A+ A A-

Pengurusan pertahanan tanggungjawab besar, mencabar

TIMBALAN Menteri Pertahanan Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat berucap di Majlis Meraikan dan Penyerahan Sijil-sijil Perkhidmatan kepada Pesara-pesara bagi Kementerian Pertahanan. (Foto: (Foto : Pg. Haji Bahar Pg. Haji Omar) )

JERUDONG, Khamis, 10 Januari. - Proses-proses kewangan dan perolehan hendaklah terus diperbaiki dan kawal secara rapi bagi menghindarkan perbuatan sia-sia yang merugikan kerajaan, di samping menggalakkan fleksibiliti dalam menentukan keperluan operasi terlaksana melalui perolehan yang cepat dan tepat.
Timbalan Menteri Pertahanan, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mustappa bin Haji Sirat menjelaskan perkara tersebut pada Majlis Meraikan dan Penyerahan Sijil-sijil Perkhidmatan Kepada Pesara-pesara bagi Kementerian Pertahanan, berlangsung di Dewan Persidangan Bridex, Jerudong Park, di sini.
Terdahulu, Yang Mulia Dato Paduka Awang Haji Mustappa menjelaskan tidak syak lagi pengurusan pertahanan merupakan satu tanggungjawab yang besar dan mencabar.
Menurutnya, inilah titik permulaan diri setiap peringkat pegawai dan kakitangan menghayati matlamat dan keutamaan operasi pertahanan seperti yang digariskan di dalam Kertas Putih Pertahanan.
Matlamat dan keutamaan ini jelasnya digariskan bertujuan untuk membentuk satu pertahanan yang 'credible', 'robust', dan 'resource efficient'.
"Antaranya ialah, kesiap-siagaan yang tinggi di mana segala alat kelengkapan dan bala tentera siap sedia untuk dikerahkan bagi menghadapi sebarang ancaman pada bila-bila masa. Termasuk juga latihan ketenteraan yang kerap dan kemaskini untuk kepastian operasi," jelasnya.
Di samping itu katanya, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) juga berperanan menghindarkan segala kegiatan haram dan pencabulan wilayah dengan memantau seluruh sempadan dan pesisiran negara.
Jelasnya, negara kita juga melibatkan angkatan tentera dalam usaha menjaga keamanan serantau seperti menyertai misi-misi pengamanan atau 'peace-keeping operations'.
Menurut Dato Paduka, kita akan mengorak strategi bagi mengambil peranan aktif dalam kerjasama serantau, ke arah menjaga keselamatan dan mempromosi keamanan, di samping menjauhkan sebarang ancaman terhadap negara.
Dengan keutamaan inilah kata Dato Paduka, kita bentuk satu pengurusan pertahanan yang bertujuan untuk memastikan bahawa segala sumber tenaga dan kewangan yang diamanahkan, diurus dengan berkesan, cekap, berpegang kepada rasa tanggungjawab dan akauntabiliti.
"Alhamdulillah, dengan berkat kerjasama semua pihak, banyak perkara yang telah dapat kita capai dan perubahan dan pembangunan dalam Kementerian Pertahanan semakin ketara. Namun, masih banyak lagi perkara yang perlu kita ungkayahkan dan karihi bersama," ujarnya.
Usaha ke arah transformasi dan permodenan tambah Dato Paduka, harus diteruskan, dengan prasarana yang lengkap untuk meningkatkan kesiap-siagaan dan operasi serta menjaga kesejahteraan anggota ABDB.
"Saya ingin melihat pengurusan dan perkembangan sumber tenaga pekerja diberi lebih tumpuan agar segala perkembangan ke arah ini sejajar dengan matlamat dasar pertahanan strategik. Ini bererti rancangan latihan yang tepat dan mantap yang betul-betul memberi kemahiran, 'mastery' dan kesedaran (awareness) kepada setiap pegawai dan kakitangan".
"Perspektif akademik juga adalah penting. Kita perlu meluncur keluar ke peringkat intelektual, berganding bahu dengan institusi-institusi lain sebagai sebuah pusat kecemerlangan atau 'centre of excellence' di rantau ini, dalam sama-sama memantau ancaman serta trend keselamatan, dan seterusnya mengkaji cabaran-cabaran yang mungkin menjejaskan negara dan rantau ini," tegas Dato Paduka.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al Faatihah dan penyampaian sijil kepada para pesara diikuti penyampaian sijil dan cenderahati kepada lima penerima Anugerah Pekerja Cemerlang dan dua pegawai Kementerian Pertahanan yang mengharumkan negara.
Hadir sama, Pemerintah ABDB, Setiausaha Tetap, Timbalan Setiausaha Tetap, Pemerintah-pemerintah dan Komandan Tentera, Pengarah-pengarah dan pegawai-pegawai Kementerian Pertahanan.

Ramalan Cuaca

Untuk maklumat lanjut Ramalan Cuaca bagi Negara Brunei Darussalam sila layari www.met.gov.bn

Login or Register

LOG IN

Register

User Registration
or Cancel