A+ A A-

Nostalgia senda tak lucu di Berlin, Jerman

cetusan minda 001

150216 ISNIN CETUSAN MIINGA BILANGAN 131

PENULIS bertolak dari Bandar Seri Begawan menuju ke Singapura pada 9 Mac 1986 dengan pesawat RBA sekitar tengah hari. Destinasinya ialah Berlin Barat, Jerman Barat. Ketika itu Jerman belum lagi bersatu. Tembok Berlin yang memisahkan antara Jerman Barat dan Jerman Timur masih lagi ada, lambang adanya perang dingin antara Blok Barat dengan Blok Komunis. Pergi ke situ untuk mendalami ilmu kewartawanan.


Kekalahan Jerman dalam Perang Dunia Kedua menjadikan seluruh bumi Jerman musnah, dan dibelah dua, iaitu Jerman Barat dan Jerman Timur. Jerman Barat mengamalkan sistem pemerintahan ala demokrasi manakala Jerman Timur ditadbir pihak komunis. Lambang perbezaan pemerintahan ini wujud di bumi Berlin Barat dan Berlin Timur. Berlin Barat ditadbir bersama oleh pihak bersekutu, iaitu Amerika, Peranchis dan Britain. Berlin Timur pula tunduk dan ditadbir oleh pengaruh komunis di bawah Soviet Union. Warga Berlin Barat dan warga Berlin Timur adalah bangsa yang sama, iaitu bangsa Jerman. Dan bangsa yang sama ini disatukan kembali pada tahun 1990 setelah Tembuk Berlin diruntuhkan. Penulis dapat menjejakkan kaki ke Berlin ketika Tembok Berlin masih ada. Tunggu dulu, sahabat.


Selama hampir enam jam penulis transit di Airport Singapura. Menunggu pesawat rasmi Jerman Barat, iaitu Lufthansa untuk perjalanan ke Frankfurt. Apa hendak dibuat? Enam jam adalah waktu yang agak lama. Lalu penulis tempah bilik rehat di airport Singapura, jika tidak silap, kadar harganya ketika itu ialah SGD40.00. Sebelum penulis masuk ke bilik rehat itu, window shopping dulu di galeri-galeri jualan di airport itu. Singgah di kedai buku lalu beli sebuah buku. Secara jujur dinyatakan memang jadi tabiat penulis membeli sekurang-kurangnya satu buah buku setiap kali singgah di mana-mana saja airport. Maklumlah, kutu buku katakan!


Memandangkan penulis akan pergi ke Jerman Barat maka penulis beli sebuah buku tentang kewartawanan di Eropah. Buku itu agak tersorok setelah penulis minta bantuan kepada penjual kedai buku. Ia mengakasnya dalam simpanan dan dapat.


Dari buku yang nipis itu penulis dapat ilmu baharu tentang input ''kewartawanan sejagat''. Sudah lupa nama buku itu, dan buku itu pun sudah penulis berikan kepada kawan penulis yang lain. Dari buku itu, penulis dapat maklumat bahawa akhbar harian yang terulung dan terbaik di benua Eropah ketika itu ialah akhbar yang terbit di Jerman Barat. Nama akhbar harian itu ialah ''Frankfurter Allgemeine Zeitung''. Edarannya sehari ialah 420,000 naskhah.


Penulis masih dapat bayangkan bahawa akhbar harian ini berwarna kelabu dan bercorak tradisional. Ia mempunyai pendekatan yang konservatif dan penulisan yang serius. Beritanya dalam pelbagai bidang yang meliputi tajuk elit, iaitu daripada berita politik dan ekonomi kepada maklumat berkaitan dengan buku terbaharu dan kebudayaan.


Penulis masih ingat ada lagi akhbar harian perdana di Jerman Barat ketika itu yang amat dihormati, iaitu 'Siiddeutsche Zeitung' yang terbit di Munich. Edarannya 408,500 naskhah. Penerbitannya berbentuk semasa, senang dibaca, liberal dan dikarang dengan baik sekali. Akhbar 'Sie Welt' yang terbit di Hamburg dianggap akhbar harian arus perdana yang ketiga terbesar. Selain daripada itu, terdapat juga akhbar jenis tabloid yang sensasi bernama 'Bild Zeitung'. Jualannya 5.9 juta naskhah sehari.


Seingat penulis, Jerman Barat mempunyai sebuah sistem akhbar pelbagai bahasa mengikut cara Amerika dan penyokong parti secara terbuka. Ini termasuklah beberapa akhbar harian berbahasa asing, akhbar harian persatuan buruh, dan akhbar harian yang mengkhusus dalam satu-satu bidang. Tetapi yang paling menonjol dan terkenal adalah akhbar harian kewangan dan perniagaan.


Daripada buku nipis itu juga penulis dapat maklumat bahawa Jerman Barat juga memiliki satu kumpulan majalah yang sangat dinamik, di samping majalah penerangan, iaitu 'Quick', 'Bunte' dan 'Stern'. Majalah ini menyampaikan tajuk seperti sukan, kepenggunaan, hal ehwal wanita, berita kereta, perniagaan dan hiburan.


Lalu penulis yang pernah jadi siswa di North East London University (1979-1981) pun teringat tentang penerbitan akhbar di England. Akhbar-akhbar harian London mengamalkan ciri-ciri yang agresif dan dalam bentuk pelbagai jenis dari segi kandungan berita, ketrampilan dan pemasarannya. Negara tersebut pada ketika itu terus mempunyai pengedaran akhbar yang tertinggi di dunia. London juga mempunyai tabloid yang sensasi. Penerbitan ini dicetak berjuta-juta naskhah seperti akhbar 'Sun' (4.2 juta naskhah), 'Mirror' (3.1 juta naskhah), 'Daily Mail' (1.7 juta naskhah), 'Daily Express' (1.6 juta naskhah). Itu dulu, kini merosot atau bertambah, tidak tahu!


Pun di London terdapat juga akhbar harian yang terbit sebelah petang seperti 'Times'. Sebuah penerbitan yang serius, analitikal, berwarna unggu dan konservatif. Pun terdapat juga akhbar yang bernama 'Guardian', iaitu sebuah akhbar yang menarik, matang dan liberal. Kedua-dua buah akhbar ini pada ketika itu edarannya ialah sekitar 447,500 naskhah sehari. Kemudian dalam bidang kewangan pula terdapat akhbar yang amat berpengaruh, iaitu 'Financial Times'. Semasa menuntut di London itu, penulis sempat juga membaca akhbar seperti 'News of The World', 'Sunday Times' , 'Observer'.


Jangan silap, di kota raya-kota raya utama di Britian seperti Birmingham juga mempunyai akhbar harian tersendiri seperti 'Evening Mail' (edaran 235,000 naskhah); di Bristol akhbar hariannya bernama 'Evening Post' (edaran 110,000 naskhah); di Kota Raya Leeds ialah 'Yorkshire Post' (edaran 93,000 naskhah); 'Liverpool Echo' (edaran 204,000 naskhah) di Liverpool; kotaraya Newcastle dengan 'Evening Chronicle' (edaran 148,000 naskhah); Edinburgh dengan 'Evening News' (edaran 114,000 naskhah) dan kota raya yang lain. Sudah tidak ingat!


Nah, waima wujudnya pengehadan kebudayaan dan politik di setiap negara di benua Eropah, akhbar-akhbar di bahagian Barat Eropah berfungsi dengan bebas sebagaimana akhbar Amerika. Pada umumnya, akhbar-akhbar di Eropah berjalan dengan lebih bebas dan profesional. Dalam makna, seorang wartawan mempunyai hak untuk menulis dan merahsiakan sumber-sumbernya. Etika sentiasa dijaga!


Setelah transit selama hampir enam jam dengan membaca buku di Singapura, penulis pun berlepas ke Frankfurt dengan pesawat Lufhansa. Pesawat itu singgah di Bangkok, Bombay, Karachi dan Athens. Mengambil dan menurunkan penumpang serta mengisi minyak. Penumpang hanya tinggal dalam pesawat. Hah, satu perjalanan yang amat jauh yang memakan masa berbelas jam. Terbit fajar 11 Mac baru sampai di Frankfurt. Musim luruh baru saja bermula. Transit di Frankfurt beberapa jam, berligar sendirian di airport Frankfurt yang luas mencari lorong atau laluan untuk meneruskan penerbangan domestik. Penulis hendak ke Berlin Barat, bukan ke Frankfurt. Penulis terus mendaftarkan diri ke penerbangan domestik. Tiada masalah kerana petugas-petugas di Frankfurt banyak yang fasih berbahasa Inggeris. Lebih dua jam singgah di Frankfurt. Beli sebuah novel Inggeris di situ. Penerbangan domestik dari Frankfurt ke Berlin Barat mengambil masa sekitar satu jam lebih. Mendarat di airport Berlin Barat setelah melalui ruang udara Jerman Timur yang dikuasai oleh pemerintahan komunis. Kedudukan Berlin Barat adalah umpama sebuah daratan kecil di tengah bumi Jerman Timur.


Ada petugas daripada Internationales Institut for Jouurnalismus (IIJ), iaitu Institut Kewartawanan Antarabangsa, Berlin Barat menunggu penulis. Petugas mengangkat tinggi kertas papan tanda A4 dengan nama 'S. Latip'. Terus memperkenalkan diri dan dia membantu penulis mengangkat bagasi untuk dimuatkan ke dalam kereta salon yang terus membawa penulis ke tempat penginapan, apartment empat tingkat yamg disewa oleh IIJ. Penulis ke Berlin Barat adalah untuk mengikuti kursus intensif wartawan di IIJ. Pada hari sama datang juga wartawan dari Thailand dan Myanmar. Manakala wartawan dari Nepal, India, Pakistan, Hong Kong, Paraguay, Ghana, Kenya dan Jamaica sudah sampai sehari lebih awal daripada penulis. Esoknya, 12 Mac 1986 datang lagi wartawan dari Malaysia, bertugas di Agensi Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), ini diikuti oleh wartawan Indonesia. Semuanya berjumlah 22 orang termasuk dua wartawan wanita, iaitu dari Paraguay dan Ghana. Wartawan dari Filipina datang lewat, iaitu dua hari setelah kuliah kami bermula pada 13 Mac. Penulis berkursus untuk lebih 120 hari. Rata-rata umur wartawan itu antara 34 tahun hingga 46 tahun. Penulis ketika itu baru berumur 38 tahun. Wartawan dari India dan Pakistan, masing-masing berumur 45 dan 46 tahun.


Wartawan dari Paraguay, namanya Natalie, cerdik dan aktif serta PRnya agak tinggi. Wartawan wanita ini mudah mesra seolah-olah sudah kenal lama dengan kami semua. Dia fasih berbahasa Inggeris dan Peranchis. Faham bahasa Jerman tapi tidak tahu bercakap Jerman. Dia punya kelulusan dalam bidang kewartawan dari bumi Peranchis dan pemegang diploma tertinggi dalam perhubungan awam. Tinggal lagi, pembawaanya sepanjang kuliah dalam kelas di IIJ ini tak ubah semacam seorang diplomat. Tapi di luar kelas dan hujung minggu, aktif macam lipas kudung. Lawa dan menawan lagi tu!


Tapi yang paling selekeh pakaian ketika kuliah atau dalam kelas ialah wartawan dari Filipina. Maaf cakap, kawan. Mudah dan ringkas. Pakai seluar jean, dan baju T yang ada kolar. Manakala rata-rata kami semua berpakaian kemas tanpa tali leher.


Hari pertama setelah diberi taklimat dalam bahasa Inggeris dan makan tengah hari, kami dipandu menggunakan kereta api bawah tanah atau tren yang dipanggil 'U-Bahn' ke apartment kami kira-kira 15 minit perjalanan tren dari tempat kursus. Lalu penulis teringat tren laju di London yang dipanggil sebagai 'Tube' atau 'Underground'. Penulis bersyukur kerana telah terbiasa dengan pengangkutan tren bawah tanah ketika jadi siswa di North East London University (1979 - 1981), London. Kami juga digalakkan untuk makan di kantin, yang harganya agak murah dibanding dengan resturan di luar. Tapi ya, loya tekak penulis bila nampak sandwich bacon (babi) dan ham di sisi sandwich telur. Begitu juga mee yang setentunya bercampur dengan daging babi. Nah, kan halnya selera penulis tidak selesa dengan menu hidangan di kantin waimamurah. Penulis hanya mampir di kantin itu hanya sekali, itu pun hari pertama. Makan buah-buahan segar dan daun salad saja.


Menariknya setiap bilik di apartment tempat kami tinggal itu disediakan dapur, periuk, pinggan dan mangkuk. Satu rahmat, kedai runcit pun dekat dengan apartment. Beli beras secara kilogram, dan barangan halal. Ikan kecil dijual secara bungkusan kecil seberat 200 ke 300 grams. Pengalaman penulis ketika bujang dan bertugas di Temburong tidak janggal masak nasi dan lauk asam pedas ala kadar saja.


Nah, penulis masak nasi setiap pagi. Susu diguna sebagai ganti santan untuk masak kuah lemak ikan bilis. Pun masak juga telur rebus, sayur kubis. Setiap hari sepanjang kursus di IIJ itu sarapan pagi penulis bubur nasi, telur rebus dan roti disapu jem dan mentega. Setiap tengah hari, penulis balik makan dulu. Lepas Sembahyang Zohor pergi semula ke kelas. Rakan-rakan lain pun masak sendiri dalam bilik masing-masing.


Sering kali juga penulis mengajak rakanrakan lain makan masakan penulis. Beli ikan bilis (pusu). Penulis tumis dan kadang-kadang goreng. Hidangkan kacang, ubi kentang dan daun salad, cukup berselera mereka. Hujung-hujung minggu kami sama-sama berlibur ke restoran makanan segera. Duduk semeja tapi bayar sendiri-sendiri. Jika masuk ke restoran makanan segera ini, kami rancak berbual dari satu tajuk ke satu tajuk semasa. Tak kering gusi jika Natalie buat kelakar.


Kan halnya, dua bulan setelah saling kenal-mengenal antara satu sama lain dalam kalangan kami itu, penulis buat satu 'gurauan yang berbentuk deraan'. Mau tahu, sahabat. Satu hari penulis beli cili padi yang cukup pedas. Penulis beli dari kedai runcit kepunyaan orang Turki, itu pun setelah penulis tempah seminggu lebih awal.


Natalie, wartawan wanita dari Paraguay itu bertanya, ''Buah apa ini, Latip?''


''Buah cili, Natalie. Mau cuba?'' Bukankah cili sejenis buah!


''Macam mana cara memakannya?'' tanya Natalie. Wartawan dari Filipina, Malaysia dan Indonesia hanya senyum saja. Ada pula yang garu dan geleng kepala. Tak mahu ikut campur. Mencelah tidak, mengangguk pun tidak.


Penulis terus cakap, ''Kunyah saja, Natalie. Macam makan anggur.'' Natalie pun mengambil sebiji cili padi dan terus mengunyahnya. Alahai….!


Untuk penulis yang biasa makan cili itu merasa cukup pedas maka apa lagilah bagi orang Paraguay yang tidak pernah merasa cili. Tomota itu biasalah. Meskipun peristiwa ini hampir 30 tahun berlalu penulis masih segar dapat bayangkan meluru terus Natalie ke mangkuk singki. Berkumur beberapa kali, dan terus meluahkan kunyahan cili padi yang dikunyahnya. Matanya berair. Dia terasa bengang hampir 10 minit kerana pedas itu.


Penulis minta maaf. Dia memaafkan namun berkali-kali mengatakan penulis sengaja hendak mengenakannya. Penulis beritahu kepadanya, saya makan hari-hari dan terasa nikmatnya. Penulis salut dan tabik hormat kepada wartawan terutama dari Indonesia, Malaysia dan Filipina. Wartawan dari Indonesia lebih hebat, ratah cili padi itu macam ulam, kunyah dan telan lalu minum coco-cola. Beberapa biji cili padi pun dikunyah oleh wartawan dari Malaysia dan Filipina sambil makan keropok kentang. Terkebil-kebil mata Natalie. Badannya berkirik. Orang lain makan dia pun yang semacam merasa pedasnya. Lepas itu kami semua ketawa terbahak-bahak. Natalie juga ikut ketawa. PR-nya memang tinggi, dia tidak marah, ini penulis salut.


Habis beberapa paket snacks ubi kentang, dan buah jagus, pun coco-cola. Natalie geleng-geleng kepala. Tapi ya, jauh di sudut hati penulis, terasa berdosa kepada Natalie. Tidak patut penulis buat begitu meskipun dia orang bukan Islam. Salah kepada orang bukan Islam tetap berdosa. Peristiwa ini masih membayangi hidup penulis hingga kini. Masya-Allah. Hanya Allah Yang Maha Tahu. Maafkan aku, S. Latif, Natalie! Alahai, senda tak lucu di Berlin, Jerman mengisi cetusan minda siri ini

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel