syaitan akan menjadi manusia, jika aku berjaya menyakinkan mereka bahawa jadi manusia itu baik dan selesa.” Iblis betina yang ingin menjadi manusia itu nampaknya bersungguh-sungguh.

Rauyah arif dengan taktik kotor dan jijik mahluk yang bergelar iblis mahu pun syaitan laknat Allah itu dengan memanfaatkan palbagai ruang untuk melicinkan misi jahat mereka itu. Iblis dan syaitan itu adalah musuh manusia yang terang lagi nyata, kerana itu Rauyah berhati-hati dan berjaga-jaga agar tidak mudah termakan dengan pujuk rayu iblis betina yang ingin menjadi manusia itu.

Rauyah membaca ayat-ayat suci, kerana makhluk yang tercegat dihadapanya sekarang bukan sebarangan, ia adalah syaitan walaupun berwajah manusia. Rauyah harus memperkuatkan iman dan keyakinannnya agar tidak ditembusi oleh cucukan jarum musuh manusia hingga ke hari kiamat itu.

Tapi iblis betina yang ingin menjadi manusia itu tidak mengindahkannya, apa lagi untuk menunjukkan rasa takutnya, Rauyah teringat kata-kata ustazah bahawa dalam bulan Ramadhan semua iblis dan syaitan dibelanggu.

“Tahukah kau sekarang ini bulan puasa, bagaimana pula kau boleh terlepas dari pasangan itu?” Macam bercakap dengan manusia yang bulat-bulat seratus peratus.

“Aku kira kau lebih faham akan politik iblis mahupun syaitan seperti aku ini, kami akan menggunakan apapun cara untuk menjebak manusia seperti kau.” Iblis betina yang ingin menjadi manusia itu mulai angkuh dan sombong, hampir tidak ada bezanya dengan nenek moyang mereka, malah lebih agresif.

“Itu bagi orang-orang yang dapat kamu perdayakan, tapi jika orangorang yang beriman kepada Allah, nescaya kamu tidak akan berhasil,” Rauyah bertahan.

“Aku tahu semua itu... tapi aku ini adalah iblis dan syaitan yang berada di dalam diri manusia itu sendiri termasuk kau...!” Ibtis betina yang ingin menjadi manusia itu melepaskan marahnya disebabkan manusia di hadapannya itu sukar untuk diperdaya.

Rauyah merasakan dirinya telah dipermain-mainkan oleh iblis betina yang ingin nrenjadi manusia itu, dengan perasaan marah yang tidak terkawal lagi, dia menghayun batang penyapu besi yang dipegangnya itu tepat ke bumbunan iblis betina yang ingin menjadi manusia itu.

Sebaliknya dengan tangkas seperti seorang pendekar yang berada di tengah gelanggang iblis betina yang ingin menjadi manusia itu mengelak, batang penyapu besi dalam genggaman Rauyah terlepas, nyaris mengenai dirinya sendiri.

Rauyah terkejut... gelas di tangannya terpelanting, mujurlah gelas pelastik kalau kaca pasti gelas itu sudah pecah berkecai. Dia terlelap sebenrar di atas kerusi dekat katilnya lalu bermimpi dan berdialog dengan iblis betina yang ingin menjadi manusia itu. Rauyah bangkit dari kerusi lalu meletakkan badannya atas katil dekat suaminya.

Rauyah diganggu lagi oleh bunyi yang sama ketika matanya baru berlabuh ditirai fantasi sebelum ini.

Perlahan Rauyah berjalan ke dapur bagi memestikan apakah kejadian itu benar-benar berlaku atau cuma gerakan dalam sebuah mimpi seperti sebelumnya. Dari jauh lagi Rauyah sudah nampak satu lembaga sama seperti dalam mimpinya. Rauyah dengan perasaan marah membuka pintu dengan kuat, nyata wanita yang sama dengan pakaiannya yang juga serupa sambil tersenyum seolah-olah mempermainkan dirinya.

“Kenapa kau belum pergi hah...?” Geram dan marah Rauyah sudah memuncak.

“Aku ingin menjadi manusia.” jelas iblis betina yang ingin menjadi manusia itu.

“Kau iblis...kau syaitan...!" jerit Rauyah sekuat-kuat hatinya.

“Percayalah padaku...aku tidak tipu kau...!” Rayu iblis betina yang ingin menjadi manusia itu.

Itulah iblis mahupun syaitan yang sebenamya, mereka tidak akan pernahputus asa sehingga mereka berhasil memperdayakan semua manusia hingga ke hari kiamat. Begitulah juga sumpah mereka ketika dihalau dari syurga lantaran kedegilan mereka sendiri yang tidak mahu menururi perintah Allah.

“Kau isi neraka... iblis, syaitan laknat Allah. . . !”marah Rauyah sudah melimpasi sempadan.

“Aku ingin lari dari sumpah nenek moyangku itu...!” jelas iblis betina yang ingin menjadi manusia itu bersungguh-sungguh.

Rauyah tidak mahu iblis betina yang ingin menjadi manusia itu terusterusan mengoda dirinya, Rauyah sedar iblis betina yang ingin menjadi manusia itu adalah iblis yang hendak menyesatkan dirinya sendiri.

Rauyah memejamkan matanya sambil membaca ayat kursi, jiwa dan raganya benar-benar hadir di depan Allah memohon perlindungan-Nya dari palbagai godaan iblis betina yang ingin menjadi manusia itu.

Tidak lama kemudian azan Subuh kedengaran, Rauyah nampak iblis betina yang ingin menjadi manusia itu lari lintang pukang sambil meludah-ludah dan kentut yang memanjang meninggalkan Rauyah.

Rauyah terkejut lagi apabila dirasakannya ada orang yang menggerak-gerakkan badannya.

Alunan azan dari telefon bimbitnya memenuhi ruang legar telinganya dan bejaya menghentikan dialognya bersama iblis betina yang ingin menjadi manusia itu walau cuma dalam sebuah mimpi.

Rauyah melihat jam dinding sudah pukul tiga empat puluh dua pagi.

Perlahan-lahan Rauyah bangkit dari katilnya dan beredar ke dapur untuk menyediakan hidangan sahur seperti biasa. Mimpinya melihat iblis betina yang ingin menjadi manusia itu, langsung tidak mempengaruhi perasaannya dan dia menganggap itu adalah pakaian tidur yang bila-bila masa saja boleh berlaku.

Beberapa saat kemudian Rauyah menjerit seperti orang ketakutan.

Suaminya yang masih baring atas katil itu terkejut lalu meluru ke dapur mendapatkan Rauyah yang tersandar di dinding dapur sambil menghalakan telunjuknya ke luarjendela. Suaminya memandang keluar, tapi tidak ternampak apa-apa cuma bulu tengkuknya berdiri tegak.

Published in Cerpen
Oleh:
Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel