A+ A A-

Mari bersama hindarkan kekerdilan diri

cetusan minda 001

040416 CETUSAN MINDA BIL 132

 

PERNAHKAH kita merasa kurang percaya diri dalam kehidupan ini? Ketika berhadapan dengan rintangan dan halangan, baik ketika kerja dalam perkhidmatan awam mahupun swasta, berurusan, atau pun sibuk menjalankan kerenah-kerenah niaga bagi para pengusaha dan peniaga. Atau anda takut bercakap di depan khalayak. Takut gagal dan kecewa mengharungi setiap masalah dalam meniti kehidupan ini!

 

Atau, setidak-tidaknya pernah mengalami rasa ragu-ragu dalam mengambil keputusan. Apakah harus mengambil keputusan ini atau keputusan itu? Jika ya, maka pakar-pakar motivasi berpendapat anda sedang memasuki ruangan terbatas. Nah, ketika anda masuk dalam ruangan terbatas sesungguhnya ada bertemu dengan berbagai macam kamar. Kamar kehidupan!

 

Di dalam hidup ini, sahabat, terdapat dua bentuk keyakinan. Satu, keyakinan yang menguatkan kita. Kedua, keyakinan yang melemahkan kita. Ketika kita berada dalam ruangan terbatas, kita sebetulnya mendedahkan diri kita kepada keyakinan yang melemahkan. Sisihkan diri dari berdukacita. Janganlah bersikap pesimis. Janganlah takut gagal. Jangan ragu-ragu mengambil keputusan.

 

Ya, ketika kita takut gagal, kurang percaya diri sendiri, ragu-ragu membuat keputusan maka pada saat itu kita atau anda sudah berada dalam ruangan terbatas. Nah, ada tujuh kamar dalam ruangan terbatas ini.

 

Pertama, kita sering mengatakan 'kita sibuk'. Pernahkan kita merasa sibuk dengan berbagai macam kegiatan harian kita. Pada dasarnya setiap individu mempunyai kesibukan masing-masing.

 

Tetapi ya, Allah Subahanahu Wata'ala memberikan waktu yang sama kepada setiap manusia, yakni diberi waktu 24 jam sehari. Jadi, jangan sampai kesibukan ini membuat anda lupa untuk merencanakan hal-hal yang jauh lebih penting dari kehidupan anda.

 

Hubaya-hubaya, jangan bekerja dikendalikan oleh waktu, tetapi waktu yang harus kita kendalikan. Ungkapan Inggeris ada mengatakan "Don't work for the time, but the time work for you".

 

Dalam tamadun dan khazanah Islam, Ali bin Abi Thalib mengatakan bahawa waktu itu seperti perang. Kalau tidak boleh menggunakannya, maka pedang itu boleh membunuh diri kita. Namun jika kita dapat mengisi masa itu dengan baik, maka waktu justru memberi banyak manfaat buat kita. Nah, tepatlah yang membuat diri kita terbatas adalah "saya sentiasa sibuk". Mari sisihkan kekerdilan diri sendiri.

 

Maknanya, kita merasa terlalu dan sentiasa sibuk sehingga tidak punya waktu untuk hal-hal yang lebih bermakna dalam kehidupan ini. Contoh yang paling ketara, tertunaikah kewajipan anda meluangkan beberapa waktu anda dengan pencipta anda, ialah sembahyang lima waktu! Sudahkah anda meluangkan sedikit masa bersama keluarga! Sudahkah anda membuat rencana dalam kehidupan ini. Apa yang anda ingin capai dalam hidup ini. Bukan sekadar mendapat keuntungan lumayan bagi peniaga. Bukan sekadar dapat jawatan tinggi untuk penjawat awam dan swasta.

 

"Saya amat sibuk" kata-kata ini boleh membataskan kehidupan anda. Tunggu dulu sahabat, manusia adalah makhluk yang lemah, tetapi akan mempunyai kekuatan apabila mendekatkan diri kepada yang mempunyai kekuatan. Sumber kekuatan itu ada pada Allah. Ketika kita mendekatkan diri kepada Sang Pencipta melalui ibadah-ibadah yang kita tunaikan dan kerjakan seperti sembahyang lima waktu dan lain-lainnya, Allah sesungguhnya sentiasa memberi kekuatan kepada kita. Tetapi jika kita jauh dari Allah, maka kita jauh dari sumber kekuatan sehingga akan mengalami kelemahan. InsyaaAllah, dengan sentiasa mendekatkan diri dengan Allah, kita semakin yakin dalam mengambil keputusan.

 

Kedua, "saya tidak pandai, tidak cerdik." Pandai atau cerdik kalau diterjemahkan dalam dunia pendidikan seringkali dimaknakan tahap indeks prestasi anda di atas nombor dua, di atas rata-rata. Tetapi dalam cetusan minda ini itu bukan begitu ukuran kita, bukan semata-mata kecerdasan akademik. Sebab kita maklum Allah menciptakan kita dengan mempunyai dua otak, iaitu otak belahan kiri dan otak belahan kanan. Maknanya, ada kecerdasan intelek dan ada kecerdasan emosi.

 

Pakar-pakar psikologi mendapati bahawa ketika seorang anak damit itu lahir, dia sudah diberikan oleh Allah, jumlah sel saraf otaknya adalah satu triliun sel saraf. Dari satu triliun sel saraf itu dibagi menjadi dua, yang 100 juta sel saraf itu untuk berfikir manakala yang 900 juta sel saraf ini fungsinya adalah memberikan nutrisi, memberikan bekalan makanan kepada yang 100 juta sel saraf itu. Kemudian diadakan penelitian lebih lanjut. Lalu didapati bahawa ketika satu sel saraf dari 100 juta itu diambil, ternyata boleh menciptakan 20 ribu hubungan, 20 ribu cabang di dalam otak kita yang begitu kecil.

 

Nah, bayangkan satu sel saraf dalam otak kita adalah 20 ribu hubungan atau 20 kilobyte (istilah dalam maya siber), cuba hitung kalau 100 juta, berapa kilobyte yang boleh diciptakan oleh memori otak. Itu memori otak anak damit yang baru lahir. Jadi, adilkah kita mengatakan bahawa kita tidak pintar? Adilkah kita sendiri mendakwa tidak cerdas? Fikir-fikirlah. Mari bersama hindarkan kekerdilan diri!

 

Kita yang sudah akil baligh, kita yang sudah jadi belia remaja, kita yang sudah lanjut dewasa umur sudah hampir 50 tahun, kita yang sudah merasa tua yakni jadi warga emas, dan kita yang sudah jadi warga platinum (limpasi umur 70 tahun) adalah sesungguhnya kita bermula dari anak damit yang baru lahir itu! Nah, kita semua lahir dengan satu triliun yang sama siapa pun ibu bapa kita.

 

Waima orang tua kita bukan dari golongan yang berpendidikan, tetap Allah melahirkan kita dengan satu triliun sel saraf dalam otak. Anak damit yang dilahirkan orang bangsawan pun lahir dengan satu triliun sel saraf. Sedar atau tidak mempunyai kemampuan 100 juta dikali 20 ribu hubungan, kiralah sendiri berapa jumlahnya. Sebetulnya dalam badan kita terdapat 'komputer' yang sentiasa hidup dan bergerak. Komputer itu ialah otak, otak kita. Otak yang luar biasa. Siapa penciptanya. Tak lain tak bukan ialah Allah Subhanahu Wata'ala. Jadi kita tidak punya alasan bahawa kita tidak pintar. Masing-masing manusia ada keistimewaanya. Tinggal lagi, bakat dan keistimewaan yang dikurniakan oleh Allah itu kita manfaatkan sebaik-baiknya.

 

Ketiga, oh "saya tidak berbakat". Mungkin ada di kalangan kita berkata, "Bagaimana mungkin saya boleh jadi pengurus besar sedangkan ayah saya buta huruf dan buruh daif?" Atau ada yang berkata, "Bagaimana saya dapat menjadi pemimpin, rasanya tidak mungkin kerana saya tiada bakat memimpin?"

 

Baiklah, penulis hormati pendapat anda, tetapi ada tetapinya. Setiap manusia berbuat menurut bakatnya masing-masing, maka Allah akan memberikan petunjuk kepada jalan yang benar terhadap tiap orang yang memiliki bakat tersebut. Soalnya adalah bukannya anda belum berjaya, anda belum menemukan bakat anda, tapi mungkin anda berada di tempat yang tidak sesuai dengan bakat tersebut. Jadi, kita tidak berjaya bukan kerana kita tidak punya bakat. Kita semua punya bakat cuma mungkin bakat yang anda miliki itu berada di tempat yang salah atau berada di waktu yang salah. Nah, "saya tidak berbakat" bukan menjadi alasan anda tidak berjaya dalam meniti kehidupan ini.

 

Kamar keempat, "saya tidak lawa atau saya tidak tampan". Kita semua diciptakan Allah dengan bentuk yang terbaik. Syukuri dan kagumi dengan bentuk tubuh yang sudah diberikan Allah kepada kita. Jangan pernah beranggapan bahawa kejayaan sama dengan bentuk fizikal. Siapa pun anda, bagaimana pun wajah anda, bagaimana pun penampilan anda, kita miliki peluang kejayaan yang sama, kita punya peluang berhasil yang sama.

 

Terdapat seorang yang cukup menarik. Dia dilahirkan dalam keadaan tidak punya tangan, dan tidak punya kaki tetapi dunia menyaksikan dia menjadi seorang motivator yang hebat. Dia dapat melakukan perkara yang tidak dapat dilakukan oleh manusia yang lengkap anggotanya. Jadi jika kita nampak orang yang cacat dan kurang upaya boleh berjaya, kenapa anda yang sempuna tidak boleh berjaya? Mari bersama hindarkan kekerdilan diri.

 

Kelima, "saya kurang beruntung atau saya tidak bernasib baik." Atau bukankah kita sering mendengar ada dalam kalangan kita merungut dengan berkata, "Belum nasib saya. Memang nasib dia mudah dan senang dapat untung. Nasib dia dapat naik pangkat." Benar dalam Islam, terdapat istilah takdir. Tetapi untuk berjaya tidak ada kaitan dengan masalah keberuntungan. Takdir adalah misteri kehidupan.

 

Jadi untuk mengungkap misteri itu, tidak ada cara lain kecuali usaha dan kerjakan saja, ambil satu tindakan, amal saleh. Islam itu agama iman dan amal saleh. Selalu dan sentiasa ada iman diikuti dengan amal saleh. Untuk berjaya bukan sekadar cakap-cakap saja, rancang-rancang saja tanpa usaha dan ikhtiar. Ambil satu keputusan, ambil satu tindakan, tidak sekadar merungut dan mengeluh dengan kata, "Sudah nasib saya." Alahai, tidak ada istilah nasib di sini. Malah, jika bicara konteks akidah, mungkin salahkan nasib ini salah satu hal yang sangat bertentangan dengan akidah.

 

Mari kita masuk ke kamar keenam. "Saya bukan orang berharta, punya banyak pusaka." Ya bagaimana kita boleh berjaya jika hidup kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Orang pun tidak kenal kita, siapalah kita? Pandang sebelah mata pun orang mahu mengelak. Namun ini bukanlah alasan untuk kita tidak berjaya dalam meniti kehidupan ini. Malah berapa banyak orang yang dahulunya berharta jadi papa kedana. Untuk berjaya tidak bergantung kepada kekayaan, tidak. Bahkan kekayaan itu tidak terhad dari segi kewangan dan mata benda saja. Tidak. Ada kekayaan fikiran. Ada kekayaan jiwa. Terdapat juga kekayaan hati. Kekayaan utama ialah pada akhlak. Nah, mari bersama kita menyisihkan kekerdilan diri. Jangan buat alasan remeh-temeh ini untuk tidak berjaya dalam hidup. Usaha terus, terus usaha. Berdoa terus, dan terus bedroa kemudian tawakal. Kekayaan dalam bentuk apapun tidak gugur saja-saja dari langit.

 

Kemudian kamar ketujuh. Ada di antara kita berkata, "Siapalah saya? Hanya orang biasa." Oohhhhh... saya hanya orang biasa, ya biasa-biasa. Bukan keturunan bangsawan. Bukan keturunan yang ada darjat dan seumpamanya. Sebenarnya untuk berjaya dalam hidup ini, sahabat, tiada hubungan dengan keturunan. Kejayaan seseorang itu tidak ditentukan oleh itu. Jika pun ada, hanya segelintir saja. Tapi mohon jangan kita kata, "Siapalah kita?" Mari bersama kita hindarkan kekerdilan diri!
Maknanya, untuk kita jadi hebat tidak perlu jadi orang lain. Jadilah diri sendiri. Mari kita ungkit kisah seorang pemecah batu. Kisah ini saya petik daripada sebuah buku. Seorang pemecah batu menghabiskan siang hari di sebuah bukit, bermandi keringat mengerah seluruh kudrat memecahkan batu-batu pejal di bukit itu. Dia sering mendengus dan mengomel tentang kenaifan diri sendiri. Di bawah terik matahari ia memegang penukul melihat kepada matahari sambil berkata, "Alangkah baik jika aku dicipta sebagai matahari!"

 

Sambil melihat matahari dengan kagum tiba-tiba keadaan menjadi redup kerana gumpalan awan menutupi matahari, "Wah, awan lebih hebat rupanya boleh menutup matahari. Alangkah baiknya jika aku dicipta sebagai gumpalan awan!"

 

Berfikirlah dia tentang dirinya yang malang dan betapa bertuahnya matahari dan bertuahnya menjadi awan. Pandangannya terus leka mengekori awan yang berarak megah. Tiba-tiba awan itu bergerak dan terbelah oleh bukit yang tinggi. Lalu pemecah batu itu berkata, "Wah, rupanya bukit lebih hebat dari awan. Bukit boleh membelah gumpalan awan yang berarak." Berfikirlah dia untuk menjadi bukit.

 

"Malangnya diriku ini. Alangkah baiknya jika aku diciptakan sebagai bukit. Bukit yang dapat membelah awan, bukit yang dapat menumpaskan sinaran matahari," kesalnya dalam hati sendiri.

 

Tiba-tiba dia tersedar sesuatu yang ia langsung tidak perasaan selama ini. Dialah yang telah memecah batu pejal di bukit itu. Mukanya kembali bercahaya. Matanya berkaca-kaca. Baru menyedari bahawa bukit yang tersergam gagah, bukit yang dapat membelah gumpalan awan, bukit yang boleh menuntut sinaran matahari sesungguhnya tewas kepada seorang pemecah batu.

 

"Dan pemecah batu itu adalah aku. Aku sendiri!"

 

Kemudian dengan penuh semangat berteriak, "Aku sebenarnya lebih hebat daripada bukit, lebih gagah daripada awan, lebih kuat daripada matahari. Aku hanya perlu bersyukur atas apa yang telah diciptakan Allah untukku."

 

Lantas dengan penuh bertenaga dia terus menghentak batu dengan penuh bangga. Meneruskan kerjaya dengan penuh rasa syukur. Dia tidak lagi memperdulikan terik matahari dan bebalnya kekerasan batu bukit tersebut.

 

Benar, manusia tidak akan melihat sebarang kebaikan pada dirinya, sekiranya tidak melihat dengan kaca mata syukur, reda dan qana'ah. Kenapa sepanjang masa dihabiskan dengan mengagumi orang lain tetapi memandang rendah kepada diri sendiri. Manusia seperti ini tidak akan menemui kepuasan dan kedamaian hati selama-lamanya. Sebaliknya letih dan rasa terbeban kerana menelan rasa terkilan yang berpanjangan.

 

Hubaya-hubaya, untuk jadi manusia hebat kita tidak perlu jadi orang lain tapi jadilah diri sendiri. Bukalah kunci air kesyukuran nescaya ia akan melimpahkan sifat reda dan qana'ah beserta kekuatan sebenar seorang insan.

 

Dalam masa yang sama kita mencari di manakah kelemahan yang perlu dikenal pasti agar boleh diungkai keluar. Dari situ kita akan mula meneroka kelebihan yang Allah anugerahkan tersembunyi dalam diri kita.

 

Yakinlah seyakin-yakinnya, bahawa Allah mencipta kita sebagai makhluk unik dengan sebaik-baik kejadian! Masing-masing punya keistimewaan tersendiri. Allah Maha Besar. Allah Maha Berkuasa. Hidup cemerlang bermula dari mengenal Allah secara mendalam. Tahu betapa berkuasanya Allah. Sedar betapa bijaksananya Allah. Yakin segala sesuatu daripada Allah pasti mengandungi hikmah.

 

Sesungguhnya kita selaku hamba tidak memiliki apa pun sedari awal kelahiran untuk kita pasrahkan hidup kepada Allah. Jaminan daripada Allah untuk bertambah ilmu seseorang itu adalah dengan cara dia mengamalkan setiap apa yang dia ketahui.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel