A+ A A-

Aroma Bunga Lavender

cetusan minda

Bilangan 130

BAGIKU, MEMBACA buku yang bermanfaat, iramanya ala aroma bunga lavender.

Ayat di atas adalah ayat terakhir yang penulis gunakan dalam episod atau bab ''Aroma Bunga Lavener'' novel hasil karya penulis yang bertajuk ''Syahdu Berpacu Dengan Waktu''. Novel ini mempunyai 163 muka surat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Negara Brunei Darusalam pada tahun 2006.

''Novel ini mempunyai nilai mesej untuk melatih setiap individu dan masyarakat berfikir secara objektif dan positif yang dijadikan sebagai senjata untuk menangani apa jua masalah dan ketegangan yang diakibatkan oleh perselisihan pendapat yang sering kali menyempitkan pandangan dan jangkauan akal. Bertitik tolak daripada fenomena ini, ia juga boleh melahirkan bibit-bibit semangat yang menjurus ke arah berfikiran positif yang dapat mengelak daripada cepat melatah....'' Demikian antara lain nukilan ''Prakata'' daripada Dr. Mataim bin Bakar, Pengarah DBP dalam mengalu-alukan peneribtan novel penulis ini. Al-Fatihah untuk ayamulah.

Nah, bab dari muka surat 28 hingga 41 yang bertajuk ''Aroma Bunga Lavender'' daripada novel penulis ini dijadikan perisian dalam Cetusan Minda kali. Sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain. Maknanya apabila membuat sesuatu pekerjaan dengan beransur-ansur akhirnya akan beroleh kejayaan atau sempurna juga. Tolong, maritah kitani sama-sama membacanya sebahagian episod novel tersebut.....!

Ashari Abdul Walid, anak bongsu kepada bekas pegawai polis, mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan, kemudian melanjutkan pelajaran ke sekolah berasrama penuh di Kuala Lumpur. Bapanya ketika itu bertugas di Pahang sebagai Pesuruhjaya Polis.

Dia berjaya cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia yang sekali gus layak mengikuti kursus persediaan dalam bidang Kejuruteraan Kimia bagi Program America Top Universiti di Amerika Syarikat tajaan Majlis Amanah Marhaeen. Ketika itu dia baru berumur 18 tahun.

''Tapi selepas enam bulan mengikuti program itu aku bertukar arah, Ali. Aku nekad membuat keputusan untuk mengambil jurusan undang-undang,'' jelas Ashrafi Abdul Walid kepadaku.

''Mungkin itu pengaruh dari ayahmu?,'' tanyaku.

''Sebenarnya setiap tindakan dan kejayaan kita, Ali, adalah berpunca dan bermula.

Dari keyakinan. Ia merupakan umbi dan akar yang mendorong seseorang itu bertindak hingga beroleh kejayaan. Nah ketika aku yakin akan berjaya dalam jurusan undang-undang, hati kecilku ketika itu sungguh yakin aku boleh berjaya dalam jurusan undang-undang. Bukan pakar kimia, '' jelasnya sambil meneguk kopi.

Aku angguk-angguk saja.

Kemudian dia menyambung, ''Aku yakin kepada diriku sendiri. Apatah lagi aku rajin membaca. Keyakinanku untuk menjadi Pengamal Undang-Undang ibarat kuasa elektrik yang muncul dari otak lalu mengalir ke segenap urat saraf dan saliran darah seluruhnya berpadu bekerjasama untuk merealisasikan kehendak yang hendak aku capai.''

''Dan Ashrafi berjaya. Kau pernah menjadi pemidato terbaik dalam Pertandingan Mahkamah Mut Undang-Undang Antarabangsa Nicolson J. Philip yang diadakan di Ceremonial Court, Washington.''

''Terima kasih. Benar. Bagaimana Ali tahu?,'' tanyaku pula.

''Dunia ini kecil, Ashrafi. Sudah terlalu kecil malah,'' sahutku.

''Melalui pembacaan aku dapat mengetahui segela bentuk fakta yang logik dan tepat,'' kata Ashrafi Abdul Walid yang pernah jadi Pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa. ''Memang tidak pernah terfikir untuk memilih Jurusan Undang-Undang dan tidak pula pernah berangan-angan untuk menjadi Peguam. Minat dalam bidang itu baru timbul ketika berumur 17 tahun dan keputusan mengambil Jurusan Undang-Undang adalah keputusanku sendiri. Tidak dipengaruhi oleh siapa-siapa, tidak juga ibu bapa.''

Aku sungguh mengerti.

''Bidang Undang-Undang lebih menjurus kepada pemikiran logik dan mengajak untuk berfikir lebih kritikal. Itu yang paling aku suka. Aku tau bahawa masa kanak-kanak aku sering nampak kapal terbang. Lantas timbul cita-cita untuk jadi Pilot bukan jadi Peguam. Tapi bila berada di sekolah menengah, cita-cita pun berubah.''

''Mahu jadi apa?''

''Akauntan.''

Kami ketawa. Aku berkata, ''Lalu.....''

Dia menjawab, ''Akhirnya ambil Barrister di University Iowa, Amerika Syarikat. Bekerja tiga tahun sebagai Penasihat Undang-Undang di sebuah bank. Lepas itu pindah ke Universiti Islam Antarabangsa sebagai Pensyarah.''

''Sewaktu di Iowa, kau juga berniaga untuk tampung sara hidup yang tinggi.''

''Ya, berniaga secara kecil-kecilan sewaktu belajar di University Iowa. Peniagaanku ketika itu, hah sudah lama, nanti aku congak-congak. Ya, lebih 15 tahun yang lalu aku jadi peniaga kecil bersama beberapa rakan yang lain. Hasil perniagaan itu membolehkan aku membeli sebuah kereta model Cadillac. Memandu di lebuh raya Amerika Syarikat. Dan dengan itu juga aku bersama beberarapa rakan berpeluang melancong ke serata negeri di Amerika Syarikat, Kanada, dan Mexico. Waktu cuti aku tidak pulang ke tanah air, tapi melancong dengan pandu kereta sendiri. Jimat belanja.''

''Wah, titian hidupmu penuh warna-warni, Ashrafi!,'' sahutku.

''Ketika itu aku masih bujang.''

Ashrafi Abdul Walid yang sudah ku kenal sejak tujuh tahun yang lalu. Perkenalan itu bermula secara kebetulan kami duduk bersebelahan dalam kapal terbang. Perjalanan dari London ke New York. Waktu itu aku ada tugas. Membuat liputan Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu di New York.

Sebetulnya Ali Osman seorang wartawan.

Ashrafi Abdul Walid dan isterinya pernah ke Brunei. Semasa melawat Brunei buat pertama kali, mereka kami ajak tinggal di rumah kediaman kami. Lalu isteri Ashafi dan isteriku, menjadi kawan akrab. Sewaktu di Brunei kami bawa mereka melawat ke merata-rata tempat menarik di Brunei seperti Kampung Ayer, Tasek Merimbun. Malah berpeluang membawa mereka pula pergi melancong ke Miri. Lalu kamu sudah semacam menjadi satu keluarga.

Nah, tentang aku pula yang bernama Ali Osman.

Di bawah Skim Latihan Lanjutan Pelajaran dalam Perkhidmatan Awam itu Ali Osman berjaya memperolehi Ijazah dalam bidang Sains Pengurusan di University of Kent, United Kingdom. Tiga tahun selepas itu aku mohon biasiswa lagi untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana jurusan Kajian Asia Tenggara daripada Stirling University, Scotland. Aku berjaya. Kemudian menceburkan diri dalam bidang kewartawanan.

Untuk kejayaan ini, isterinya yang bernama Siti Rashidah, banyak berkorban dan membantu. Dia bekas seorang Jururawat. Dia yang harus menjaga tiga orang anak kami ketika aku melanjutkan pengajian di Scotland. Siti Rashidah, anak tunggal Cikgu Mamat Yahya, sentiasa memberi perangsang dan kata-kata nasihat serta teguran membina untuk aku tingkatkan ilmu pengetahuan.

Tidak ternilai pengorbanan yang diberikannya. Dengan iringan doa dan peluk mesra kerinduan selalu, aku lutanan dan gigih tabah mengejar cita-cita. Dengan nada lembut berlapik harapan, Siti Rashidah berkata, ''Abang, kejarlah apa yang mendatangkan manfaat untuk kita semua, dan mintalah bantuan kepada Allah. Jangan mudah menyerah. Jangan mengaku kalah.''

Semangatku kental untuk terus belajar. Isteriku memberi sokongan penuh.

Alhamdulillah, aku menang.

Alhamdulillah, aku berjaya.

''Alhamdulillah sayang. Abang akan sentiasa tambah sayang.''

Banyak pengalaman baru aku perolehi terutama dari segi tanggapan orang Barat terhadap orang Timur. Banyak pengamatan aku temukan baik secara langsung mahupun pengamatan hasil perbualan dan pergaulan. Ya, banyak sekali.

Antaranya, setelah aku dapat Ijazah Sarjana, hasil pengamatanku menunjukkan bahawa di negara maju, seperti United Kingdom dan di Barat, masalah yang dihadapi ialah cultural illiteracy, yakni kemerosotan tahap celik budaya atau tahap celik ilmu pengetahuan global di kalangan para siswa mereka malah para warga mereka.

''Celik budaya dan celik ilmu adalah berbeza,'' kataku sendirian.

Benar, usaha menuntut ilmu harus berdasarkan disiplin atau kaedah tertentu, kalau tidak penuntut ilmu boleh jadi akan teraniaya atau terkeliru, yakni tidak mengetahui apakah ilmu yang dituntut itu benar atau salah berasaskan bukti yang dapat dipertahankan atau dipertanggungjawabkan secara akliah atau rasional walaupun tidak semestinya apa-apa yang kita ketahui benar secara pasti!

''Tetapi disiplin ilmu tidak bermakna bahawa ilmu itu elitis sifatnya.''

Seorang profesor yang mengajar kami di Stirling University, Scotland, lulusan London School of Economic pernah berhujah semasa kuliah, ''Cuma, bila ilmu dianggap sebagai sesuatu yang elitis, orang akan percaya bahawa ada golongan tertentu yang disebut 'golongan ilmuwan'. Orang yang berilmu tidak semestinya membawa maksud otaknya bergeliga atau pintar, bahawa dia mempunyai daya fikir yang tajam dan kritis.''

Aku mencelah, ''Tapi prof., setiap tahun beberapa banyak mahasiswa lulus periksa dengan cemerlang. Apakah mereka itu sungguh pintar dan cerdik! Apakah di kalangan mereka itu berupaya berfikir sendiri! Atau kerana mereka rajin menghafal makanya mereka dapat markah tinggi.''

''Maksud awak?''

Seperti menyindir aku bersuara, ''Seseorang merasa bangga kerana dapat meluahkan statistik dan fakta tertentu tentang satu-satu perkara atau bidang. Mengapa kita mesti memenatkan otak contohnya, mengingat-ingat nama-nama menteri kabinet atau hafal tarikh-tarikh yang bersejarah? Bukankah maklumat seumpama itu dengan mudah dapat dicari daripada buku-buku tertentu, bahan-bahan rujukan atau melalui sesawang laman web. Maklumat itu kini di hujung jari. Tekan punat, tekan butang, sudah dapat.''

''Maklumat bersepah di alam maya. Tinggal lagi terpulang kepada kita untuk memilihnya. Mana yang baik, mana yang buruk. Mana yang bermanfaat, mana yang tidak. Yang sia-sia, jauhkan,'' pintas pelajar yang lain pula.

Seorang pelajar lain berhujah, ''Prof., pemahaman lebih penting daripada pengetahuan yang diperolehi. Kita bukan sahaja harus mengetahui, tetapi lebih penting lagi, harus memahami sesuatu idea dan prinsip atau teori ilmu secara kritis sehingga dapat berfikir dan menilai sendiri, membincangkan dan jika perlu, ya, menerapkan ilmu itu dalam berbagai konteks disiplin ilmu yang lain.''

Profesor itu menanggalkan kaca mata tebalnya. Diletak atas meja lalu berkata, ''Masalahnya ialah, pertama orang banyak menganggap bahawa ilmu itu penting untuk mudah mencari atau mendapat pekerjaan untuk menyarai kehidupan seterusnya.''

''Betul.'' Entah pelajar siswa dari mana yang berkata itu.

Profesor itu menyambung kuliah, ''Kedua, ilmu dipecah-pecahkan kepada berbagai-bagai bidang dan subbidang, sehingga pengetahuan manusia makin lama makin kecil dan sempit. Untuk menghadapi zaman revolusi ilmu dan revolusi maklumat teknologi hari ini, kursus-kursus di universiti sering kali diubah, ditambah atau disesuaikan dengan keperluan pasaran pekerjaan.''

Sebilangan siswa di situ mencatat sesuatu nota dalam buku masing-masing. Ada juga yang hanya sekadar simpan dalam telefon bimbit atau iPhone. Aku betulkan butang baju jaket tebalku. Suhu agak sejuk.

''Prof., apalah gunanya pendidikan sekiranya siswazahnya 'tidak tahu membuat kerja' dan tidak dapat 'mengaitkan dirinya dengan realiti'. Akibatnya mutu pendidikan terkorban,'' kata Dudulo Wayo yang bersuara garau, asal dari Zimbabwe, sambil berdiri dan menyambung cakap, ''Ilmu dijadikan alat untuk memajukan kepentingan diri sendiri, tidak untuk kepentingan manusia, masyarakat dan tanah air. Yah, akhirnya masyarakat umum menganggap ilmu sebagai lesen pekerjaan dan tidak sebagai aspek budaya hidup.''

''Ya, itu pendapat yang bagus.''

''Tetapi prof., hari ini orang boleh menjadi pandai dalam satu-satu bidang tanpa menjejakkan kakinya di kampus universiti,'' sampuk satu suara, yang duduk agak di sudut. Pena diketuk-ketik lembut di ubun kepala.

''Maksud awak?,'' siswa lain bertanya.

Siswa yang duduk di sudut itu menjelaskan, ''Hari ini orang boleh mendapat ijazah melalui ruang maya atau ruang siber, melalui kaedah belajar jarak jauh. Ini bermakna pelajar dan guru tidak bersua muka, tidak mengadakan interaksi berfikir dan berhujah secara bersemuka, tidak perlu berwacana minda seperti kita lakukan hari ini. Menurutku, ilmu makin menjadi bahan dagangan untuk kepentingan diri sendiri.''

''Aku pernah baca terdapat pula universiti yang sanggup dan tergamak menjual ijazah, termasuk Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D). Maaf Prof.''

Profesor yang agak lanjut usia itu tersenyum, dan dengan penuh hikmah berkata, ''Tetapi ini tidak bermakna bahawa universiti tidak seharusnya berfungsi sebagai pelatih tenaga manusia untuk keperluan dunia pekerjaan.''

Demikian sedutan novel penulis yang bertajuk Syahdu Berpacu Dengan Waktu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei pada tahun 2006. Ia mengandungi 9 buah bab.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel