A+ A A-

cetusan minda

BILANGAN 109

SEORANG penduduk Kampung Lurong Sikuna sedang mengumandangkan azan sambil menghadap ke kiblat. Suaranya mendayu dipuput bayu pagi yang ranum. Berduyun-duyun kaum kerabat dan sanak saudara Haji Serudin berdiri di pantaran rumahnya bagi mengucapkan selamat berlepas dan selamat belayar. Haji Landak yang juga dikenali sebagai Haji Ahmad kumat-kamit mulutnya kerana sedang asyik berdoa dalam hati.

Kemarin petang telah diadakan Majlis Doa Selamat di rumah kediaman Haji Serudin. Semua dangsanak berkumpul. Majlis Doa Selamat itu dikepalai oleh Haji Metassim bin Md. Tahir (Begawan Mudim Pehin Tuan Imam Dato Seri Paduka Haji Metassim bin Md. Tahir) dan dibantu oleh Haji Landak. Doa selamat itu bermula kira-kira selepas Sembahyang Fardu Asar. Majlis Doa Selamat selesai kira-kira jam 6.00 petang. Para jemputan sudah pulang sekitar jam 6.00 petang.

Yang tinggal hanya dangsanak terdekat termasuk penulis yang ketika itu baru berumur hendak masuk 3 tahun. Penulis agak nakal, istilah yang diguna pakai oleh orang tua-tua ketika itu ialah : "Matsalleh gauk!" (Gauk maknanya suka melakukan sesuatu yang dilarang. Aktif)

Pada waktu Maghrib pula di rumah Haji Serudin diadakan Sembahyang Fardu Maghrib Berjemaah, lepas itu Sembahyang Sunat Hajat. Jemaah terdiri daripada kalangan dangsanak yang terdekat. Kedua-dua sembahyang fardu dan sunat ini diimamkan oleh Haji Landak. Selepas itu, bacaan doa selamat diadakan untuk memberkati kepergian warga Kampung Lurong Sikuna yang akan belayar. Belayar dan belajar ke Singapura.

Sebelum itu pada bulan Januari 1950, seorang wargaKampung Lurong Sikuna iaitu Jaya bin Abdul Latif (Pehin Orang Kaya Lela Utama Dato Paduka Haji Jaya bin Abdul Latif) bersama dengan Rosli bin Omar (Haji Rosli bin Omar) adalah dua orang warga Brunei yang pertama, selepas Perang Dunia Kedua, khususnya melanjutkan pelajaran ke Singapura aliran Inggeris. Mereka berdua menuntut di sebuah sekolah di Singapura yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Inggeris. Kepergian Jaya dan Rosli belajar ke Singapura adalah atas dermasiswa Kerajaan Brunei.

Siapa akan belayar pada hari itu? Dan belayar ke mana? Pagi yang hening itu Mohd. Zain (Pehin Jawatan Luar Pekerma Raja Dato Seri Utama Dr. Ustaz Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin) mengenakan seluar panjang warna hitam dan baju putih lengan pendek berdiri segak dengan kopiah warna hitam. Tangan kanan Dayang Tikah (ketika itu belum lagi naik-naik ke Mekah) memegang bahu kiri Mohd. Zain sambil membelai mesra pipi anak sulungnya itu. Tanpa sedar beberapa titis air jernih dan dingin berjurai di kelopak mata Dayang Tikah. Cepat-cepat dia mengesat titis air dingin itu.

Naluri keibuan menggamit sayu. Kepiluan berdenyut dalam degup jantung seorang ibu penyayang. Dia segan menunjukkan kehibaannya di hadapan para dangsanaknya yang banyak berdiri di pantaran sementara azan masih berkumandang. Sempat dia membisikkan suatu nasihat ke telinga anak sulungnya. Mohd. Zain mendongkak melihat wajah ibu. Senyum. Dayang Tikah membalas senyuman anaknya dengan lirikan mata sayu sayang untuk cuba menyembunyikan kepiluan hati. Mohd. Zain berwajah ceria. Ia dilepaskan pergi meredah Laut China Selatan untuk pergi ke Singapura. Kepergian Mohd. Zain kali ini bukan menemani ayahnya mengalu ke Sungai Pandaruan, Temburong. Bukan!

Dayang Tikah menghantar Mohd. Zain hingga ke anak tangga. Dan entah untuk kali ke berapa pagi yang hening itu sahaja, dia mengusap lagi penuh kemesraan dan kasih sayang kepala sambil mencium pipi dan membelai Mohd. Zain. Dan sebaik sahaja azan habis berkumandang, Mohd. Zain langsung menuruni anak tangga untuk duduk bersila di gubang besar yang akan membawanya ke Dermaga Kastam di Pekan Brunei. Gubang besar itu digerakkan oleh enjin jenis "seagull" berkuasa 15 kuda.

Haji Serudin sudah pun berdiri di gubang sambil memberi laluan untuk anaknya selesa turun ke gubang. Ketika itu air sungai tiada berapa dalam, dan tiada juga tohor. Di gubang besar itu sudah bersedia beberapa orang dangsanak yang lain yang sama-sama turut menghantar Mohd. Zain ke seberang termasuk adiknya iaitu Mohammad (Dato Paduka Haji Mohammad bin Haji Serudin dan Metusin (Haji Metusin bin Haji Serudin) dan beberapa orang dangsanak terdekat pangkat bapa saudara serta sepupunya.

Pagi yang ranum, cuaca yang limbu, puput bayu yang syahdu, lambaian ibu dan dangsanaknya yang masih bertinggiran di pantaran rumah kediaman Haji Seudin mengiringi kepergian Mohd. Zain meninggalkan kampung halaman bagi menuntut ilmu pengetahuan.

Sungai Bunei tenang, tiada berombak. Busa mengalun lembut dengan beberapa ekor penjulung berenang di gigi perairan. Air tenang tapi jiwa Dayang Tikah bergelodak. Gelodak cemas dan ceria berbaur melepaskan kepergian Mohd. Zain. Mohd. Zain akan pergi berjauhan.

Dayang Tikah masih berdiri tegak di pantaran, air jernih yang dingin mengalir dari kelopak mata. Titis...titis...titis...! Disapu dengan telapak tangan tapi air jernih terus titis...titis, titis dan titis lagi. Berjurai titik di pipi. Dayang Tikah dipapah masuk ke dalam bilik oleh anaknya yang perempuan, Dayang Saliah. Ibu yang sedang pilu dipujuk masuk.

"Sudahlah ibu, lepaskan Awang dengan doa," pujuk Dayang Saliah (ketika itu belum lagi naik haji ke Mekah) mententeramkan jiwa ibunya. 'Awang' adalah panggilan seorang adik lelaki atau perempuan kepada abangnya ataupun sepupunya yang lebih tua. Ya, adik-adik Mohd. Zain memanggilnya sebagai 'Awang'.

Memang rata-rata penduduk masyarakat Melayu Brunei khususnya yang tinggal di Kampung Ayer memanggil abang sulung sebagai Awang yang bermakna panggilan seorang adik lelaki atau perempuan kepada abangnya.

Mohd. Zain ditemani oleh ayahnya, Haji Serudin, untuk pergi ke Labuan. Pada hari itu Mohd. Zain dengan dua orang rakannya iaitu Abdul Salam bin Abdul Razak (Deto Seri Setia Haji Abdul Salam bin Abdul Razak) dan Abdul Hamid bin Mohd. Daud (Dato Seri Setia Haji Abdul Hamid bin Haji Mohd. Daud) yang terpilih melanjutkan pelajaran ke Singapura atas dermasiswa Kerajaan Brunei sama-sama menaiki kapal yang bernama 'Seri Berunai' untuk membawa mereka ke Labuan.

Haji Serudin juga ikut sama ke Labuan bagi menghantar anaknya. Kapal laut 'Seri Berunai' bertolak dari Dermaga Kastam, Pekan Brunei, kira-kira jam 7.30 pagi pada hari berkenaan dan mengambil masa tiga jam untuk sampai ke Labuan. Semasa di Labuan ini mereka diam di kedai yang dijaga oleh Haji Ismail sementara menunggu kapal besar. Tidur semalam di Labuan sementara menunggu kapal yang lebih besar untuk membawa Mohd. Zain dan dua orang kawannya itu meredah Laut China Selatan dalam perjalanan ke Singapura. Haji Serudin hanya menghantar Mohd. Zain setakat di Labuan.

Besoknya, Mohd. Zain, Abdul Salam dan Abdul Hamid menaiki kapal laut yang bernama 'Kajang' bagi membawa mereka ke Singapura. Perjalanan ke Singapura pada waktu itu mengambil masa selama empat malam empat hari. Menumpang kapal laut (kapal barang bukan kapal penumpang) serupa itu adalah pertama kali dalam hidup Mohd. Zain. Pertama kali, begitu juga kawannya yang dua orang itu. Pengalaman pertama menumpang kapal laut ke Singapura. Bukan untuk makan angin tetapi ialah untuk belajar, menuntut ilmu pengetahun.

Pada waktu itu, tahun 1950-an, hanya terdapat satu cara pengangkutan yang membolehkan seseorang sampai ke Singapura iaitu melalui kapal laut. Kapal laut kargo yang besar itu pun hanya berlabuh di Labuan. Ketika itu Labuan adalah merupakan tempat persinggahan utama bagi perjalanan ke Singapura, Pula Pinang, Kuching dan tempat-tempat lain.

Kapal laut yang bernama Kajang bukan kapal penumpang. Kapal itu merupakan kapal kargo yang membawa barangan. Pengalaman pertama belayar ke Singapura itu memberi kesedaran kepada Mohd. Zain bahawa hidup ini sesungguhnya memerlukan pengorbangan dan kecekalan hati. Pengangkutan udara antara Bunei dengan Singapura ketika itu langsung belum ada. Bilangan kapal laut kargo pun ketika itu hanya dapat dibilang dengan jari.

Semasa belayar ke Singapura dengan menumpang kapal yang bernama Kajang, mereka disertai oleh seorang guru. Guru ini yang bertanggungjawab untuk menyerahkan mereka kepada pihak Sekolah Arab Al-Juned, Singapura. Guru yang menyertai mereka ke Singapura pada minggu pertama bulan Mei 1950 itu ialah Pengiran Ali bin Pengiran Mohd. Daud (Pengiran Pekerma Setia Diraja Sahibul Bandar Pengiran Haji Ali bin Pengiran Haji Mohd. Daud).

Sepanjang perjalanan itu beliau menasihati Mohd. Zain, Abdul Salam dan Abdul Hamid agar pandai-pandai menjaga diri di negeri orang, mesti rajin belajar dan berusaha bersungguh-sunggu untuk menjadi orang berguna yang mahir dan mendalami hal ehwal agama Islam. Pengiran Ali tidak menyebut perkataan "ulama" atau "untuk menjadi ulama" tetapi Mohd. Zain faham itulah yang dihasrat dan diinginkan secara peribadi oleh Pengiran Ali. Nasihat bernas itu hingga sekarang masih segar dalam ingatan Mohd. Zain. Nasihat itu amat berkesan dalam jiwanya. Nasihat-nasihat sepanjang pelayaran itu menambahkan lagi keazaman Mohd. Zain untuk berjaya dan meraih kecemerlangan dalam bidang pelajaran.

Mohd. Zain tidak mabuk laut. Namun ketika kapal dilambung ombak, ia terkenangkan lambaian tangan ibunya di pantaran. Ketika sarapan di kapal laut, ia teringatkan bapanya yang pulang sendirian dari Labuan ke Brunei. Bapanya tabah tetapi sempat Mohd. Zain Nampak bapanya mengesat kelopak mata seaik-baik sahaja kapal laut yang bernama Kajang meninggalkan Pelabuhan Labuan. Bapanya masih berdiri di Pelabuhan Labuan sehingga kapal laut Kajang tidak kelihatan.

Rawan seorang ayah adalah naindung garinsing rasa yang sebak. Haji Serudin tawakal dan berdoa. Bagi mententeramkan hatinya, Haji Serudin yakin bahawaMohd. Zain tidak mabuk laut. Lagi pun sebagai penghuni KampungAyer, air sungai mahupun air laut adalah alamiah kehidupan yang dilalui setiap hari.

Mohd. Zain sudah biasa meredah Sungai Brunei. Berjumpung dan berkayuh ke seberang. Mohd. Zain pernah ke Sungai Pandaruan, turut menemani ayahnya mengalu ke situ. Namun Sungai Brunei dan Sungai Pandaruan bukanlah laut meskipun berasaskan kepada air. Arus begitu berbeza. Laut China Selatan pasti bergelora dengan gelombang. Dan Laut China Selatan yang memisahkan Pulau Borneo dengan Pulau Singapura adalah ketikanya memantulkan gelombang besar yang mengerdilkan kapal laut di tengah samudera bergelora.

Beruntung, bulan Mei 1950 itu gelora gelombang di lautan lepas tiada seberapa. Deras gelora gelombang Laut China Selatan dapat juga diredah oleh Kajang. Sering terumbang-ambing dipukul angin kencang yang sesat. Empat malam empat hari terumbang-ambing, menyusur lembut dan keras meredah Laut China Selatan. Di belakang, di depan, di kiri dan di kanan 'besi terapung' malah persekitaran yang nampak cuma samudera luas. Air dan gelombang yang bertali arus di Laut China Selatan. Empat hari, empat malam. Rindu kepada keluarga menerpa. Tetapi kerinduan itu teribat apabila diberi peluang dapar belajar di Singapura.

Kapal laut kargo yang bernama Kajang akhirnya elamat sampai di Pelabuhan Singapura. Meredah Laut China Selatan adalah pengalaman awal yang begitu memberigakan pelbagai perasaan demi mendapatkan ilmu pengetahuan. Pahit manis kehidupan pelaut atau kelasi kapal dapat dialami sama.

Sebaik-baik sahaja sampai di Singapura, mereka bertiga iaitu Mohd. Zain, Abdul Salam dan Abdul Hamid diserahkan oleh Pengiran Ali bin Pengiran Mohd. Daud kepada Ustaz Syed Abu Bakar Al-Attas iaitu Pengetua Sekolah Arab Al-Juned ketika itu. Mereka bertiga buat sementara waktu tinggal di rumah Ustaz Syed Abu Bakar Al-Attas di Jawa Road, Singapura. Kemudian mereka bertiga berpindah ke rumah Ustaz Syed Ibrahim bin Tahir, iaitu salah seorang ustaz atau guru yang mengajar di Sekolah Arab Al-Juned. Ustaz Syed Ibrahim bin Tahir inilah yang menjaga dan memelihara mereka. Mula-mula tinggal di Geylang Road. Lepas itu ditempatkan di Paya Lebar da kemudian berpindah ke Jalan Yunus, Kampung Melayu, Singapura. Mohd. Zain tinggal di kediaman Jalan Yunus sehingga tamat menuntut di Sekolah Arab Al-Juned iaitu hingga tahun 1956.

Ketika tinggal di rumah guru atau ustaz, Mohd. Zain dapat manfaat yang banyak. Di sebelah malam, mereka dapat belajar tambahan dan mengulang kaji mata pelajaran dengan bimbingan secara langsung oleh guru berkenaan. Peluang ini digunakan sepenuhnya oleh Mohd. Zain. Ketika itulah dia bertanya itu dan ini sambil dapat membaca buku-buku lain yang tersimpan di rumah guru berkenaan.

Setiap tahun Mohd. Zain dan temannya yang dua orang itu dibenarkan pulang ke Brunei. Kepulangan mereka dari Singapura ke Brunei adalah juga dengan menumpang kapal laut kargo, dari Singapura ke Labuan. Dari Labuan pula menumpang kapal kecil kepunyaan Kerajaan Brunei. Ketika berada di Labuan, mereka ada kalanya menumpang tidur di masjid atau surau dan juga tidur di kedai sementara menanti hari esok untuk pulang ke Brunei. Rehat semalam dua sebelum pulang ke Brunei.

Kepulangan Mohd. Zain dari Singapura ke Brunei pada setiap tahun itu setentunya disambut dengan Majlis Doa Selamat. Setiap pelepasan dan setiap kepulangannya diiringi dengan Majlis Doa Selamat. Doa selamat di rumah kediaman Haji Serudin. Dangsanak dipanggil dan dijemput malah orang tua-tua dari kampung-kampung lain juga dijemput ke Majlis Doa Selamat itu. Doa selamat memohon doberkati setiap pergerakan kehidupan!

Rancangan penghantaran murid-murid Brunei (warga Brunei) ke Sekolah Arab Al-Juned, Singapura dalam aliran agama dengan pengantar bahasa Arab ini adalah ilham dan idea positif lagi bijaksana yang dicetuskan oleh Sultan Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul KhairiWaddien, Sultan Brunei Ke-28, bagi menguatmaju-kembangkan Islam di masa mendatang di bawah kepimpinan ulama-ulama Brunei sendiri di bumi yang bernama "Negara Brunei Darussalam."

Demikianlah segmen bertajuk "Meredah Laut China Selatan" (muka surat 109 hingga 114) dari Bab 3 bertajuk "Seludang Ilmu Pengetahuan" yang termuat dalam buku bertajuk "Menyusur Zaman: Biografi Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin" yang dinukilkan semula untuk mengisi ruangan Cetusan Minda kali ini. Buku "Menyusur Zaman: Biografi Haji Mohd. Zain bin Haji Serudin" setebal tujuh ratus empat (704) muka surat mengandungi 16 bab semuanya ini adalah hasil tulisan dan kajian Haji Mohd. Salleh Abdul Latif.

Buku biografi ini diterbitkan oleh Minda Kreatif Publishing, Brunei Darussalam pada tahun 2004. Buku ini penulis cipta bermula bulan Oktober 2002 iaitu setelah bersara wajib genap berumur 55 tahun, dari perkhidmatan kerajaan.Buku biografi ini dapat penulis selesaikan dalam tempuh sekitar satu tahun lima bulan iaitu hasil temu ramah, kajian dan penyelidikan dalam negeri dan luar negara.

Penulis juga mendapat sokongan, dukungan, dan kerjasama dengan semangat berpasukan yang kental dari sahabat-sahabat penulis terutama Haji Mohd. Ali bin Haji Abdul Razak, Pengiran Julaihi bin Pengiran Dato Paduka Othman dan Haji Muhammad bin Haji Jambol. Mereka bertiga inilah yang menyemak, menyunting dan menaip semula terutama dari segi ejaan dari bab 1 hingga bab terakhir.

Pun juga berkongsi sama dalam pemilihan gambar-gambar yang termuat dalam buku ini. Lebih sepuluh tahun sudah berlalu, tapi bagi penulis semangat kekitaan katani itu masih tetap segar-mekar dalam dairi kehidupan penulis. Alhamdulillah!

Seterusnya...

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel